Pendahuluan
Pagi semalam seorang kawan
menghantar mesej minta pandangan tentang satu kes yang berlaku di Sebuah Daerah
di Pantai Timur. Kisahnya begini seorang laki laki yang baru kematian isteri
lebih kurang sebulan setengah telah menjemput seorang qadhi untuk mengahwinkannya
dengan adik kepada isterinya yang telah meninggal. Sebelum akad nikah dijalankan
qadhi mengajukan soalan bila isteri kamu meninggal lelaki tersebut menjawab
lebih kurang 6 minggu yang lepas. Lantas qadhi berkata kamu tidak boleh
berkahwin dengan ipar kamu sebelum habis edah 4 bulan 10 hari. Persoalan yang
timbul betulkah lelaki juga mempunyai edah seperti perempuan yang
diceraikan atau kematian suami? Insyallah dalam perbincangan yang ringkas ini
saya akan paparkan terlebih dahulu beberapa perkara berkaitan dengan edah
sebelum saya memeparkan pandangan ulama berkaitan dengan edah laki-laki.
Pengertian
Edah
Berasal dari kata dasar Adadun yang
bermaksud bilangan atau hitungan. Seseorang perempuan yang berada dalam edah
akan menghitung hari-hari yang mesti dilalui adakah boleh suaminya merujuk
semula dirinya atau dibenarkan untuk berkahwin lain sama ada 3 kali suci, 3
bulan atau 4 bulan 10 hari.
Istilah
Tempoh yang mesti dilalui oleh
seorang perempuan untuk mengetahui kesucian rahimnya dari benih suami terdahulu
atau untuk menunaikan perintah Allah atau untuk berkabung atas kematian
suaminya selepas kematian atau diceraikan.
Ayat
Pertama Tentang Edah
Ubai Bin Kaab berkata ayat pertama
yang turun berkaitan dengan edah ialah ayat 228 daripada surah al-Baqarah
seterusnya ayat 4 surah al-Thalaak dan ayat 234 surah al-Baqarah.
228. al-Baqarah (dan isteri-isteri Yang
diceraikan itu hendaklah menunggu Dengan menahan diri mereka (dari berkahwin)
selama tiga kali suci (dari haid). dan tidaklah halal bagi mereka
menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak Yang dijadikan oleh Allah Dalam
kandungan rahim mereka, jika betul mereka beriman kepada Allah dan hari
akhirat. dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan)
isteri-isteri itu Dalam masa idah mereka jika suami-suami bertujuan hendak
berdamai. dan isteri-isteri itu mempunyai hak Yang sama seperti kewajipan Yang
ditanggung oleh mereka (terhadap suami) Dengan cara Yang sepatutnya (dan tidak
dilarang oleh syarak); Dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu)
mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). dan
(ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
4.al-Thalaak ( dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu Yang putus asa
dari kedatangan haid, jika kamu menaruh syak (terhadap tempoh idah mereka) maka
idahnya ialah tiga bulan; dan (demikian) juga idah perempuan-perempuan Yang
tidak berhaid. dan perempuan-perempuan mengandung, tempoh idahnya ialah hingga
mereka melahirkan anak Yang dikandungnya. dan (ingatlah), sesiapa Yang bertaqwa
kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya Segala urusannya.
234. al-Baqarah ( dan orang-orang Yang meninggal dunia di antara kamu, sedang
mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri
mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari. kemudian apabila telah habis
masa idahnya itu maka tidak ada salahnya bagi kamu mengenai apa Yang dilakukan
mereka pada dirinya menurut cara Yang baik (yang diluluskan oleh Syarak). dan
(ingatlah), Allah sentiasa mengetahui Dengan mendalam akan apa jua Yang kamu
lakukan.
Adapun Asma’ Binti Yazid adalah
perempuan pertama yang beredah dalam sejarah Islam setelah diceraikan oleh
suaminya.
Hikmah
Edah
Setiap perkara yang disyariatkan
dalam Islam mempunyai hikmah yang tertentu antara tujuan dan hukum edah ialah
memelihara keturunan daripada bercampur dan yang lebih utama ialah menurut
perintah Allah s.w.t atau lebih dikenali dengan al-Tabudd.
Edah
Bagi Lelaki
Semua ulama berpendapat bahawa
lelaki tidak diwajibkan edah sebagaimana edah perempuan dari segi hakikatnya.
Walaupun demikian dari sudut majaz ( tidak boleh berkahwin sebelum sampai masa
tertentu) lelaki juga mempunyai edah dalam beberapa keadaan. Sebagaimana haid
dikaitkan dengan wanita. maka apabila beberapa jenis binatang seperti kuda, anjing,
arnab, kelawar keluar darah pada setiap
bulan, maka dari sudut majaznya dikatakan binatang tersebut juga mempunyai haid.
Imam al-Nawawi dalam kitabnya
Raudhah al-Thalibin ketika membicarakan soal perkahwinan pernah menyebut;
ولو طلق امرأته طلاقا بائنا , فله نكاح أختها فى عدتها , وان كان
رجعيا لم تحل أختها حتى تنقضى عدتها .
Maksudnya : sekiranya seorang
lelaki menceraikan isterinya dengan talak Bain ( talak 3) dia boleh mengahwini
saudara isterinya dalam masa edah isterinya, sekiranya diceraikan dengan talak
rajie ( talak 1 atau 2) tidak halal baginya untuk mengahwini saudara isterinya
sehingga berakhirnya edah.
Ibn
Taimiyyah dalam Fatwanya (154/4) telah menukilkan pandangan seorang Tabien yang
bernama Ubadiah al-Salmani dalam masalah ini katanya ;
قال : لَمْ يَتَّفِقْ
أَصْحَابُ مُحَمَّدٍ صلى الله عليه وسلم عَلَى شَيْءٍ كَاتِّفَاقِهِمْ عَلَى أَنَّ
الْخَامِسَةَ لا تُنْكَحُ فِي عِدَّةِ الرَّابِعَةِ , وَلَا تُنْكَحُ الْأُخْتُ
فِي عِدَّةِ أُخْتِهَا" ا.هـ
Maksudnya
: Sahabat nabi tidak sependapat dalam beberapa isu kecuali dalam isu (
mereka bersependapat)lelaki tidak boleh berkahwin semasa edah isteri keempat
yang diceraikan dan tidak boleh berkahwin dengan saudara perempuan dalam edah
saudaranya.
Syeikh Adil ketika membuat tambahan
dan ulasan terhadap penjelasan Imam al-Baghawi dalam kitab al-Tahzib Fi Fiqh al-Imam
al-Shafie berkata “Sebagaimana diharamkan bagi seorang laki-laki menghimpunkan
dua saudara, diharamkan juga baginya menghimpunkan isteri dengan ibu saudara isteri
sebelah bapa atau sebelah ibu atau menghimpunkan isteri dengan anak saudaranya
semasa perkahwinan masih berjalan, diharamkan juga semasa dalam edah sama ada
edah rajie atau edah bain. Semasa edah rajie ia disepakati oleh ulama kerana hubungan
perkahwinan masa wujud sehingga berakhirnya edah, adapun semasa edah bain ia tidak
disepakati. Imam Shafie pernah menyebut apabila seorang laki-laki menceraikan isterinya
dengan talak bain (talak 3) harus baginya mengahwini saudaranya sebelum
berakhirnya edah kerana pemutus hubungan ( talak) telah ada dan tidak mungkin
mewujudkan semula hubungan dengan merujuknya semula.
Dalam laman webfatwa.islam
memaparkan soalan dan jawapan yang hampir sama dengan perbincangan ini jawapannya ialah ;
فالرجل لا عدة
عليه شرعاً ولا لغة، وقد تطلق عليه العدة مجازاً في بعض الحالات كطلاق زوجته ويريد
الزواج ممن يحرم عليه جمعها معها كأختها أو عمتها مثلاً، أو كان لديه أربع نسوة
وطلق إحداهن فيحرم عليه الزواج حتى تنقضي عدة زوجته المطلقة. والمقصود بالطلاق في
الحالتين الرجعي اتفاقاً والبائن عند الجمهور، كما تقدم بيان ذلك في الفتوى رقم: 8096.
أما في حالة
وفاة زوجته فله الزواج فوراً بأختها أو ممن يحرم جمعها معها لانقطاع الصلة بالموت.
والله أعلم.
Maksudnya : Lelaki tidak mempunyai edah
dari sudut syarak atau bahasa, adapun dinamakan dengan edah atas dasar majaz
dalam beberapa keadaan antaranya seorang laki-laki yang menceraikan isterinya
dan ingin berkahwin dengan perempuan yang diharamkan baginya menghimpunkan seperti
saudara isterinya, ibu saudara isterinya, begitu juga laki-laki yang mempunyai
empat isteri dan dia menceraikan seorang dari mereka maka, haram baginya
berkahwin sehingga habis edah isteri yang diceraikan. Yang dimaksudkan dengan
talak dalam dua keadaan yang disebutkan ialah talak rajie secara sepakat dan
juga talak bain bagi pendapat jumhur sebagaimana yang telah dijelaskan dalam
fatwa bilangan 8096. Adapun ketika kes kematian isteri, suami boleh berkahwin
pada masa itu juga dengan saudara isterinya atau dengan perempuan yang
diharamkan menghimpunkan kerana telah putus hubungan dengan berlaku kematian.
Kesimpulan
Berdasarkan apa yang dijelaskan oleh
Imam al-Shafie dan juga Imam al-Nawawi dan lain-lain ulama halal dan sah
sekiranya seorang laki-laki ingin berkahwin dengan adik iparnya setelah
kematian isterinya tanpa perlu menunggu berakhirnya edah, kerana hubungan
antara suami dengan isterinya telah berakhir dengan kematian. Tidak ada alasan untuk mewajibkan lelaki menunggu sehingga 4 bulan 10 hari baru dibenarkan berkahwin. Hanya dua situasi
sahaja tidak dibenarkan berkahwin iaitu ketika suami menceraikan isteri dengan talak rajie dan( juga bain bagi sebahagian ulama kerana dibimbangi berlaku percampuran nasab ) serta
ingin berkahwin dengan saudara isterinya atau yang setaraf sebelum habis edah dan kedua suami yang mempunyai 4 isteri diceraikan salah seorang dan ingin berkahwin lain sebelum habis edah isterinya. والله أعلم
Rujukan
Al-Quran.
Al-Nawawi. (1992) Abi Zakaria
Yahya Bin Syaraf. Raudhah al-Thalibin.Beirut : Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.
Al-Baghawi.(1997) Abi Muhhamad
Husain Ibn Masu’d Ibn Muhammad. Al-Tahzib Fi Fiqh al-Imam al-Shafie . Beirut :
Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.
Al-Bakri.(1991) Badral-Din
Muhammad Ibn Abi Bakr. Al-I’tina’ Fi
al-Farq Wa al-Istisna’. Beirut : Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.
Al-Mawardi. (1994) Abi al-Hasan
Ali Ibn Muhammad Ibn Habib. Al-Hawi al-Kabir.Beirut : Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.,Jil
9.
Salam hormat
Ustaz Wan Mohd Zul
Kota Jembal Kelantan
4/9/2014
No comments:
Post a Comment