Tuesday 8 March 2022

HARAM LIZATIHI DAN HARAM LIGHAIRIHI. SATU PENJELASAN RINGKAS

 

1.0       Pendahuluan

Perbincangan mengenai hukum lima iaitu wajib, sunat, harus makruh dan haram adalah suatu topik yang penting dalam pengajian usul fikah. Antara yang dibincangkan ialah hukum haram. Haram atau muharram ditakrifkan sebagai suatu tuntutan dari syarak kepada mukallaf untuk meninggalkannya dengan tuntutan yang tegas. Justeru orang yang melakukan perbuatan yang diharamkan oleh Allah akan dikenakan seksa.

Para ulama telah membahagikan perkara haram kepada dua iaitu haram lizatihi dan haram li ghairihi atau harram zaria’h.. Inshaallah dalam perbincangan kali ini penulis berhasrat menyentuh topik ini secara ringkas.

2.0       Haram Lizatihi

2.1       Pengertian

Yang dimaksudkan dengan haram lizatihi ialah perkara yang diharamkan oleh syarak kerana kejinya dan khabisnya(buruk) ain yang dilarang.

Dengan perkataan lain haram lizatihi iaitu perkara yang diharamkan oleh Allah s.w.t atas suatu ain atau suatu zat benda itu sendiri. Pengharaman ini kerana ain tersebut mendatangkan kerosakan, mudarat dan mafsadah kepada manusia. Pengharaman ini dari awal dan berterusan sehingga akhir.

2.2       Contoh

Banyak contoh yang ada disekiling kita termasuk dalam kategori haram lizatihi. Antaranya bangkai, arak, zina, riba, membunuh, daging babi, menfitnah, saksi palsu, berbohong dan lain-lain, Allah mengharamkan beberapa contoh yang disebutkan ini kerana adanya mafsadah,, kerosakan pada ain atau zat yang diharamkan.

Ketika mengegaskan tentang keburukan bangkai , darah, daging babi Allah berfirman.

{قل لا أجد في ما أوحي إلي محرمًا على طاعم يطعمه إلا أن يكون ميتة أو دمًا مسفوحًا أو لحم خنزير فإنه رجس} [الأنعام:145.

Termasuk dalam haram lizatihi juga ialah harta yang diperoleh secara zalim seperti dicuri, dirompak dirampas dan sebagainya.

2.3 Implikasi Muamalah  Berkait Haram Lizatihi

Seseorang yang mengambil harta secara zalim dari segi hukum dia tidak berhak memiliki harta tersebut. Dia juga tidak boleh memberi milik kepada pihak lain sama ada dengan cara hibah, hadiah, waqaf sedekah dan sebagainya. Harta yang dicuri dirompak dirampas tidak boleh dmiliki dan memberi milik kepada pihak kedua.

Hal ini bertepatan dengan kaedah:

ما حرم أخذه حرم أعطاءه

Sesuatu yang haram diambil haram diberikan.

3.0       Haram Lighairihi.

3.1       Pengertian

Haram lighairihi ditakrifkan sebagai suatu yang dilarang oleh syarak bukan disebabkan oleh ain barang yang dilarang  tetapi disebabkan oleh factor-faktor atau sebab-sebab yang lain.

Suatu perkara yang asalnya dibenarkan dan dibolehkan oleh Syarak dan zatnya tidak dilarang oleh Syarak tetapi kerana boleh menyebabkan lahirnya perkara yang merosakkan maka ia diharamkan. Istilah lain ialah bagi haram ligharihi ialah Haram arid atau haram al-Zaraik. Haram lighairihi kadang-kadang bermula dengan wajib atau sunat atau harus.

3.2       Contoh

Untuk lebih memahami maksud haram lighairihi. Saya bawakan beberapa contoh yang disebutkan oleh al-Khhtabi dalam kitabnya I’lam al-hadis berkaitan jual beli patung. Jual beli patung hukumnya adalah diharamkan. Ia diharamkan selama mana barang jualan dalam bentuk patung. Sekiranya patung yang dibuat dari emas dipecahkan kemudian dijual emas dari serpihan patung hukumnya adalah halal.

Ini menunjukkan bahawa yang haram bukan emas, tetapi yang haram ialah patung tersebut. Jika patung yang dibuat dari besi kemudian dipecahkan dan dihancurkan patung tersbeut menjadi serpihan kecil besi. Hukum jual besi dari patung tersebut adalah halal.  

Pakai sutera bagi lelaki adalah haram begitu juga dengan berburu bagi orang berada dalam ihram haji atau umrah tidak dibenarkan, Melihat perempuan yang bukan mahram, melakukan jual beli semasa azan jumaat. Solat ditanah yang dirampas, sembahyang menggunakan air yang dirampas. Membuka aurat, berpuasa pada hari raya. Semua contoh yang disebutkan ini termasuk dalam haram ligharihi.

3.3       Penjelasan

Berpakaian asalnya adalah suatu tuntutan daripada syarak.Namun apabila berpakain menggunakan pakain dari sutera hukumnya adalah haram kerana menyerupai wanita. Berburu binatang yang halal dimakan hukumnya dibenarkan. Namun apabila berada dalam ihram perbuatan tersebut dan dilarang dan hasil buruan tersebut adalah haram dimakan.

Melihat perempuan yang bukan mahram asalnya dibenarkan namun perbuatan ini kebiasaanya akan mengundang fitnah dan menmbawa kepada perbuatan yang diharamkan oleh Syarak. Untuk mengelakkan berlaku perbuatan yang haram Islam mengharamkan melihat perempuan yang bukan mahram ketika tidak ada keperluan.

Jual beli asalnya diharuskan dan dihalalkan tetapi apabiila dilakukan semasa azan Jumaat akan menyebabkan terluput solat jumaat . Oleh itu ia dilarang.Sembahyang adalah suatu perintah dari Allah s,w,t tetapi apabila dilakukan ditanah yang bukan miliknya maka ianya dilarang.

Menziarahi ibu bapa semasa penyebaran wabak penyakit COVID 19 dan seumpamanya adalah dilarang. Menziarahi ububapa asalnya dituntut dalam agama. Namun apabila ziarah boleh menyebabkan berlakunya jangkitan penyakit kepada ibu bapa ianya adalah dilarang.

Membersihkan rumah ibadah bukan Islam yang ditenggelami banjir juga termasuk dalam perbuatan yang tidak dibenarkan oleh Syarak. Mencuci tempat yang ditimba musibah asalnya dibenarkan, namun apabila perbuatan tersebut membolehkan orang kafir melakukan suatu perbuatan syirik kepada Allah maka ia dilarang.

4.0       Harta Dalam Kategori Haram Lighairihi

Harta yang dimiliki oleh seseorang secara sah seperti melalui pendapatan bulanan, perniagaan dan sebagainya kemudian diberikannya kepada pihak kedua bertujuan untuk menghalalkan perkara yang tidak dibenarkan seperti rasuah, judi dan seumpamanya. Harta ini dikatogerikan sebagai harta haram lighairihi.

Penerima tidak berhak untuk menerima dan mengunakan harta tersebut sekalipun diberikan oleh pemilik harta. Kerana pemberian tersebut bertujaun untuk menghalalkan perkara yang haram disis syarak. Zat harta pada asalnya halal kerana ia adalah milik sah pemberi. Namun harta tersebut bertukar statusnya kepada haram kerana pemberian dibuat bertujuan untuk menghalalkan perkara yang tidak dibenarkan oleh syarak.

5          Status Harta Haram Lizati  dan Haram Lighairihi

Harta dalam kategori haram lizatihi seperti harta curi, dirampas adakah boleh dibelanjakan pada jalan-jalan kebaikan? Atau boleh diwariskan atau mesti dihapuskan. Dalam masalah ini ulama sepakat mengatakan bahawa harta jenis ini tidak berubah hukumnya dengan sebab pemberian, hibah atau hadiah. Harta ini tidak boleh dibelanjakan dijalan kebajikan sama ada disedekahkan diwarisi dan sebaginya. Harta ini wajib dipulangkan kepada pemiliknya. Kerana ain barang tersebut ada milik orang lain. Maka tidak halal digunakan. Apabila rosak hendaklah digantikan yang sama jenis atau diberi nilai yang sama.

Manakala harta yang diperoleh dengan sebab yang tidak dibenarkan seperti melalui rasuah, judi menjual babi, menjual arak, menjual dengan cara menipu, hasil diperoleh menjual babi, anjing, arak , jual dadah ulama berselisih pendapat. Dalam hal ini ada dua pandangan ulama;

Pendapat pertama status harta tersebut sama dengan harta haram lizatihi. Tidak halal bagi yang mengambil harta dan juga bagi orang lain menggunakannya. Kedudkan harta haram lizatihi dan lighairihi adalah sama. Pandangan ini dari Jumhur Hanafi Shafie dan Hambali.Dalil bagi pandangan ini adalah sebagaimana berikut;

وعن ابى مسعود البدى رضى الله عنه : أن رسول الله صلى الله عليه وسلم نهى عن ثمن الكلب ومهر البغى وحلوان الكاهن.

عن جابر بن عبد الله أنه سمع رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول عام الفتح، وهو بمكة: إن الله ورسوله حرم بيع الخمر، والميتة، والخنزير، والأصنام. رواه الشيخان.

قال ابن بطال في شرح صحيح البخاري: أجمعت الأمة على أنه لا يجوز بيع الميتة، والأصنام؛ لأنه لا يحل الانتفاع بهما، فوضع الثمن فيهما إضاعة للمال، وقد نهى النبي عن إضاعة المال. اهـ

Maksud : Ibn Battal dalam syarah Sahih Bukhari berkata Umat Islam sepakat mengatakan bahawa  tidak boleh menjual bangkai, berhala kerana tidak boleh mengambil manfaat dari keduanya. Meletakkan harta pada kedua bensda ini dikira mensia-siakan harta sedangkan Rasululah menegah mesia-siakan harta.

Pendapat kedua harta katogeri haram ligharihi hanya haram dimanfaatkan dan dibelanjakan oleh orang yang mengambilnya sahaja. Manakala bagi pihak kedua yang menerima harta dengan cara yang harus seperti melalui pusaka hadiah , dan lain-lain halal memnafaatkannya. Pandangan Mazhab Maliki, sebahagian Hanafi Hasan Basri.Pandanagan ini bersandarkan kepada hadis berikut;

Pandangan ini menggunakan dalil berikut;

ويدل لذلك أن النبي صلى الله عليه وسلم كان يعامل اليهود، مع أنهم كانوا يأكلون السحت، ويأخذون الربا، فدلّ ذلك على أنه لا يحرم على غير الكاسب. اه

Maksudnya:

Bahawa Rasululullah s.a w berurusan dengan yahudi sedangkan mereka mengambil perkara haram, mengambil riba.Ini menunjukkan bbahawa harta yang haram ligiharihi tidka dilarang ke atas pihak kedua.

Sebahagian ulama berkata ;

قال بعض العلماء: ما كان محرما لكسبه، فإنما إثمه على الكاسب ، لا على من أخذه بطريق مباح من الكاسب، بخلاف ما كان محرما لعينه، كالخمر والمغصوب ونحوهما

Maksudnya : Sesuatu yang diharamkan kerana usahanya sesungguhnya dosa kepada yang melakukannya bukan kepada yang mengambil dengan cara yang harus berbeza dengan sesuatu yang diharamkan atas ain seperti arak, harta yang dirampas dan seumpamanya.

6.         Bilakah Sesuatu Yang Bersifat Haram Lizatihi dan Haram Lighairihi Harus Digunakan

Perkara yang termasuk dalam katogeri haram lizatihi tidak boleh menggunakan melainkan ketika dharurat sahaja, Contoh makan daging babi, minum arak makan bangkai hanya dibolehkan dalam keadaan dharurat. Begitu juga  melafazkan kalimah kufur hanya diharuskan ketika dalam keadaan dharurat.

Adapun yang haram lighairihi dibolehkan dalam keadaan hajat. Melihat aurat perempuan dibenarkan ketika merawat penyakit. Memakai sutera bagi lelaki dibenarkan ketika berhajat seperti kulit yang berpenyakit.

والله أعلم بالصواب. وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم.

Rujukan

Usul Fiqh Allazi La Yasau alFaqih Jahlahu
D Iyad bin Nami al
-Sulamy
Dar alTadamuriyyah
1426.

Muzakkirat Usul al-Fiqh A’la Raduhah al-Nazir
AlSyeikh Al Allamah Muhammad Amin ibn Muhammad al-Mukhtar Al Jakani alSyankiti
Dar Alim Al Fawaid 1427.

Al Wajiz Fi Usul Fiqh Abdul Karim Zaidan
Muasasah al-Qurtubah

Al-Asbah Wa al-Nazair
Al-Suyuty.Dar al
-Kutub al-Ilmiyyah

Dalil al-Falihin Li Turuk Riyad alShalihin
Dar al Rayyan Li Turath

Salam hormat
Wan Mohd Zul Bin Wan Yusuf
Kuala Lipis
Pahang
09/03/2022


الفضيلة المتعلقة بنفس العبادة اولى من المتعلقة بمكانها Kelebihan Yang Berkait dengan Ibadah Secara Langsung Lebih Awla Berbanding Yang Berkait Dengan Tempat Pelaksanaan Ibadah

  1.0 Pendahuluan Pelaksanaan ibadah tidak terlepas dari dua keadaan iaitu masa atau tempat atau kedua-duanya. Solat maghrib tidak boleh dil...