Monday 3 December 2012

Kaedah al-umur Bi maqasidiha



الأمور بمقاصدها 
Setiap perkara  Dengan Apa Yang diNiatkan

Pendahuluan
Kaedah al-Umur bi Maqasidiha merupakan salah satu kaedah yang terpenting dari kaedah fiqh.Ianya melibatkan perbahasan yang panjang lebar dibuat oleh para ulama.disini penulis cuba menerangkan secara ringkas  berdasarkan  perbahasan yang dibuat oleh ulama al-shafie.Semoga memberi sedikit manfaat dalam  memahaminya.
1.1    Maksud 
Al Umur: Iaitu lafaz  umum yang merangkumi semua tindakan yang keluar dari seorang manusia sama ada melakukankan  atau meninggalkan. Ia juga meliputi perbuatan, kata –kata atau pun niat.

Oleh itu setiap tindakan atau sesuatu yang keluar dari seseorang manusia adalah terikat dengan apa yang diniatkan untuk diberi ganjaran atau pembalasan.

1.2    Sandaran Kaedah
Kaedah ini ialah berasal dari hadis Sahih yang mashyur  yang telah diriwayatkan oleh Imam –Imam hadis yang enam dan juga oleh lain-lain  perawi dengan lafaz yang berbeza.

Adapun lafaz yang diriwayatkan daripada  Umar Bin al-Khattab  berbunyi :
                                   (    انما الأعمال بالنيات ) Sesungguhnya amalan –amalan berdasarkan niat.
Adapun Imam al-Baihaqi meriwayatkan hadis ini daripada anas dengan lafaz  :لاعمل لمن لا نية له .

1.3 Kepentingan Hadis Niat
Kedudukan dan kelebihan hadis niat telah diriwayatkan secara Mutawatir oleh para Ulama sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Imam-imam antaranya:

1.3.1. Telah berkata Abu Ubaidah :Tidak ada hadis yang diriwayatkan dari Rasulullah sesuatu yang lebih menyeluruh ,lebih padat dan lebih banyak faedah dari hadis ini.

1.3.2. Imam Shafie ,Imam Ahmad Bin Hambal ,Ibnu Mahdi ,Ibnu Madini ,Abu Daud ,Darakutni dan lain –lain lagi telah bersepakat bahawa hadis ini merangkumi 1/3 ilmu. Ada juga dikalangan Ulama yang menyebut bahawa hadis ini merangkumi 1/4 ilmu. Imam Baihaqi telah menghuraikan kedudukan 1/3 ilmu dengan menjelaskan bahawa perbuatan hamba berlaku dari tiga aspek iaitu hati, lidah dan juga anggota. Niat merupakan salah satu dari bahagian yang tiga bahkan ia adalah  lebih utama.

1.3.3. Ibn Mahdi menyebut  bahawa hadis niat merangkumi 30 bab dari Ilmu.

1.3.4. Imam al-Shafie telah menyebut bahawa hadis ini terangkum di dalamnya   70 bab-bab  fiqh.

Imam al-Suyuti telah menghuraikan apa yang telah disebutkan oleh Imam al-Shafie tentang 70 bab  iaitu ia termasuk dalam 1/4  bahagian ibadah sepertu wuduk,mandi  sama ada fardu atau sunat,menyapu khuf ,tayamum ,sembahyang ,qasar ,jamak ,imam ,makmum ,sujud tilawah ,sujud syukur ,menunaikan zakat menggunakan perhiasan atau untuk menyimpannya ,puasa ,iktikaf ,haji ,umrah ,sembelihan ,dan banyak lagi.

Dalam masalah akad seperti kinayat jual beli dan hibah ,wakaf,pinjaman ibra' (menghalalkan hutang ) hiwalah ,wakalah ,ikrar ,wasiat ,talak ,khuluk ,rujuk ,ilak ,zihar ,sumpah ,qazaf.

Dalam masalah qisas  untuk membezakan antara sengaja dengan yang hampir sengaja dan tersalah ,ambil barang orang yang berhutang ,mengambil alat alat muzik ,

Semua yang disebutkan akan dikira berdasarkan dengan apa yang diniatkan oleh seseorang.


1.4    Kepentingan niat 
Berbicara tentang kepentingan niat para ulama telah menggariskan kepada dua perkara iaitu ;

1.4.1.Tujuan  utama disyariatkan niat ialah untuk membezakan perbuatan yang dilakukan sama ada ianya kerana ibadah ataupun  adat.
Contohnya:

  1. Seseorang yang megambil wuduk atau meratakan air keseluruh tubuhnya ,perbuatan tersebut sama ada untuk membersihkan tubuhnya yang kotor  atau menyejukkan tubuhnya dihari yang terik atau kemungkinan  juga kerana kerana tujuan  ibadah.
  2. Seseorang yang tidak menjamah makanan sejak dari pagi kemungkinan kerana untuk diet, atau untuk menjaga kesihatannya atau kemungkinan dia sedang berpuasa.
  3. Seseorang yang sedang berada dalam  masjid kemungkinan ia masuk untuk merehatkan tubuhnya atau kemungkinan juga untuk beribadah.
  4. Seseorang yang menyerahkan sesuatu kepada seseorang sama ada wang atau berupa makanan sama ada dia memberikan sedekah atau hibah atau zakat.
  5.  Seseorang yang sedang menyembelih binatang kemungkinan untuk menikmati dagingnya memakan dagingbinatang tersebut atau kemungkinan juga untuk tujuan lain.
Beberapa contoh perbuatan yang disebutkan di atas tidak dapat dibezakan kedudukannya  sama ada kerana kebiasaan atau kerana menurut apa yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. Maka untuk membezakan perbuatan tersebut memerlukan kepada niat daripada pelakunya.

1.4.2. Membezakan kedudukan suatu ibadah dengan ibadah yang lain.
Seseorang yang berwuduk atau mandi , sembahyang ,puasa dan lain-lain lagi kadang –kadang ia melakukannya kerana status  fardu ,nazar atau sunat.

Untuk membezakan antara fardu dengan sunat maka maka disyaritkan niat.
1.5    Penjelasan Lanjut Tentang Kedudukan Niat

1.5.1 Niat Tidak Diwajibkan Ketika Tiada Persamaan Mana-mana Perbuatan 
Tidak disyaratkan berniat ketika melakukan ibadah yang tidak mempunyai apa-apa persamaan dengan adat atau yang tidak mempunyai apa-apa persamaan dengan lain-lain perkara .
Contohnya beriman dengan Allah s.w.t, membaca Al-quran, zikir kerana perbuatan perbuatan seumpama ini telah dibezakan oleh  ibadah itu sendiri  dengan mana –mana perbuatan .
Walaupun demikian, jika perbuatan yang disebutkan tadi sekiranya  dinazarkan maka  hukumnya  wajib diniatkan. Mengapa wajib diniatkan tujuannya ialah  untuk membezakan ibadah yang dilakukan itu  sama ada wajib ataupun  sunat.

1.5.2 Wajib  Berniat Ketika Meninggalkan Larangan
Adakah juga disyaratkan berniat ketika ingin meninggalkan tegahan-tegahan Syarak seperti berzina, mencuri, merompak, mengumpat dan sebagainya. Seseorang itu sudah dianggap tidak melakukan perbuatan seperti zina , mencuri dengan semata –mata dengan meninggalkan perbuatan –perbuatan yang dilarang tersebut walaupun tanpa berniat ,tetapi untuk mendapat ganjaran ianya perlu diniatkan.,kerana kemungkinan seseorang itu tidak berzina bukan kerana takutkan Allah tetapi kerana tidak berpeluang untuk berzina ,seseorang itu kemungkinan tidak mencuri bukan kerana takutkan Allah tetapi oleh kerana tidak ada benda yang ingin dicuri atau tidak berpeluang untuk mencuri.Jadi untuk diberikan ganjaran seseorang perlu berniat bahawa ia meninggalkan perbuatan tersebut semata-mata kerana larangan dari Allah.
 
1.5.3 Niat Wajib Diperincikan Jika Mempunyai Kesamaran
Apabila sesuatu ibadah mempunyai kesamaran dengan lain-lain ibadah maka niatnya hendaklah diperincikannya dan niatnya tidak boleh diumumkan sahaja .Adapun ibadah yang tidak mempunyai kesamaran dengan lain-lain ibadah ianya tidak perlu ditentukan.

Oleh itu maka ketika berniat melakukan solat diwajibkan mempericikan apakah jenis sembahyang yang akan dilakukan sama ada asar ,zohor kerana sembahyang yang dilakukan tersebut mempunyai persamaan dengan sembahyang lain dari segi bentuk dan cara.

Begitu juga sembahyang sunat yang selain  sunat mutlak juga wajib diperincikan jenisnya sama ada sembahyang sunat sebelum zohor  atau selepas Zohor .Kewajipan mempericikan sesuatu ibadah ini telah diputuskan dalam kitab Majmuk oleh Imam al-Nawawi.

Imam al-Nawawi menambah setiap tempat (ibadah ) yang memerlukan niat fardu  ( taarud ) juga memerlukan kepada jenisnya zohor  ( taa'yin ) 
Qasad : ( Usolli ) .Taarud :  ( Fardu ) . Taayin : ( Zohor )

Diwajibkan menyebut Fardu dalam bab kaffarah, mandi,solat, zakat yang dilakukan dengan lafaz sedekah kerana sedekah kadang-kadang fardu dan kadang-kadang sunat. Adapun  dalam masalah tayamum tidak dibolehkan menyebut fardu.Jika disebut fardu tayamumnya tak sah. Adapun wuduk, puasa Ramadhan, Haji ,Umrah ,zakat tidak diwajibkan menyebut fardu
.
1.5.4 Niat Ketika qadha
Adakah disyaratkan niat ada' dan juga qadha.
Ada beberapa pendapat.
Imam Haramain mewajibkannya.
Pendapat kedua disyaratkan niat qadha sahaja .
Pendapat yang asoh tidak disyaratkan kedua-duanya.

Al-alli menjelaskan jika ibadat tersebut tidak ada ada' dan qadha tidak perlu niat kepada kedua duanya seperti solat jumaat.

1.5.5 Tujuan Niat Ialah Keikhlasan
Antara tujuan disyariatkan niat ialah untuk mendapat keikhlasan ketika berniat. Iaitu dengan cara  mengkhaskan amalan yang dilakukan hanya untuk Allah sahaja dan mengosongkan hati dari perkara yang tidak berkaitan. Oleh itu tidak sah jika niat digabungkan untuk Allah dan juga kerana perkara lain seperti adat.Sebahagian Ulama mutaakhirin berkata Ikhlas adalah perkara tambahan bagi niat yang mana tidak mendapat keikhlasan tanpa adanya niat dan kadang –kadang terhasil niat walaupun tanpa ikhlas .
Ikhlas merupakan urusan Allah dengan sebab itu tidak diwajibkan menambah perkataan lillah dalam kesemua ibadah
.
1.5.6 Tidak Disyaratkan Menyebut Fardu Ain Dan Kifayah
Tidak disyaratkan taayin iaitu dengan menyebut fardu ain ketika melakukan ibadah Fardu  tanpa khilaf.Begitu juga ketika melakukan solat jenazah tidak disyaratkan menyebut fardu kifayah.

1.7 Kaedah Yang Terhasil Dari Kaedah Pertama
1.
مالا يشترط التعرض له جملة وتفصيلا اذا عينه وأخطأ لم يضر
Maksud :
Sesuatu yang tidak  disyaratkan untuk disebut secara umum atau khusus apabila ia menyebutnya tiba-tiba tersalah ketika berniat tidak memudaratkan.
 
Contoh ;
Ketika sembahyang tidak disyaratkan untuk berniat  tempat atau hari , jika berniatnya  dan tersilap nama tempat atau hari ia tidak memudaratkan.
2.
وما يشترط فيه  التعيين  فا لخطأ فيه مبطل      
Maksud :
Sesuatu yang disyaratkan padanya taayin jika tersalah padanya akan memudaratkan.
Seperti seseorang yang tersalah niat, dari solat zohor niat solat asar.
3.
وما يجب التعرض له جملة ولا يشترط  تعيينه   تفصيلا اذا عيينه  وأخطأ ضر
Maksud :
Sesuatu yang wajib ditaarud  secara umum dan tidak disyarat taayin secara terperinci sekiranya ditaayin dan tersalah ianya memudaratkan.
Contoh :
  1. Niat mengikut Ali ketika sembahyang dan tidak isyaratkan kepada Ali sedangkan yang diikuti Zaid tidak sah.
  2. Niat sembahyang jenazah ke atas zaid sedangkan umar atau ke atas lelaki sedangkan perempuan tak sah. Kedua dua masalah ini jika tidak diisyaratkan keatas simati.
  3. Tidak disyarat taayin bilangan rakaat zohor, asar, jika diniatkan bilangan zohor lima atau tiga tak sah.
  4. Niat sembahyang ke atas jenazah seramai 10 orang sedangkan yang mati 11 orang tak sah solat dan wajib diulangi ke atas semua.Kerana ada diantara jenazah tersebut yang tidak disembahyangkan.Jika sekiranya diniatkan sepuluh orang yang meninggal 9 orang sah.
  5. Niat qadha zohor hari isnin sedangkan hari selasa tak sah.

Pengecualian Dari Kaedah;
  1. Seseorang berniat untuk mengangkat hadas kerana tidur sedangkan hadasnya untuk perkara lain ia tidak memudaratkan.
  2. Berniat mengangkat hadas kerana jimak sedangkan hadasnya kerana mimpi tidak memudaratkan.
  3. Niat mengangkat hadas haid sedangkan hadasnya janabah tidak memudaratkan.
  4.  Jika sekiranya tersalah dari segi iktiqad bukan dari segi tayyin ia tidak memudaratkan seperti.
  5. Niat malam ini puasa hari isnin sedangkan esok tidak mengapa.
  6. Niat solat zohor pada hari tersebut dengan sangkaan hari isnin sedangkan hari selasa tidak memudartkan.

1.8    Gabungan Niat
Menggabungkan niat ada beberapa bahagian ;

1.8.1 Gabungkan Ibadah Dengan Bukan Ibadah
1.Seseorang berniat menggabungkan sesuatu ibadah dengan sesuatu   yang bukan ibadah. Dengan penggabungan ini akan membatalkan ibadah tersebut seperti seseorang yang menyembelih binatang berniat kerana Allah dan juga untuk berhala.Penggabungan untuk Allah dan  berhala akan mengharamkan daging tersebut.

Seseorang yang bertakbiratul ihram  berulang kali dan ia berniat dengan  setiap kali takbir ialah untuk memulakan sembahyang. Maka dengan niat tersebut  ia  dikira baru memulakan sembahyang ketika takbir yang ganjil dan akan membatalkan sembahyang ketika takbir yang genap.

Ini Kerana seseorang yang memulakan sembahyang (dengan takbir ) kemudian memulakan sembahyang lagi ( dengan takbir yang lain ) akan membatalkan solatnya kerana terkandung didalam takbir tersebut perbuatan yang membatalkan takbir yang terdahulu.

Jika seseorang berniat untuk  keluar/membatalkan  antara takbir pertama dan kedua  maka akan keluar/terbatal dengan niat tersebut  dan akan dikira memulakan sembahyang  dengan takbir.
Jika ia tidak berniat apa –apa dengan takbir yang banyak sama ada membatalkan atau memulakan sah takbir yang pertama dan lain –lain takbir dikira sebagai zikir.
Kadang –kadang penggabungan niat antara ibadah dengan bukan ibadah tidak akan membatalkannya.Seperti seseorang yang berwuduk atau mandi dengan niat untuk menyejukkan maka sah.
Seseorang yang berniat puasa dan juga berniat dengan puasa tersebut untuk menjaga kesihatan sah puasa.
Seseorang yang membaca ayat Al Quran ketika sembahyang dan disamping itu berniat untuk memberi kefahaman kepada makmum  sah sembahyangnya.
Seseorang yang berNiat mengerjakan haji dan juga berniat untuk  berniaga .Pendapat Izzudin Abdul Salam seseorang yang berniat sedemikian langsung tidak akan diberikan pahala.
Adapun imam Ghazali membezakan antara yang terbanyak .Jika niat yang utama ialah untuk berniaga maka tidak akan diberikan pahala adapun  jika niat untuk haji lebih utama maka ia akan diberikan pahala.
 
Perhatian

Apa yang disebutkan tadi sahnya sebahagian ibadah yang digabungkan niat maksudnya ialah ibadah tersebut  tidak lagi  dituntut untuk melakukannya untuk kali kedua dan sebagainya. Adapun dari segi pemberian pahala menurut ibnu Sibag ianya tidak akan diberikan pahala.

1.8.2 Gabungkan Fardu Dengan Sunat
2.1.Menggabungkan  niat ibadah fardu dengan niat  ibadah  sunat.
Dalam bahagian ini ianya terbahagi kepada  beberapa jenis ;
2.1.1 : Tidak membatalkan kedua-duanya bahkan kedua-duanya sah.
2.1.2 : Memperolehi pahala yang fardu sahaja.
2..1.3 : Memperolehi pahala sunat sahaja.
2.1.4 : Membatalkan kedua –duanya.

Contoh jenis yang pertama ;
Seseorang yang bertakbiratul ihram berniat menunaikan solat fardu dan tahiyatul masjid akan memperolehi keduanya .Dalam kitab Majmuk ditegaskan bahawa kedua pahala ini akan diperolehi .
Syeikh Al Ramli menyebut  antara sunat –sunat yang boleh digabungkan dan akan memperolehi keduanya ialah Tahiyatul masjid ,sunat wuduk ,tawaf ,ihram ,sunat ghaflah ,istikharah ,solat hajat ,sunat apabila tiba dari perjalanan jauh dan juga sunat untuk memulakan perjalanan.
Begitu juga akan memperolehi keduanya seseorang yang mandi dengan niat mandi janabah dan mandi sunat hari jumaat ,niat memberi salam untuk keluar dari sembahyang dan memberi salam kepada hadirin ,niat menunaikan haji fardu dan sertakan sekali dengan umrah sunat ,niat melakukan sembahyang dan mengajar manusia cara sembahyang.

Contoh jenis kedua iaitu mendapat pahala fardu sahaja.
Niat menunaikan haji fardu dan juga sunat hanya akan memperolehi yang fardu sahaja ,ini kerana jika ia meniatkan haji sunat juga akan bertukar kepada fardu.
Niat melakukan sembahyang qadha dibulan Ramadhan dan juga berniat sembahyang sunat  Tarawih .Hanya memperolehi qadha.

Contoh jenis yang ketiga iaitu memperolehi yang sunat sahaja .
Seseorang mengeluarkan beberapa Ringgit dengan niat untuk menunaikan zakat dan juga berniat untuk bersedekah ia akan jadi sedekah .
Khatib yang Membaca khutbah pada hari jumaat niat khutbah jumaat dan khutbah gerhana tidak sah jumaat sebagaimana yang diputuskan oleh Imam Rafiee.

Contoh jenis keempat iaitu akan membatalkan kedua duanya .
Seorang makmum yang masbuk telah bertakbir  ketika  imam dalam keadaan rukuk, dengan niat takbiratul ihram dan juga takbir  ( intiqal ) berpindah rukun.Tidak dikira sembahyang tersebut.
Niat melakukan sembahyang fardu dan juga sembahyang rawatib.

1.8.3 Gabungkan Fardu Dengan Fardu
Niat menggabungkan sesuatu yang fardu dengan ibadah fardu yang lain.
Ibnu Subki berkata seseorang yang berniat sedemikian tidak akan memperolehi pahalanya kecuali dalam masalah haji dan umrah sahaja.Imam sayuti menambah ada contoh lain iaitu seseorang yang niat mandi dan berwuduk akan memperolehi keduanya .
 
1.8.4 Gabungkan Sunat Dengan Sunat
Berniat mengabungkan sesuatu ibadah sunat  dengan ibadah sunat yang lain tidak akan memperolehi keduanya Kecuali;
Contohnya ;Niat mandi sunat jumaat dan mandi hari raya ,puasa sunat pada hari arafah dan sunat hari isnin.
Berlaku gerhana pada hari raya imam membaca khutbah hari raya dan khutbah gerhana sah.

1.8.5 Keduanya Bukan Perkara Ibadah
Niat melakukan sesuatu yang bukan ibadah dengan perkara lain yang juga bukan ibadah dan kedua-dua berbeza dari segi hukum .
Contoh ;Seorang berkata kepda isterinya kamu bagi ku haram dan ia berniat untuk menceraikan dan juga zihar ,pendapat yang asoh ia diberi pilihan untuk memilih antara keduanya.

1.9 Pengertian dan tempat Niat
Pengertian niat dari sudut bahasa : Qasad
Syarak .Pengertian yang dikemukakan oleh Imam Mawardi .Qasad sesuatu dan disertai dengan perbuatan.

Hukum.
Wajib.

Tempat berniat
Tempat niat adalah dalam hati.
Ada beberapa masalah berkaitan.
1.Tidak cukup jika hanya melafazkan di mulut sahaja .
2.Tidak disyaratkan apa yang diniatkan dilafazkan dimulut .

Beberapa persoalan berkaitan dari yang pertama  .
Jika berlaku perbezaan apa yang diniatkan dalam hati dengan yang dilafazkan dimulut Yang dikira ialah apa yang diniatkan dalam hati.Jika dalam hati niatkan zohor sedangkan dimulut asar yang dikira adalah apa yang diniatkan bukan dilafazkan.
Niat dalam hati berwuduk tetapi terkeluar dimulut untuk menyejukan tubuh sah wuduk.
Terkeluar dari mulut seseorang lafaz sumpah tanpa ada niat maka perkataan tersebut tidak dikira dan tidak ada apa –apa hukum dikenakan.

Contoh dari bahagian kedua iaitu tidak disyaratkan melafazkan dengan apa yang diniatkan
Termasuk di dalamnya masalah ibdah secara keseluruhannya.Seperti sembahyang ,puasa .
Seseorang yang membersihkan tanah niat untuk menjadikannya sebagai masjid maka akan jadi masjid dengan niat tersebut .
Seseorang yang bersumpah tidak akan memberi salam kepada Ahmad telah memberi salam dalam majlis yang ada Ahmad dan ia berniat mengecualikanya dari Ahmad tidak akan dikenakan kaffarah.

Dikecualikan dari persolan berkaitan lafaz beberapa masalah iaitu disyaratkan melafazkan apa yang diniatkan antaranya ;
Masalah talak .Yang meniatkan mesti melafazkannya begitu juga dengan bilangannya  jika tidak dilafazkan  tidak berlaku talak.
Nazar yang hanya diniatkan dan tidak dilafazkan tidak dikira sebagai nazar.
Seseorang yang membeli  binatang ternakan berniat untuk menjadikan sebagai korban tidak dianggap sebagai bintang korban kecuali setelah dilafazkan.

Masa niat.
Asal niat ialah diawal ibadah dan seumpamanya .
Ketika wuduk ketika membasuh muka ,ketika hendak mendirikan sembahyang ketika menyebut perkataan hamzah di  Allahuakbar dan berterusan sehingga selesai Takbir.

Imam Ghazali memilih pendapat yang mengatakan cukup dalam masalah niat ini  penyertaan dari segi adat  iaitu adanya niat secara keseluruhannya atau sebahagiannya diawal takbir atau diakhir takbir yang mana hatinya hadir untuk sembahyang .

Beberapa contoh yang tidak perlu disertakan niat dengan perbuatan.Iaitu boleh dan sah  mendahulukan niat sebelum memulakan ibadah tersebut.Antaranya ;
Puasa harus mendahulukan niat sebelum memulakan puasa kerana kesukarannya  kemudian dari harus mendahulukannya menjadi wajib didahulukan.Jika seseorang niat puasa bersama naiknya waktu fajar tak sah.
Zakat sah dahulukan niat sebelum menyerahkan kepada fakir misikin kerana kesukaran .
Niat menghimpunkan sembahyang ketika melakukan sembahyang yang pertama kerana kesukarannya.
Sembelihan korban sah mendahulukannya niat sebelum menyembelih..

Syarat Niat
Adapun syarat niat ada empat ;
1.Islam.
Dengan sebab itu tidak sah ibadah yang dilakukan oleh orang kafir sama ada kafir asli atau kafir murtad sehingga mandinya juga tidak sah.


Pengecualian dari syarat ini.
Ada beberapa masalah yang dikecualikan sayarat ini antaranya ;
1.kaffarah dari orang kafir sah.
2.Zakat yang dikeluarkan oleh orang kafir sah.
3.Bila mereka berniat musafir yang membolehkan qasar dan jamak dipertengahan ia memeluk islam sah ia melakukan qasar dan jamak.

Syarat kedua
Mumayiz.
Maka tidak sah ibadah yang dilakukan oleh budak dan juga orang gila.

Syarat ketiga
Tahu dengan perkara yang diniatkan bersesuaian dengan keadaan.
Jika seseorang beranggapan wuduk dan sembahyang itu sunat maka tidak sah.
Seseorang yang menyebut perkataan talak dengan bahasa yang tidak difahaminya tidak jatuh talak.
Imam Ghazali berpendapat Jika seseorang beranggapan antara ibadah tersebut ada yang sunat dan ada yang wajib, tetapi tidak dapat membezakan mana yang sunat dan mana yang wajib sah.

Syarat keempat
Tidak melakukan perkara  yang bertentangan dengan hukum syarak sama ada secara berterusan atau ketika permulaan  sama ada ditengah atau dipermulaannya.
Jika seseorang murtad dipertengahan sembahyang atau ketika takbir tidak sah .
Begitu juga jika murtad ketika sedang berpuasa ,melakukan ibdah haji atau ketika bertayamum.
Adapun ketika berwuduk atau mandi tidak mebatalkan akan tetapi perbuatan yang dilakukan semasa murtad itu tidak dikira. Dan mesti mengulangi semula niat.

Jika berlaku murtad selepas selesai melakukan wuduk atau mandi mengikut pendapat yang asoh ianya tidak membatalkan wuduk ,mandi tetapi mebatalkan tayamum.

Jika berlaku murtad selepas sembahyang ,puasa atau haji atau selepas menunaikan zakat tidak wajib diulangi semula .
Adapun dari segi pahala jika tidak kembali semula kepada islam ia tidak akan meperolehinya kerana murtad akan memyebabkan pahala tertahan begitu juga pahalanya akan tertahan apabila murtadnya berakhir dengan kematian.

Perkara - perkara yang membatalkan niat.
Seseorang yang berniat melakukan sesuatu akan terbatal niatnya disebabkan perkara-perkara berikut ;

 1.Niat Untuk memutuskan.
Terdapat beberapa perkara yang akan memberi kesan terhadap perbuatan  seseorang yang berniat ingin memtuskan atau membatalkan perbuatan yang dilakukannya  dan terdapat juga beberapa perkara yang tidak memberi kesan dengan niat tersebut.

 Antara yang memberi kesan ialah  ;
1.Niat ingin berhenti dari menjadi orang islam akan jatuh murtad pada masa itu juga.
2.Niat untuk berhenti dari sembahyang sebelum selesai sembahyang  terputus masa itu juga.
3.Niat nak berhenti dari membaca Fatihah jika disertai dengan diam yang pendek batallah bacaannya itu .
4.Niat nak berhenti dari perjalanan jika perjalanan diteruskan juga tidak memberi kesan jika ia berhenti akan memberi kesan.
5.Niat nak sembahyang tamam ketika tengah sembahyang tidak dibolehkan lagi untuknya qasar.
6.Berniat dengan barang perniagaanya untuk dijadikan barang simpanan maka terputuslah haul perniagaanya.Adapun jika barang simpanan diniatkan untuk diniagakan ianya tidak memberi kesan.

Antara perbuatan yang tidak memberi kesan semata-mata dengan niat
1.Niat nak makan dan minum dibulan Ramadhan tidak membatalkan .
2.Niat untuk melakukan perbuatan yang membatalkan sembahyang tidak terbatal sebelum melakkannya.
3.Niat untuk membatalkan haji dan umarah tidak terbatal.

2.Tidak berkemampuan dengan apa yang diniatkan sama ada dari segi akal atau Syarak atau adat.

Contoh dari segi akal
1.Niat dengan wuduknya akan sembahyang dan juga tidak akan sembahyang tidak sah wuduknya kerana bermain –main sebagaimana ditegaskan oleh Syeikh Zakaria.
2.Niat dengan wuduk tersebut untuk sembahyang ditempat najis tak sah.
3. Teragak-agak dan tiada kata putus.
1.Adakah nak berhenti sembahyang atau meneruskannya .Batal solat.
2.Niat qasar atau tidak ,tidak boleh qasar.
3.Yakin dalam keadaan suci tak syak dia telah berhadas lantas berwuduk atas dasar berhati-hati kemudian ternyata ia dalam keadaan hadas tak sah wuduknya.
4.Telah berniat pada malam 30 syaaban akan berpuasa ramadhan esok jika telah ramadhan maka esoknya masuk ramadhan tak sah.
5.Seseorang  ada meninggalkan sembahyang ia ragu-ragu adakah telah diqadha atau belum maka ia qadha dalam keadaan syak setelah selesai ia yakin belum qadha tak sah .
6.Seseorang bertayamum, atau sembahyang dalam keadaan ragu-ragu adakah telah masuk waktu ternyata telah masuk tak sah.
7.Solat ke suatu arah dalam keadaan syak ianya arah kiblat ternyata  ianya arah kiblat tak sah.
8.Qasar solat dalam keadaan ragu-ragu boleh atau tidak qasar ternyata boleh qasar tak sah.
9.Berkata kepada seseorang amil ini zakat atau sedekah saya tak dikira zakat sebab teragak-agak.

Beberapa perkara yang sah dilakukan walaupun teragak-agak atau disandarkan ketika berniat
1.Seseorang belum qadha salah satu solat dari lima waktu tetapi tidak ingat yang mana satu lantas dilakukan kesemuanya kemudian teringat sah.
2.Seseorang mempunyai puasa wajib tetapi tidak diketahui sama ada qadha atau nazar atau kaffarah maka ia berniat puasa wajib sah.
3.Seseorang syak adakah ia telah berhadas atau masih suci ia pun berwuduk dengan niat mengangkat hadas jika telah berhadas kalau masih suci memperbaharui wuduk sah.
4.Syak adakah imam solat qasar atau tamam ia berniat jika imam qasar saya qasar maka imam qasar sah.
5.Bercampur mayat orang islam dan juga kafir atau syuhada dengan bukan syuhada maka disolatkan ke atas setiap mereka dengan niat solat jika muslim atau yang bukan mati syahid sah.
6.Syak sembahyang yang ditinggalkan adakah telah qadha atau belum aku sembahyang qadha jika belum jika sudah sembahyang sunat sah.
7.Niat pada malam 30 syaaban aku puasa wajib esok jika telah ramadhan kalau belum puasa sunat sah. 
  
1.10 Perbahasan Tambahan
Ada beberapa peringatan yang berkaitan dengan qaedah ini ;
1.Ashab Shafie berselisih pendapat tentang niat adakah niat sebahagian dari rukun atau syarat solat.Kebanyakan ashab Shafie memilih nya sebagai rukun kerana ia berada didalam rangka ibadah.
Qadhi Abu Tayyib dan ibnu Syihab memilih niat sebagai syarat.
Imam Rafie dan Nawawi menganggap niat sebagai rukun dalam solat tetapi syarat dalam bab puasa.
Yang muktamad dalam Mazhab Shafie ia merupakan rukun solat.
Walaupun demikian Ulama Shafie menggangap niat berada dalam kedudukan syarat dalam satu masalah iaitu ;Jika seseorang syak selepas selesai solat ,bahawa ia telah meninggalkan niat atau syak ia solat dalam keadaan tidak berwuduk maka solatnya wajib diulangi.
Berbeza dengan kes seseorang yang syak selepas melakukan solat ia meninggalkan rukun ia tidak perlu mengulanginya semula.

 2.Imam Rafie berkata "Niat ketika bersumpah akan mengkhususkan lafaz yang umum dan akan mengehadkan ke atas sebahagian tetapi lafaz yang khusus tidak menjadi umum dengan niat.
Contoh;
Seseorang berkata demi Allah akau tidak akan bercakap dengan sesiapa (dan ia niatkan sesiapa itu zaid ) maka sumpah tersebut hanya dikhusukan untuk zaid sahaja


3.
Para Ulama menjelaskan .
Maksud dari lafaz yang dikeluarkan berdasarkan niat orang yang melafazkan.
Oleh itu sumpah, iktikaf, nazar, haji, solat dikira maksudnya berdasarkan niat orang melafazkannya kecuali dalam kes sumpah yang diperintahkan oleh seorang hakim .Maksud sumpah tersebut tidak dikira dari niat yang melafazkan tetapi dari niat hakim.

4.Ibadah sunat tidak akan mengambil kedudukan fardu kecuali;
Seseorang yang berwuduk terlupa satu anggota ia pun mengulangi basuhan dengan niat untuk kali kedua dan ketiga dengan niat untuk ulang sah.
Seseorang yang duduk tasahud akhir dengan menyangka tasahud awal sah.

5.Seseorang yang memisahkan/ keluar  dari jamaah kerana keuzuran jika tidak uzur nescaya akan lengkap solatnya akan mendapat pahala jamaah.


Rujukan
1.al-Qawaid al-fiqhiyyah li tullab madrasah saulatiyyah .
2.al-Asbah Wa al-Nazair li al=Suyuti
3.al-Qawaid Al Fiqhiyah Ali Ahmad Al Nadawi.
3.al-Minhaj Fi Ilmi Al Qawaid Al Fiqhiyah Riyad Bin Al Mansur Al Khalifi        


الفضيلة المتعلقة بنفس العبادة اولى من المتعلقة بمكانها Kelebihan Yang Berkait dengan Ibadah Secara Langsung Lebih Awla Berbanding Yang Berkait Dengan Tempat Pelaksanaan Ibadah

  1.0 Pendahuluan Pelaksanaan ibadah tidak terlepas dari dua keadaan iaitu masa atau tempat atau kedua-duanya. Solat maghrib tidak boleh dil...