Monday, 2 June 2014

Memahami Kaedah Berkumpul Perkara Halal Dan Haram


1.Pendahuluan

Islam telah meletakkan garis panduan yang jelas dalam menentukan perkara halal yang boleh dilakukan oleh seseorang mukalaf sama ada dalam urusan berkaitan ekonomi, politik, makanan, minuman dan lain-lain. Perkara halal ialah sesuatu yang dihalalkan oleh Allah dalam kitabnya begitu juga dengan perkara haram sesuatu yang diharamkan oleh Allah dalam kitabnya Rasulullah s.a.w bersabda : الحلال بين والحرام بين

Maksudnya : Perkara halal jelas, perkara haram jelas. Maka timbul persoalan apakah hukumnya jika perkara halal bercampur dengan perkara haram. Inilah yang akan dibincangkan dalam kaedah ini.

2.Lafaz Kaedah

اذا اجتمع الحلال والحرام غلب الحرام

Apabila berkumpul Perkara Halal dan Haram Maka Perkara Haram Akan Lebih Menguasai

3.Maksud : Ijtama’

Ijtama’ dalam kaedah di atas  membawa beberapa maksud ;

1.      Bagi sesuatu yang mungkin boleh dibezakan atau diasingkan seperti  manusia, binatang hidup.

2.      Bagi sesuatu yang mustahil boleh dibezakan atau diasingkan seperti cecair yang berkumpul bermaksud bercampur.

4.Maksud Umum Kaedah

Apabila berkumpul atau bercampur sesuatu yang harus dengan sesuatu yang haram yang menyebabkan timbulnya kesamaran serta sukar untuk membezakan yang mana satu halal dan yang mana haram maka perkara yang bercampur tersebut dikira haram kerana perkara yang halal tidak dapat diperoleh kecuali dengan menggunakan perkara haram terlebih dahulu. Sekiranya boleh dibezakan antara yang halal dengan yang haram maka kaedah ini tidak boleh digunakan. Para ulama ketika membincangkan kaedah ini turut membincangkan kaitan dengan perkara berikut;

1.Persoalan pertembungan dua dalil yang membawa hukum yang berlawanan iaitu dalil yang membawa maksud harus atau halal satu lagi dalil yang membawa maksud haram. Dalam situasi ini para ulama usul mendahulukan hukum haram berbanding harus. Sebagai contoh dalam masalah bergaul dengan isteri dalam keadaan haid terdapat dua hadis pertama;لك من الحائض ما فوق الاوار dan hadis اصنوا كل شىء الا الجماع

Hadis pertama membawa maksud tidak boleh berseronok dengan isteri dalam haid di antara pusat dan lutut manakala hadis kedua membolehkan untuk suami berseronok antara pusat dan lutut kecuali bersetubuh sahaja dilarang. Maka dalam situasi ini hadis yang mengharamkan didahulukan untuk beringat.

5.Sandaran Kaedah

Walaupun kaedah ini tidak disandarkan kepada hadis yang sahih namun dari sudut makna kaedah ia sahih dan boleh diamalkan sebagaimana yang disebutkan oleh Ibn al-Subki dalam kitabnya al-asbah Wa al-Nazair. Imam al-Suyuty berkata dalil bagi kaedah ini ialah hadis mauquf yang diriwayatkan oleh Jabir al-Jafi iaitu ;

ما اجتمع الحلال والحرام غلب الحرام .

6. Syarat Beramal Dengan Kaedah

Usman Syubair dalam kitabnya al-Qawaid al-Kuliyyah Wa al-Dawabit al-Kuliyyah menyebut 3 syarat untuk beramal dengan kaedah ini ;

1.Tidak mampu menghilangkan kesamaran yang berlaku.

2.Perkara halal dan haram seimbang antara satu sama lain sekiranya salah satu lebih kuat maka yang kuat itu hendaklah didahulukan.

3.Perkara halal tersebut berkaitan dengan perkara harus bukan perkara wajib. Sekiranya berkaitan dengan perkara wajib hendaklah didahulukan yang wajib dari yang haram. Contoh mayat orang Islam bercampur dengan mayat orang kafir ( orang Islam wajib dimandikan) (kafir haram dimandikan ) wajib dimandikan kesemuanya dan solat ke atas mereka.

7.Aplikasi Kaedah

Saya akan bawakan beberapa contoh bagi kaedah ini dari beberapa bab yang berasingan

1.      Pasar raya yang menjual daging yang disembelih dengan yang tidak disembelih serta mengumpulkannya di satu tempat yang tidak boleh dibezakan haram kesemuanya.

2.      Coklat yang bercampur bahan halal dengan bahan haram, hukumnya haram dimakan.

3.      Jam lelaki yang bercampur dengan emas haram dipakai, sekiranya disalut emas harus jika sedikit.

4.      Seorang lelaki yang mempunyai 3 orang Isteri, beliau telah menceraikan salah seorang dari mereka tetapi tidak ingat siapakah yang diceraikan, kesemua mereka tidak halal disetubuhi sehingga diyakini siapakah yang telah diceraikan.

5.      Seekor kambing  disetubuhi oleh anjing  kemudian melahirkan anak ( kanjing) anak tersebut haram dimakan atau kambing disetubuhi babi melahirkan anak (kabi) haram dimakan begitu juga dengan kuda disetubuhi oleh kaldai melahirkan baghal haram dimakan.

6.      Anjing peliharaan dan anjing liar telah sama –sama memburu, haram dimakan hasil buruan.

7.      Makanan yang dimasukkan dengan beberapa titik arak haram dimakan.

8.      Air yang sedikit bercampur dengan najis walaupun  tidak mengubah sifat air tetap haram digunakan untuk bersuci atau minum.  

8.Pengecualian

Sebagaimana yang dibincangkan oleh para fuqaha setiap kaedah mempunyai beberapa pengecualiannya. Maksudnya apabila bercampur sesuatu yang halal dengan yang haram maka dalam beberapa situasi hukumnya adalah halal antara contoh bagi masalah ini ialah;

1.      Ali dikhabarkan oleh ayahnya sebelum meninggal dunia mempunyai seorang saudara perempuan yang tinggal  di Kota Baharu tetapi dia tidak mengenalinya atau mengetahui namanya , ini tidak menjadi halangan untuknya berkahwin dengan wanita yang tinggal di kota Baharu.

2.       Air yang lebih dari 80 liter bercampur dengan najis tetapi tidak mengubah sifat air halal digunakan.

3.      Wang negara yang diperoleh dari sumber yang pelbagai kemudian dibayar gaji kepada para pekerja halal.

4.      Bercampur duit rasuah dengan duit gaji tidak ingat jumlah yang mana halal dan yang mana haram, hendaklah diasingkan yang haram dengan yang halal.

    

Salam hormat

Ustaz Wan Mohd Zul
Kota Jembal Kelantan
3 Jun 2014.

 

Rujukan

Al-Suyuty. Jalal al-Din Abdul Rahman. (1983) al-Asbah Wa al-Nazair. Beirut : Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.
Ibn Nujaim. Zain al-Abdin Bin Ibrahim. (1993) Al-Asbah Wa al-Nazair. Beirut : Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.
Muhammad al-Zuhayly.(2009)al-Qawaid al-fiqhiyyah wa Tatbiqatuha Fi al-Mazahib al-Arbah. Beirut : Dar al-Fikr.
Usman Syubair.(2006) Al-Qawaid al-Kuliyyah Wa al-Dawabit al-Fiqhiyyah Fi al-Shariah al-Islamiyyah. Jordan : Dar al-Nafais.

1 comment:

Anonymous said...

Syukran jazilan,mohon share ustaz,jazakallah khairan kathira.

الفضيلة المتعلقة بنفس العبادة اولى من المتعلقة بمكانها Kelebihan Yang Berkait dengan Ibadah Secara Langsung Lebih Awla Berbanding Yang Berkait Dengan Tempat Pelaksanaan Ibadah

  1.0 Pendahuluan Pelaksanaan ibadah tidak terlepas dari dua keadaan iaitu masa atau tempat atau kedua-duanya. Solat maghrib tidak boleh dil...