Pendahuluan
Air merupakan satu keperluan asasi semua
makhluk. Walau sehebat mana teknologi yang dimiliki dan dikuasai oleh manusia,
mereka tidak akan mampu untuk mencipta dan menghasilkan walau setitis air. Lantaran
itu apabila Allah menguji manusia dengan kekurangan air sebagaimana yang pernah
berlaku kepada nabi kita Muhammad s.a.w baginda telah menunjukan cara bagaimanakah
usaha yang sepatutnya dilakukan oleh seorang hamba yang beriman dan bergantung sepenuhnya
kepada Allah s.w.t yang maha berkuasa untuk menyelesaikan masalah yang menimpa iaitu
dengan melakukan solat istisqa. Disamping menggunakan pembenihan hujan dan
seumpamanya jangan sesekali mengabaikan saranan yang ditunjukan oleh
baginda.dalam mencari jalan penyelesaian kepada masalah ini.
Pengertian
Istisqa ialah perkataan arab yang berasal
dari saqya yang bermaksud memohon hujan. Yang dimaksudkan di sini ialah memohon
kepada Allah s.w.t agar menurunkan hujan kepada hambanya ketika memerlukannya.
Jenis
Permohonan yang dilakukan kepada Allah
sekurang-kurang dengan mengajukan doa permohonan kepada Allah bila-bila masa
dan di mana sahaja tanpa diiringi dengan
solat sama ada secara bersendirian atau dilakukan secara berjemaah.Permohonan
juga boleh dilakukan ketika selepas menunaikan solat sama ada fardu atau sunat.
Yang paling afdal ialah permohonan yang didahului oleh solat dua rakaat dan dua
khutbah.
Hukum
Solat istisqa;
hukumnya Sunat muakkad. Ianya adalah untuk membuktikan bahawa manusia berhajat kepada kasih sayang Allah s.w.t.
Dalil Pensyariatan
Solat istisqa salah satu daripada solat
sunat yang dituntut melakukannya apabila kemarau yang berpanjangan, tiada sumber
air, berlaku krisis air dan seumpamanya.
Rasulullah sa.w pernah melaksanakan solat istisqa sebagaimana yang
diriwayatkan oleh ubad bin tamim daripada bapa saudaranya ;
أن رسول الله صلى الله عليه وسلم خرج
بالناس يستسقى فصلى بهم ركعتين جهر بالقرأة فيها وحول رداءه ورفع يديه فدعا
واستسقى واستقبل القبلة .
Peranan Pemerintah
Perdana Menteri atau Timbalannya tidak boleh mengabaikan tanggunjawabnya
berusaha dan berikhtiar untuk mendapatkan air atau hujan bagi keperluan
penduduk sesebuah negeri. Untuk itu perdana menteri atau timbalannya hendaklah
memerintahkan penduduk disesebuah negeri yang dilanda kemarau yang teruk
berpuasa tiga hari sebelum dilaksanakan solat istisqa . Pada hari keempat dalam
keadaan berpuasa mereka semua hendaklah keluar dengan mengenakan pakaian yang
biasa dipakai, untuk menunaikan solat.
Masa Pelaksanaan
Iaitu selepas
naiknya matahari sehingga selepas zawal iaitu sebelum masuknya waktu asar.
Tempat
Disunatkan dilakukan
di padang atau kawasan lapang.
Cara Pelaksanaan
Setelah didahului dengan puasa sunat tiga
hari , maka pada hari keempat orang ramai hendaklah keluar dengan memakai
pakaian yang biasa dipakai tanpa bauan dan berkumpul ditempat yang ditetapkan
sama ada padang atau masjid maka bilal disunatkan untuk menyaringkan suara
dengan berkata الصلاة
جامعة . Sembahyang ini tidak
disunatkan untuk dilaungkan azan dan juga iqamah.
Solat istisqa dilaksanakan dengan dua rakaat. Bentuk pelaksanaannya adalah sama
dengan solat hari raya iaitu selepas takbirratul ihram maka diulangi dengan
takbir sebanyak 7 kali dirakaat pertama dan lima kali takbir dirakaat kedua.
Setiap kali selepas takbir hendaklah membaca zikir yang dibaca ketika solat aid
iaitu سبحان
الله والحمد لله ولا اله الا الله والله أكبر ولا حول ولا قوة الا بالله العلى
اعزيز الحكيم
Kemudian setelah selesai hendaklah
membaca istiazah dan surah al fatihah serta surah ق bagi rakaat pertama dan اقتربت الساعة pada
rakaat kedua selepas al-fatihah, ada juga ulama yang berpendapat rakaat kedua
dibacakan surah nuh kerana didalamnya menceritakan perihal hujan.
Bacaan Imam hendaklah dinyaringkan
sebagaimana dengan bacaan ketika solat hari raya. Bagi makmum yang tidak sempat
bertakbir bersama imam atau sempat sebahagiannya sahaja maka memadailah ia
melakukan apa yang sempat tersebut dan tidak perlu diqada apa yang tidak
sempat. Ini merupakan pendapat qaul jaded sebagaimana yang disebutkan oleh Imam
al-nawawi dalam al-Majmuk.
Sekiranya ketika jamaah bersedia untuk
menunaikan solat tiba-tiba hujan turun. Adakah perlu diteruskan solat?
Al-Nawawi dalam kitabnya Raudah menjelaskan bahawa solat istisqa ditukarkan
kepada solat syukur . Tajuk khutbah atau tazkirah ditukar kepada topik mengingatkan para Jamaah serta mengucapkan
syukur kepada Allah s.w.t atas nikmat yang dianugerahkan.
Khutbah Solat
Khutbah sunat dilakukan selepas selesai
solat dilaksanakan. Walaupun demikian khutbah juga harus dilakukan sebelum
solat dilakukan.Rukun, syarat dan adab-adab khutbah sebagaimana dengan khutbah
jumaat . Yang berbeza dengan khutbah hari raya ialah khutbah istisqa dimulai
dengan istigfar sebanyak 9 kali dikhutbah pertama dan sebanyak 7 kali khutbah kedua.
Lafaz istigfar seperti أستغفر الله العظيم الذى لااله
الا هو عليه توكلت وهو رب العرش العظيم
Sepanjang bacaan
khutbah dilaksanakan khatib hendaklah memperbanyakkan mengucapkan istigfar
serta menutup khutbah dengan istigfar . Disamping itu juga khatib hendaklah
sentiasa mengulangi ayat berikut أستغفروا ربكم انه كان غفارا
Siapa Yang Dituntut
Semua golongan sunat bersama di dalam majlis
ini sama ada dewasa, kanak-kanak, orang tua bahkan binatang juga sunat dibawa
bersama untuk menunjukan musibah ini menimpa semua makhluk dan mereka semua
berhajat kepada air.
Adab Sebelum Pelaksanaan
Sebelum melaksanakan
solat istisqa dituntut melakukan perkara berikut ;
1. Berpuasa sunat tiga hari .
2. Bertaubat.
3. Berhenti dari melakukan kezaliman.
4. Mendekatkan diri kepada Allah dengan
melakukan kebaikan-kebaikan mengikut kemampuan masing-masing.
Doa Istisqa
Doa ini sunat
dibacakan semasa khutbah pertama ketika Imam mengadap kearah jamaah.
اللهم اسقنا غيثا مغيثا هنيئا مريئا مريعا
غدقا مجللا سحا طبقا دائما . اللهم اسقنا الغيث ولا تجعلنا من القانطين . اللهم ان
العباد والبلاد من اللأواء والجهد والضنك ما لا نشكو الا اليك . اللهم أنبت لنا
الزرع وأدر لنا الضرع واسقنا من بركات السماء وأنبت لنا من بركات الارض . اللهم
ارفع عنا الجهد والجوع والعرى واكشف عنا من البلاء ما لايكشفه غيرك . اللهم انا
نستغفرك انك كنت غفارا , فأ رسل السماء علينا مدرارا.
Kemudian selesai membaca doa di atas
Khatib hendaklah mengadap kiblat dan membaca doa di bawah, kemudian setelah
selesai hendaklah mengadap kembali kearah jamaah serta mengingatkan mereka
mentaati Allah serta memperbanyakan mengucapkan selwat ke atas nabi.Khatib juga
disunatkan memperbanyak istighfar , doa taubat, serta bertawasul dengan
orang-orang soleh dan bertaqawa semasa membuat permohonan kepada Allah s.w.t.
اللهم أنت أمرتنا بدعائك , ووعدتنا باجابتك
, وقد دعوناك كما أمرتنا , فأجبنا كما وعدتنا , اللهم أمنن علينا بمغفرة ما قارفنا
, واجابتك فى سقيانا وسعة رزقنا .
Khatib juga disunatkan memusingkan dan
menterbalikkan serban empat segi yang diletakan diatas bahunya ketika bergerak
untuk mengadap kiblat ketika membaca 1/3 khutbah kedua dibacakan . Serban yang
berada di sebelah kiri ditukar ke sebelah kanan dan yang disebelah kanan
ditukar kesebelah kiri manakala yang bahagian atas ditukar ke bahagian bawah
yang bawah ditukar ke bahagian atas.
Apabila permohanan diajikan kepada Allah
dan Allah menerima permohonna tersebut dengan menurunkan hujan maka sunat
menyebut ;مطرنا بفضل الله maksudnya turunnya hujan ke
atas kami dari kurniaan Allah.
Rujukan
1.Raudhah alThalibin
Imam al-Nawawi Dar alKutub al-Ilmiyyah
2.Al iktinak fi al
fark wa al istisna Badr al din Abu Bakr al Shafie 1991
3.Al-Tahzib Fi Fiqhi
al-Imam alShafie. AlImam Abi Muhammad Al Husain Ibn Masud Ibn Muhammad al Farra
al-Baghawi . Dar al-Kutub Al-Ilmiyyah Beirut.
4.Zad al Muhtaj
Syarah alMinhaj . Syeikh Abdullah bin Syeikh Hasan alHasan al Kuhuji . Qatar.
5. al-Fiqh
al-Manhaji.
Ustaz Wan Mohd Zul Wan Yusuf
Kota Jembal Kelantan
7/3/14
No comments:
Post a Comment