Monday 30 September 2013

Memahami Kaedah alYaqin La Yuzal Bi Shakk


Kaedah al-yakin la yuzal bi syak

اليقين لا يزال بالشك

(Keyakinan tidak hilang semata-mata dengan syak)

Pendahuluan

Kaedah ini merupakan asas kepada hukum Syarak yang agung. Kekuatan kaedah ini kerana ianya disandarkan kepada al-Quran, al-Sunnah dan juga akal. Kaedah ini paling banyak diaplikasikan dalam bab fiqh sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Suyuti. Disamping lafaz yang disebutkan di atas kaedah ini datang dengan beberapa bentuk lafaz yang lain tetapi membawa maksud yang sama.

Lafaz Lain Bagi Kaedah


اليقين لا يرفع بالشك, اليقين لا يزول بالشك, لا يرفع يقين بالشك, لا يترك اليقين بالمحتمل

Kaedah Yang Terhasil Darinya

Di antara kaedah yang dapat dipecahkan dari kaedah di atas ialah:

الأصل بقاء ما كان على ما كان, الاصل براءة الذمة, من شك هل فعل شيئا أو لا فالأصل أنه لم يفعله, من تيقن الفعل وشك فى القليل أو الكثير حمل على القليل لأنه المتيقن, أن ما ثبت بيقين لا يرتفع الا بيقين, الأصل العدم, الأصل قى كل حادث تقديره باقرب زمن, الأصل فى الاشياء الاباحة حتى يدل الدليل على التحريم, لا ينسب إلى ساكت قول, الأصل في الأمور العارضة العدم،, الأصل في الكلام الحقيقة, الأصل في الأبضاع التحريم, لا حجة مع الاحتمال الناشيىء عن دليل, لا عبرة بالدلالة في مقابلة التصريح, لا عبرة للتوهم, لا عبرة بالظن البين خطؤه.

Kepentingan Dan Bidang Aplikasi Kaedah

Kaedah ini merupakan sandaran bagi kebanyakan hukum-hukum fiqah bahkan ia dapat diaplikasikan dalam kebanyakan bab–bab fiqh sama ada ibadat, muamalat, qadha, hukuman dan lain-lain lagi. Imam al-Nawawi berkata kaedah ini dapat diaplikasikan hampir kepada keseluruhan masalah kecuali dalam beberapa masalah sahaja. Bahkan Imam al-Suyuti telah menukilkan kepentingan kaedah ini dengan katanya:

اعلم أن هذه القاعدة تدخل في جميع أبواب الفقه ، والمسائل المخرجة عليها تبلغ ثلاثة أرباع الفقه وأكثر.

Maksudnya:
 
Sesungguhnya kaedah ini dapat diaplikasikan ke atas kesemua bab –bab fiqh dan masalah-masalah yang dipraktikkan ke atasnya menjangkau sehingga ¾ masalah bahkan lebih dari jumlah tersebut. Bahkan kaedah ini juga melahirkan beberapa kaedah furuk’ yang lain.

Pengertian Kaedah

Pengertian Yakin dari sudut bahasa

Fairuz Abadi: Jauh dari keraguan. Al-Jirjani: Pengetahuan yang tiada keraguan bersamanya. Ibn Manzur: Pengetahuan yang jauh dari keraguan serta di pastikan sesuatu perkara..

Dari beberapa pengertian yang telah dikemukakan dan mereka semua sepakat mengatakan bahawa yakin ialah lawan bagi ragu-ragu.

Pengertian yakin dari sudut istilah

Jirjani: Beritiqad bahawa sesuatu itu dalam keadaan begini disamping itu ia juga beritiqad tidak mungkin selain dari yang diitiqad tadi, serta ia bersesuaian dengan keadaan dan tidak mungkin akan hilang.

Pengertian shakk dari sudut bahasa

Jirjani: Iaitu teragak-agak di antara dua perkara atau keadaan yang saling bertentangan tanpa adanya tarjih salah satu dari keduanya ketika syak tersebut.

Pengertian Syak dari sudut istilah

Imam al-Nawawi: Teragak-agak antara dua keadaan sama ada wujud atau tidak sesuatu perkara, sama ada kedua-duanya berada pada satu tahap atau yang satu lebih.

Maksud Umum Kaedah

Apabila sesuatu perkara atau sesuatu keadaan telah diyakini ketetapannya atau telah diputuskan hukumnya berdasarkan kepada dalil-dalil yang kuat atau tanda-tanda yang dipercayai maka perkara tersebut atau keadaan tersebut tidak akan terangkat hukum yakin semata –mata dengan syak yang lemah atau andaian yang tidak disandarkan kepada dalil yang kuat. Hukum tadi akan berterusan sehingga datangnya dalil yang setara dengannya.

Dalil Dan Sandaran Kaedah

Dalil Dari al-Quran

وَمَا يَتَّبِعُ أَكْثَرُهُمْ إِلَّا ظَنًّا إِنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ بِمَا يَفْعَلُونَ

Maksudnya: Dan kebanyakan mereka, tidak menurut melainkan sesuatu sangkaan sahaja, (padahal) sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iktiqad). Sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan apa yang mereka lakukan.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ

Maksudnya:

Wahai orang-orang yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa;

Dalil Dari Hadis

عن عباد بن تميم عن عمه أنه شكا الى رسول الله صلى الله عليه وسلم الرجل الذى يخيل اليه أته يجد الشىء فى الصلاة فقال لا ينتفل – او لا ينصرف حتى يسمع صوتا أو يجد ريحا.

Maksudnya :Dari Ubbad ibn Tamim dari bapa saudaranya bahawa beliau telah mengadu kepada Rasulullah seorang laki-laki yang syak bahawa ada sesuatu ketika sembahyang maka jawab Rasulullah jangan beredar sehinggalah ia mendengar bunyi atau tercium baunya.

عن أبى هريرة رضى الله عنه قال, قال رسول الله صلى الله عليه وسلم أذا وجد أحدكم فى بطنه شيئا فأشكل عليه أخرج منه شىء ام لا ؟ فلا يخرجن من المسجد حتى يسمع صوتا أو يجد ريحا.

Maksudnya: Dari Abi Hurairah Katanya ;Rasulullah telah bersabda Apabila seseorang dari kamu merasai sesuatu di dalam perutnya maka ia syak sama ada telah keluar darinya atau tidak. Maka janganlah kamu berhenti sembahyang sehingga ia mendengar bunyi atau tercium baunya.

Imam al-Nawawi ketika menghuraikan hadis ini berkata ;

وهذا الحديث أصل من أصول الاسلام وقاعدة عظيمة من قواعد الفقه وهي ان الاشياء يحكم ببقائها على اصولها حتى يتيقن خلاف ذلك ولا يضر الشك الطاريء عليها فمن ذلك مسئلة الباب التي ورد فيها الحديث وهي أن من تيقن الطهارة وشك في الحدث حكم ببقائه على الطهارة ولا فرق بين حصول هذا الشك في نفس الصلاة وحصوله خارج الصلاة هذا مذهبنا ومذهب جماهير العلماء من السلف والخلف

Maksudnya: Hadis ini merupakan salah satu dasar dari dasar –dasar Islam dan salah satu kaedah dari kaedah fiqh iaitu sesungguhnya sesuatu dihukumkan kekal pada asalnya sehinggalah diyakini berbeza dengan pegangan sebelum ini. Tidak menjadi suatu kecacatan apabila berlakunya syak ke atasnya. Di antara masalah yang dibincangkan dalam hadis ini ialah sesiapa yang menyakini dalam keadaan suci kemudian datangnya syak ia berhadas dihukumkan kekal dalam ia keadaan suci. Tidak ada perbezaan sama ada syak tersebut semasa sedang sembahyang atau diluar sembahyang inilah pegangan kami dan pegangan jumhur ulama dikalangan salaf dan khalaf.

 
Aplikasi Kaedah

Kaedah di atas dan pecehannya boleh diaplikasikan dalam banyak masalah antaranya;
بقاء ماكان علي ما كان  

(Kekalnya sesuatu mengikut keadaannya yang asal)
1.Sesiapa yang yakin ia dalam keadaan suci tetapi syak dia telah berhadas ia sebenarnya dalam keadaan suci.
2.Tidak membatalkan wuduk dengan menyentuh khunsaa.
3.Seseorang yang sedang berpuasa telah makan dipenghujung malam dan ia syak adakah telah masuk waktu subuh puasanya sah kerana asalnya masih malam.
4.Seseorang yang berpuasa apabila beliau makan dipenghujung siang tanpa berijtihad terlebih dahulu  kemudian didatangi syak adakah magrib telah masuk atau belum, maka batal puasanya kerana asalnya masih kekal siang.
5.Seseorang berniat puasa tiba-tiba ada syak adakah fajar telah muncul atau tidak,  sah puasanya kerana asalnya adalah malam.
6.Seorang perempuan diceraikan dengan talak satu telah mendakwa masih dalam keadaan edah akan dibenarkan kata-katanya .
ألاصل برأة الذمة
)Asal seseorang tiada tanggungjawab iaitu dari hak orang lain
1.Seseorang telah merosakkan sesuatu barang orang lain dan mereka berselisih tentang  nilai barangan tersebut, pendapat yang diterima adalah yang merosakkan barangan tersebut.
2.Seseorang diperintah untuk bersumpah terhadap sesuatu dia enggan melakukan umpah tersebut , maka hakim tidak boleh menjatuhkan hukum atas keenganan tersebut.
3.Seseorang yang yakin dia telah melakukan sesuatu, tetapi syak adakah telah melakukan bilangan yang banyak atau sedikit, contohnya solat asar adakah dia telah solat empat atau tiga yang diambil kira ialah bilangan yang sedikit kerana lebih yakin.
4.Seseorang yang syak dia meninggalkan sesuatu perbuatan yang diperintahkan seperti sujud , maka  perlu sujud sahwi sekiranya meninggalkannya, asalnya dia tidak melakukannya dan tak perlu sujud sahwi.
5.Seseorang syak ia melakukan perkara yang dilarang dalam solat asalnya tidak berlaku.

Kesimpulan Kaedah

Kaedah al-Yakin La Yuzalu Bi Syakk merupakan kaedah yang amat penting dalam kehidupan manusia kerana ia mempunyai banyak hubungan dengan hukum fiqah. Disamping mempunyai pengaruh yang besar dalam kehidupan manusia dalam melakukan hubungan dengan Allah (s. w. t) dengan beribadah. Kaedah ini juga mempunyai hubungan yang rapat dalam kehidupan manusia seperti hakim yang menjatuhkan hukuman terhadap pesalah ianya bersandarkan kepada bukti yang melampaui keraguan atau dengan kata lain bukti yang yakin.

Ustaz Wan Mohd Zul
Kota Jembal Kota Bharu Kelantan
30 Sept 2013

No comments:

الفضيلة المتعلقة بنفس العبادة اولى من المتعلقة بمكانها Kelebihan Yang Berkait dengan Ibadah Secara Langsung Lebih Awla Berbanding Yang Berkait Dengan Tempat Pelaksanaan Ibadah

  1.0 Pendahuluan Pelaksanaan ibadah tidak terlepas dari dua keadaan iaitu masa atau tempat atau kedua-duanya. Solat maghrib tidak boleh dil...