Thursday, 13 November 2014

Aplikasi Kaedah " Bertembung Antara Suruhan Dan Larangan" Dalam Kehidupan Seharian

Selepas menunaikan solat asar pada suatu petang seorang  jemaah mendekati saya dan berkata ‘ Ustaz free tak, saya ada beberapa soalan nak tanya ustaz ni. Saya kata silakan jika boleh saya akan cuba memberikan jawapannya. Soalannya seperti berikut;.
    Pada suatu hari saya terlewat bangun dari tidur pada, waktu subuh hanya ada beberapa minit sahaja lagi. Adakah saya perlu mengambil wuduk sebagaimana dalam keadaan biasa atau hanya perlu mengambil yang fardu sahaja.
2    Saya tinggal di kawasan yang mempunyai dua buah Masjid, sebuah berhampiran rumah tetapi jemaah nya kurang, manakala yang satu lagi lebih jauh tetapi jemaah nya ramai. Bolehkah saya memilih Masjid yang jauh sedangkan saya salah seorang Imam di situ..
3      Bolehkah kita berzikir di masjid dengan menyaringkan suara sedangkan masih ada jemaah yang belum selesai menunaikan solat.
Selepas selesai soalan tersebut dikemukakan saya kata jawapan bagi soalan yang ditanya tadi ialah kaedah yang berbunyi;
اذا تعارض المقتضى والمانع قدم المانع.
Maksudnya apabila bertembung antara suruhan dan larangan maka hendaklah didahulukan larangan. Beliau berkata ustaz boleh terangkan lebih lanjut apa maksudnya saya tak faham. Pembaca sekalian kaedah اذا تعارض المقتضى والمانع قدم المانع akan menjadi topik perbincangan saya untuk posting kali ini.
Kaedah yang berbunyi “Apabila bertembung antara suruhan  dan larangan maka hendaklah dahulukan larangan”. Sebahagian ulama menggunakan lafaz اذا اجتمع المقتضى والمانع يقدم المانع الا اذا كان المقتضى أعظم 
Apabila bertembung antara suruhan dan larangan hendaklah didahulukan larangan kecuali apabila suruhan lebih besar. Kaedah ini adalah pecahan daripada  kaedah “اذا اجتمع الحلال والحلاام غاب الحرام iaitu apabila berkumpul perkara haram dan halal maka yang menjadi kebiasaannya ialah  perkara haram sebagaimana yang disebutkan oleh al-Suyuty dalam kitabnya al-Ashbah.


Pengertian Kaedah

Yang dimaksudkan dengan المانع ialah “kerosakan” manakala  المقتضىى ialah perintah melaksanakan yang mengandungi maslahah. Kaedah ini bermaksud sekiranya dalam satu ibadah atau perbuatan terdapat suruhan daripada syarak, manakala dari satu aspek lain pula terdapat larangan yang membawa kepada kerosakan. Dalam situasi ini hendaklah didahulukan larangan. Kecuali perintah tersebut mengandungi maslahah yang lebih besar. Sebagai contoh dalam soal berwuduk kita dituntut untuk membasuh anggota wuduk sebanyak 3 kali sebagaimana hadis yang berbunyi ;

أن رجلا أتى النبى صلى الله عليه وسلم : فقال : يا رسول الله , كيف الطهور ؟ فدعا بماء فى اناء فغسل كفيه ثلاثا , ثم غسل وجهه ثلاثا ثم غسل ذراعيه ثلاثا , ثم مسح برأسه فأدخل اصبعيه السباحتين فى أذنيه ومسح بابهاميه غلى ظاهر أذنيه وبالسباحتين باطن أذنيه , ثم غسل رجليه ثلاثا , ثم قال : هكذا الوضوء فمن زاد على هذا أو نقص فقد أساء وظلم أو ظلم وأساء.   
Maksudnya : Seorang laki-laki datang kepada Rasulullah dan berkata ; Wahai Rasulullah bagaimanakah cara untuk bersuci, maka nabi meminta air dalam bekas, maka baginda membasuh tangan 3 kali,  muka 3 kali, tangan ke siku 3 kali, kemudian baginda memasukkan kedua jari telunjuk ke dalam telinga dan menyapu dengan kedua ibu jarinya cuping telinga bahagian luar dan jari telunjuk dalam telinga kemudian baginda membasuh kedua kaki3 kali seterusnya baginda bersabda inilah cara berwuduk sesiapa yang melebihi cara tadi atau mengurangkannya sesungguhnya beliau bersalah atau melakukan kezaliman.
         ( Abu Dawud Bil : 135)
Dari aspek lain melewatkan sembahyang sehingga ke penghujung waktu adalah dilarang. Oleh itu membasuh anggota wuduk yang sunat atau membasuh anggota sehingga tiga kali dalam keadaan waktu yang suntuk adalah dilarang kerana boleh menyebabkan luputnya waktu solat bahkan ianya adalah haram. al-Bakri dalam kitabnya al-I’tnak Fi al-Fark Wa al-Istisna halaman 57 berkata;

كل وضوء يسن فيه التثليث ولم يحرم الا فى مسائل :
منها : اذا ضاق وقت الصلاة بحيث لو اشتغل بالتكرار لم يدرك الوقت حرم  التثليث.
Setiap wuduk yang disunatkan dibasuh 3 kali dan ia tidak haram melakukannya kecuali dalam beberapa masalah antaranya; apabila waktu suntuk, jika seseorang menyibukkan diri mengulangi perbuatan yang sama ( membasuh 3 kali) menyebabkan tidak sempat menunaikan waktu solat haram membasuh tiga kali.
Bagi soalan kedua iaitu menunaikan solat jemaah di masjid yang lebih ramai bilangan ahli jemaah. Imam al-Nawawi dalam Kitabnya Raudhah al-Thalibin halaman 445 berkata;

ولو كان بقربه مسجد قليل الجمع , وباالبعد مسجد كثير الجمع , فالبعيد أفضل , الا فى حالتين : أحداهما : أن تتعطل جماعة القريب بعدوله عنه , لكونه اماما , او يحضر الناس بحضوره , فالقريب أفضل . والثانى : أن يكون امام البعيد مبتدعا كا المعتزلى وغيره ......................
“ Sekiranya berhampiran rumahnya terdapat masjid yang kurang jemaah, manakala yang jauh lebih ramai jemaah, masjid yang jauh adalah lebih baik. Namun hal ini dikecualikan dalam dua kes iaitu pertama akan terganggu solat jemaah di masjid yang dekat dengan sebab ketidakhadirannya kerana dia seorang Imam atau kehadirannya akan menyebabkan orang lain akan hadir maka yang dekat lebih afdal. Kedua Imam di Masjid yang jauh seorang ahli bidaah seumpama ia seorang muktazilah maka masjid dekat lebih afdal.
Bagi soalan ketiga iaitu berzikir beramai-ramai dalam masjid dengan menyaringkan suara sedangkan ada jemaah yang sedang menunaikan sembahyang. Persoalan tentang masalah ini menjadi perbahasan di kalangan ulama. Saya hanya akan menyentuh isu ini sepintas lalu sahaja. Ulama salaf membahagikan persoalan ini kepada dua iaitu zikir yang dilakukan secara beramai-ramai sama ada dalam masjid atau di luar masjid  dan kedua mengangkat suara ketika berzikir.

Bagi persoalan pertama iaitu berzikir beramai-ramai sama ada selepas waktu sembahyang atau pada bila-bila masa, mereka menganggap perbuatan tersebut sebagai bidaah yang sesat sebagaimana berdoa secara berjemaah juga adalah bidaah kerana tidak ada sandaran daripada hadis serta tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Pendapat ini dipegang oleh ulama salaf yang dipelopori oleh Ibn Taimiyyah, al-Shatibi dan Ibn Qayim. Manakala pendapat yang kedua yang dipegang oleh ulama khalaf, berzikir secara berjemaah walaupun bidaah tetapi ia termasuk dalam bidaah hasanah, walaupun tidak ada dalil khusus tentang persoalan ini namun masih mempunyai sandaran umum tuntutan berzikir. Pembaca boleh membuat bacaan tambahan dalam buku Ensiklopedia bidaah susunan Ustaz Subki Abdul Rahman .    
Manakala isu yang kedua iaitu mengangkat suara ketika berzikir terdapat dua pandangan ulama. Mengangkat suara ketika berzikir dipandang sunat bagi sebahagian Ulama seperti Ibn Hazm, Imam al-Thabari dan lain-lain. Mereka berpegang dengan zahir beberapa hadis yang dikeluarkan oleh Bukhari dan Muslim. Antaranya

عن ابن جريج قال أخبرني عمرو أن أبا معبد مولى ابن عباس أخبره أن ابن عباس رضي الله عنهما أخبره أن رفع الصوت بالذكر حين ينصرف الناس من المكتوبة كان على عهد النبي صلى الله عليه وسلم وقال ابن عباس كنت أعلم اذا انصرفوا بذلك اذاسمعته (.البخارى,805 ومسلم,583).

Al-Nawawi dalam Syarah Muslim berkata hadis di atas dijadikan hujah oleh sebahagian ulama dengan menghukumkan sunat mengangkat suara ketika bertakbir dan juga zikir selepas solat fardu. Seterusnya beliau menukilkan kata-kata Ibn Battal yang menyebut bahawa Ashab mazahib bersepakat mengatakan bahawa tidak disunatkan mengangkat suara ketika berzikir. Imam Shafie ketika menghuraikan hadis di atas berkata; bagi seorang imam mereka dibenarkan mengangkat suara atas tujuan mengajar atau memberitahu atau mengajar makmum zikir yang diucapkan. Maksudnya bagi seorang Imam dibolehkan mengangkat suara di permulaan zikir sahaja seperti permulaan Subhanallah, permulaan alhamdulillah dan permulaan Allahuakbar.
Oleh itu dalam persoalan berkaitan berzikir dengan nyaring di surau atau masjid hendaklah meraikan kedudukan jemaah lain. Sekiranya masih terdapat ahli jemaah yang sedang menunaikan solat seeloknya dielakkan kerana ia boleh mengganggu dan mendatangkan was-was kepada jemaah lain yang sedang mendirikan solat lebih-lebih lagi terdapat hadis yang melarang mengangkat suara di masjid dan surau ;

عن أبي حازم التمار عن البياضي أن رسول الله صلى الله عليه وسلم خرج على الناس وهم يصلون وقد علت أصواتهم بالقراءة فقال إن المصلي يناجي ربه فلينظر بما يناجيه به ولا يجهر بعضكم على بعض بالقرآن.
 رواه مالك وأحمد وغيره رواه أحمد (18543ومالك (178 .وأحمد ( 5326 ) من حديث ابن عمر  

Contoh- Contoh lain

1.Membaca ayat-ayat yang panjang dalam solat. Membaca al-Quran letika solat lebih baik daripada di luar solat. Pernah diriwayatkan bahawa Rasulullah pernah membaca beberapa surah dalam satu rakaat sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Huzaifah al-Yamani.
 عن حذيفة بن اليمان رضي الله عنه قال : صليت مع النبي صلى الله عليه وسلم فافتتح البقرة فقلت يركع عند المائة ثم مضى فقلت يصلي بها في ركعة فمضى فقلت يركع بها ثم افتتح النساء فقرأها ثم افتتح آل عمران فقرأها يقرأ مترسلا إذا مر بآية تسبيح سبح وإذا مر بسؤال سأل وإذا مر بتعوذ تعوذ ثم ركع فجعل يقول سبحان ربي العظيم فكان كل ركوعه نحوا من قيامه ثم قال سمع الله لمن حمده ربنا لك الحمد ثم قام طويلا قريبا مما ركع ثم سجد فقال سبحان ربي الأعلى فكان سجوده قريبا من قيامه.رواه مسلم
Ibn Taimiyyah berkata “membaca al-Quran ketika solat lebih afdal daipada luar solat”. Bacaan yang panjang memang dituntut dalam solat, namun ditegah apabila menimbulkan kegelisahan kepada makmum. Oleh itu hendaklah dielakkan kecuali ketika solat bersendirian.
- عن حذيفة بن اليمان رضي الله عنه قال : صليت مع النبي صلى الله عليه وسلم فافتتح البقرة فقلت يركع عند المائة ثم مضى فقلت يصلي بها في ركعة فمضى فقلت يركع بها ثم افتتح النساء فقرأها ثم افتتح آل عمران فقرأها يقرأ مترسلا إذا مر بآية تسبيح سبح وإذا مر بسؤال سأل وإذا مر بتعوذ تعوذ ثم ركع فجعل يقول سبحان ربي العظيم فكان كل ركوعه نحوا من قيامه ثم قال سمع الله لمن حمده ربنا لك الحمد ثم قام طويلا قريبا مما ركع ثم سجد فقال سبحان ربي الأعلى فكان سجوده قريبا من قيامه.رواه مسلم .
2,Berdoa dengan doa yang terlalu panjang ketika berjemaah.  
3.Pelaksanaan GST. Dari satu aspek menjadi punca pendapatan kepada negara. Manakala aspek kedua rakyat bawahan akan menderita dengan kenaikan harga barangan dan kos kehidupan yang tinggi. Sebelum pelaksanaan GST kos sara hidup telah meningkat. Prinsip cukai dalam Islam ialah diambil daripada orang kaya dan dikembalikan kepada golongan fakir. Kerajaan sepatutnya mencari sumber alternatif lain atau dengan memulakan peratus yang lebih rendah yang tidak membebankan golongan miskin.

Pengecualian Kaedah

Setiap kaedah mempunyai beberapa pengecualian walau demikian ia tidak mencacatkan kelebihan yang ada pada kaedah tersebut. Kaedah yang dibincangkan di atas mempunyai beberapa pengecualian. Maksudnya apabila bertembung antara suruhan dan larangan tetap didahulukan suruhan antaranya contohnya ialah;
1.Peristiwa Tsunami yang berlaku di Aceh dan beberapa negara yang lain telah menyebabkan ratusan ribu kematian di kalangan orang Islam dan bukan Islam. Proses pengecaman mayat adalah sukar. Dalam situasi ini semua jenazah wajib di mandi dan di sembahyangkan. Sedangkan pada asalnya solat ke atas orang kafir adalah dilarang
2.Memberi salam ke atas hadirin yang bercampur antara Islam dan kafir adalah harus.

Kesimpulan
Dalam menentukan keadaan atau situasi sama ada meninggalkan atau melakukan hendaklah dilihat kepada prinsip maslahah dan mafsadah. Sekiranya kebaikan lebih besar berbanding kerosakan maka ia dikecualikan daripada kaedah di atas. Sekiranya mafsadah lebih besar maka prinsip kaedah di atas hendaklah dipakai.
والله اعلم بالصواب
وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم
Salam hormat
Ustaz Wan Mohd Zul Bin Wan Yusuf
Kota Jembal Kelantan
10.48 PM ( 14/1/1436 @ 13/Nov 2014)

Rujukan
1.      Al-Suyuty. Jalal al-din Abd Rahman ( 1983) Al-Asbah Wa al-Nazair. Beirut : Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.
2.     Al-Bakri.Badruddin Muhammad Ibn Abi Bakr Ibn Sulayman(1991)al-Iktina’ Fi al-Fark Wa al-istisna. Beirut : Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.
3.    Al-Burno. Muhammad Sidqi Ahmad Bin Muhammad(1996) Al-Wajiz Fi Idhah Qawaid Fiqh al-Kuliyyah. Beirut : Muasasah al-Risalah.
4.      Al-Nawawi.Abi Zakariyya Yahya Bin Syaraf(1992) Raudhah al-Thalibin. Beirut : Dar al-Kutub al_ilmiyyah.
5.      Sahih Muslim Syarah al-Nawawi.(1995) Lubnan : Dar al-Fikr.
6.      Abu Dawud Sulayman Ibn Ashas(t.t) Sunan Abi Dawud.. Kaherah : Dar al-Hadis.

7.      Majmuk Fatawa  Juzuk 23 halaman 282..

No comments:

الفضيلة المتعلقة بنفس العبادة اولى من المتعلقة بمكانها Kelebihan Yang Berkait dengan Ibadah Secara Langsung Lebih Awla Berbanding Yang Berkait Dengan Tempat Pelaksanaan Ibadah

  1.0 Pendahuluan Pelaksanaan ibadah tidak terlepas dari dua keadaan iaitu masa atau tempat atau kedua-duanya. Solat maghrib tidak boleh dil...