Pendahuluan
Ilmu
kaedah fiqh suatu ilmu yang tidak asing lagi bagi pelajar bidang Syariah
dipusat-pusat pengajian tinggi awam atau swasta ataupun pelajar aliran pondok.
Bahkan pada hari ini ilmu ini semakin berkembang dengan baik apabila ianya
turut didedahkan kepada pelajar dalam pelbagai aliran termasuk teknikal,
perbankan kejuruteraan dan sebagainya. Ilmu ini adalah sebahagian daripada ilmu
fiqh yang bertujuan untuk memudahkan para ulama mencari jawapan disebalik
soalan dalam pelbagai bidang kehidupan manusia. Persoalan dijawab berdasarkan
kaedah-kaedah tertentu yang dibentuk dari lafaz atau makna al-quran atau
hadis-hadis nabawi.
Adapun
Ilmu yang menjadi asas kepada ilmu fiqh ialah ilmu usul fiqh. Sebagaimana
dengan ilmu fiqh, ilmu usul fiqh juga mempunyai beberapa kaedah tertentu yang dikenali dengan kaedah usul fiqh. Para
pelajar yang mengambil jurusan Syariah biasanya akan didedahkan dengan beberapa
kaedah usul yang mashyur ketika mengambil subjek usul Fiqh. Antara kaedah usul
fiqh yang mashyur ialah “ al-amr li al-Wujub, “al-Nahyu Li Tahrim” “Ma la
Yattimmu al-wajib Fa Huwa Wajib” dan beberapa kaedah yang lain.
Dalam
penulisan kali ini saya cuba berkongsi ilmu kaedah usul fiqh yang telah dibincangkan oleh para ulama silam dalam
kitab usul fiqh dan juga kitab kaedah fiqh penulisan ulama kontemporari. Kaedah
pertama yang dipilih ialah “ al-karahah Tazulu bi al-hajah”
الكراهة تزول بالحاجة
Pengertian Makruh
Sebelum saya membincangkan
kaedah yang disebutkan di atas rasanya elok saya menyentuh sedikit perbahasan berkaitan
makruh.
Makruh menurut bahasa; Lawan
bagi perkara yang disukai.
Al-Baidhawi ketika memberi
pengertian makruh :
والمكروه
ما يمدح تاركه ولا يذم فاعله .
Maksudnya : Perkara makruh ialah
sesuatu yang dipuji orang yang meninggalkannya dan tidak dicela orang yang
melakukannya.
Hukum Makruh
Dalam hal ini terdapat tiga pandangan ulama tentang hukum
makruh ;
1.
Perbuatan makruh termasuk
dalam perkara haram yang kecil( dosa-dosa kecil)pandangan ini dipegang oleh
kebanyakan ulama silam.
2.
Perbuatan makruh atau
perkara makruh merupakan satu cara untuk membezakan antara orang mukmin yang
kuat dengan orang mukmin yang lemah. Yang kuat imannya akan meninggalkan
perkara makruh lantas mereka diberikan pahala, manakala yang lemah imannya akan melakukannya walaupun tidak diberikan
apa-apa dosa.
3.
Melakukan perkara makruh tidak ada dikenakan apa-apa balasan
sama ada pahala atau pun dosa. Sedangkan meninggalkannya akan diberikan pahala.
Pandangan ini dipegang oleh kebanyakan ulama pada masa sekarang.
Perbezaan Antara Haram Dengan
Makruh
Dari satu sudut antara perkara haram dengan makruh
mempunyai persamaan. Persamaan yang dimaksudkan di sini ialah perkara haram dan
makruh dituntut untuk kita meninggalkannya. Perbezaan antara keduanya pula ialah
dari sudut tuntutan meninggalkannya
serta ancaman ke atas pelakunya. Perkara
makruh tidak disertai tuntutan meninggalkannyan secara tegas serta tidak disertai
dengan ancaman. Sedangkan perkara haram tuntutan meninggalkannya dating dengan
tuntutan yang tegas serta disertai dengan
ancaman seperti azab yang pedih, dosa ke atas pelakunya.
Mengenali Lafaz Makruh
Para ulama usul telah menyenaraikan beberapa kaedah umum dalam memahami lafaz larangan dengan maksud makruh berdasarkan beberapa kriteria berikut ;
1.Kalimah tersebut telah menunjukkan maksud makruh. Seperti sabda Rasulullah s.a.w :
ان الله يكره لكم قيل وقال وكثرة السؤال واضاعة المال .
Walaupun demikian tidak semua lafaz yang datang dengan perkataan “ kariha, yakrahu” membawa maksud makruh, tetapi kadang-kadang ianya membawa maksud haram.
2. Lafaz yang datang membawa maksud larangan tetapi adanya sesuatu petunjuk telah menukarkan daripada haram kepada makruh.
Contoh ayat dalam surah al-Maidah ayat 101;
ياأيها الذين آمنوا لا تسئلوا عن أشياء ان تبدلكم تسؤكم .
Dalam ayat di atas terdapat satu petunjuk yang menukarkan daripada haram kepada makruh. Petunjuk yang menukarkan hukum tersebut terdapat dalam ayat yang seterusnya di bawah.
وان تسئلوا عنها حين ينزل القرآن تبدلكم عفا الله عنها والله غفور حليم .
Perbincangan Lafaz Makruh Di
Kalangan Ulama
Imam al-Ghazali dalam kitabnya
al-Mustasa fi Usul al Fiqh halaman 53 berkata ;
وأما المكروه فهو لفظ مشترك فى عرف الفقهاء بين معانى .
Antara makna makruh yang
digunakan oleh fuqaha ialah
1.Ditegah atau haram. Imam
Shafie banyak menggunakan lafaz makruh seperti katanya ( wa akrahu kaza وأكره كذا) tetapi yang dimaksudnya ialah haram. Begitu juga dengan
al-quran dan hadis kadang-kadang menggunakan
perkataan makruh tetapi yang dikehendaki dengannya ialah haram.
Contoh :
Seperti Firman Allah s.w.t :
( كل ذلك كان سيِّئه عند ربك
مكروها)
Makruha dalam
ayat di atas bermaksud haram., Ism al Isyarat zalika merujuk kepada beberapa
dosa besar seprti membunuh, berzina dan lain-lain.
Dalam surah
al-Hujurat :
: ( وكرّه إليكم الكفر والفسوق
والعصيان)
Contoh dari hadis antaranya
hadis yang dikeluarkan oleh Imam Ahmad, Ibn Hibban :
"إن الله يحب أن تؤتى رخصه كما
يكره أن تؤتى معصيته"
2.Nahyu Tanzih atau Makruh Tanzih iaitu meninggalkannya
lebih baik daripada melakukannya sekalipun dengan melakukan perbuatan yang
dilarang tidak dikenakan pembalasan. Ulama Hanafi membahagikan hukum makruh
kepada dua iaitu makruh tahrim dan makruh tanzih. Manakala jumhur hanya
membahagikan kepada satu bahagian sahaja iaitu makruh. Oleh itu makruh tanzih
termasuk dalam makruh mengikut pandangan jumhur.Perkara makruh banyak
dibincangkan oleh ulama fiqh
Contoh
perkara makruh yang disebutkan dalam
hadis Abu dawud :
لا يخرج الرجلان بضربان الغا ئط كاشفين عن عوراتهما يتحدثان , فان
الله يمقت على ذلك .
Bersembang
ketika buang air kecil atau air besar kerana mendapat kemurkaan Allah. Abu
Dawud meletakan tajuk hadis ini di bawah makruh bercakap ketika qadha hajat.
3.Meninggalkan perkara yang tidak sepatutnya ditinggalkan
atau dengan istilah arab “ Tark Ma Huwa Awla “sekalipun ianya tidak ditegah.
Seperti meninggalkan solat dhuha bukan kerana adanya larangan meninggalkan
solat tersebut tetapi kerana pahala yang besar .
4. Sesuatu yang menjadi kesamaran hukum haram padanya.
Falsafah Makruh
Sebenarnya ini merupakan suatu bentuk ujian daripada Allah
kepada hambanya agar menjauhi perkara yang tidak disukai oleh Allah dan
Rasulnya. Apabila seseorang hamba mampu
mendidik dirinya meninggalkan perkara yang dilarang maka dia juga hendaklah
berusaha mengelakkan diri dari perkara makruh.
وان تسئلوا عنها حين ينزل القرآن تبدلكم عفا الله عنها والله غفور
حليم .
Maksud Kaedah Usul Fiqh Al-karahah Tazulu Bi al-Hajah
Perkara makruh tidak dihukumkan makruh, apabila seseorang berhajat melakukannya. Sebagaimana dengan perkara haram seperti makan bangkai, minum arak ketika tercekik dan ketiadaan minuman halal, mengucap kalimah yang kufur ketika dipaksa. Contoh yang disebutkan tersebut tidak dihukumkan haram melakukannya apabila dalam keadaan terpaksa atau darurat.
Contoh aplikasi
Setelah memahami beberapa
perkara berkaitan makruh sekarang kita sama-sama melihat bagaimana aplikasi
kaedah ini dalam kehidupan seharian kita.
1.
Kematian merupakan qada’
dan qadar Allah s.w.t yang datang menjemput dengan pelbagai cara tanpa isyarat
dan makluman terlebih dahulu. Ia datang bila sampai masa yang ditetapkan tanpa
terlewat atau terawal. Oleh itu walaupun
pada asalnya mendirikan solat selepas waktu asar dihukumkan makruh kerana
menyamai ibadah penyembah matahari. Disebabkan mempunyai hajat maka tidak
dianggap makruh melaksanakan pada masa tersebut.
2.
Bercakap semasa buang air
adalah perubatan yang ditegah dalam Islam tetapi apabila seseorang berhajat
untuk bercakap contohnya meminta bantuan ketika ketiadaan air maka tidak lagi
makruh.
3.
Sembahyang merupakan satu
ibadah yang terpenting dalam Islam. Ianya mempunyai rukun, syarat, perkara
sunat dilakukan dan makruh dilakukan. Antara perkara makruh ketika solat ialah
memejamkam kedua mata. Walau bagaimana pun sekiranya dengan memejamkan mata
ketika solat akan mendapat kekhusyukan maka hukum tiada lagi hukum tersebut.
4.
Mengelap air wuduk dimuka
menggunakan tuala atau seumpamya setelah selesai berwuduk adalah makruh bagi
sebahgian ulama. Alasannya ialah boleh
menghilangkan cahaya hasil dari wuduk dan juga menghilangkan barakah.
Berdasarkan kaedah tidak makruh
sekiranya berhajat seperti berada dinegeri yang sejuk.
5.
Menceraikan perempuan
ketika dalam keadaan haid hukumnya tetapi apabila berhajat tidak lagi mkruh
seperti bagi kes tebus talak
وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم
Ustaz Wan Mohd Zul
Kota Jembal 21/4/2014
Rujukan
Al-Ghazali. Abi Hamid
Muhammad Bin Muhammad Bin Muhammad.(1993) Al-Mustafsa Fi al-Ilm al-Usul.
Beirut. Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.
Al-Baidhawi. Minhaj al wusul Fi Ilm al-Usul. 1984. Beirut.
Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.
Al-Shawkani.Muhammad Ibn ali Bin Muhammad.(1994) Irsyad
al-Fuhul Ila Tahkik al-Haqq Min Al-Ilm al-Usul. Dar al Kutub al-Ilmiyyah.
Al wajiz Fi Usul Fiqh .(1993). Abdul Karim Zaidan. Dar
alTauzi Wa Nasr Kaherah.
No comments:
Post a Comment