Pendahuluan
Dalam hidup bermasyarakat kita dituntut untuk membantu orang yang
memerlukan pertolongan sama ada dalam bentuk ibadah atau material. Bahkan
apabila disoroti kehidupan yang dilalui oleh Nabi Muhammad s.a.w dan para
Sahabat baginda, kita dapati bagaimana akhlak yag terpuji ini menjadi
sebahagian daripada amalan harian mereka.Turunnya ayat 59 surah al-Hasry
menjadi bukti bagaimana sifat mengtamakan orang lain dalam kehidupan Sahabat :
ويؤثرون
على أنفسهم ولو كان بهم خصاصة
Walaupun demikian dalam beberapa situasi kita dituntut untuk mengutamakan ke atas diri
sendiri terlebih dahulu sebelum memberi peluang kepada orang lain melakukannya.
Inilah yang akan dibincangkan dalam kaedah kali ini iaitu ;
Kaedahnya berbunyi ;
ألايثار
فى القرب مكروه وفى غيرها محبوب
Maksudnya : Mengutamakan orang lain dalam perkara ibadah hukumnya
makruh, manakala dalam perkara bukan ibadah digalakkan.
Izz Ibn Abd al Sallam yang terkenal dengan gelaran “Sultan Ulama”
dalam kitabnya Qawaid al-Ahkam Fi Masalih al-Anam berkata tidak boleh
mendahulukan orang lain dalam perkara ibadah kerana tujuan ibadah ialah
mengagungkan Allah. Oleh itu sesiapa yang mengutamakan orang lain maka dia
telah meninggalkan tuntutan ini.
Imam al-Nawwi berkata mengutamakan orang lain dalam perkara ibadah
hukumnya makruh, tetapi mengutamakan orang lain dalam keperluan hidup adalah
disunatkan. Contohnya seseorang yang hanya mempunyai makanan, minuman yang sedikit cukup untuk dirinya sahaja tetapi
apabila datang orang yang lebih berhajat maka disunatkan memberinya makanan
tersebut. Begitu juga disunatkan mengutamakan orang lain dalam bab menerima
sedekah, biasiswa dan seumpamanya Maksudnya tidak mengambil sedekah, biasiswa
walaupun layak kerana memberi peluang kepada mereka yang lebih layak
menerimanya.
Dalam Kitab al-Mawahib al-Saniyyah pengarangnya menyebut sekiranya
mengutamakan orang lain menyebabkan berlalunya perkara wajib maka hukumnya
haram, sekiranya menyebabkan berlaku perkara
makruh maka hukumnya makruh.
Beberapa Contoh Aplikasi Dari Kaedah Ini
1.Sering berlaku di Masjid atau Surau dalam masyarakat kita apabila
saf pertama kosong masing-masing jemaah yang berada di saf kedua enggan naik kesaf
pertama. Masing-masing nak tunjuk baik kononnya memberi peluang orang lain naik
sedangkan saf kosong berada betul-betul dihadapannya. Dalam soal ini makruh
kita memberi peluang kepada orang lain untuk berada di saf hadapan yang
pahalanya adalah terlalu besar. Antara beberapa hadis yang menyebut kelebihan
berada di saf pertama :
1. Seandainya manusia
mengetahui keutamaan yang ada dalam saf pertama, nescaya mereka akan mengundi
untuk mendapatkannya. ( Sahih Bukhari Bil 721).
2.Daripada Abu Hurairah : Sebaik-baik saf orang lelaki ialah yang
pertamanya dan yang paling buruk ialah yang terakhir, dan saf wanita yang
terbaik ialah yang terakhirnya dan yang paling buruk ialah yang paling hadapan.(
Sunan Abu Dawud Hadi Bil 678)
2 Begitu juga makruh hukumnya mengutamakan orang lain untuk
berwuduk lebih-lebih lagi apabila air hanya cukup untuk seorang sahaja.
3. Makruh sebahagian ulama menganggap haram memberi pakaian kepada
seseorang untuk menutup aurat sedangkan aurat kita terbuka kerana ketiadaan
pakaian.
Pengecualian
Seorang makmum yang sembahyang bersendirian disaf kedua, maka bagi
jemaah yang berada disaf pertama disunatkan kebelakang untuk berada bersama
dalam saf kedua.
Rujukan
Al-Quran
Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari
Al-Asbah Wa al-Nazair Jalal alDin Abdul Rahman Al Suyuti Dar
al-Kutub al-Ilmiyyah Beirut Cet 1983.
Al-Qawaid AlFiqhiyyah Wa Tatbiqatuha Fi al-Mazahib al-Arba’ah
Muahmmad al-Zuhaili.Dar al-Fikr Beirut Cet 2009.
Qawaid al-Ahkam Fi Masalih al-Anam. Abi Muhammad Izzuddin Abdul
Aziz IbnAbdul al-Salam.Dar al-Kutub al-Ilmiyyah Beirut.
Mawahib al-Saniyyah Syarh al-Faraid al-bahiyyah Nuzum al-Qawaid
al-Fiqhiyyah Abdullah Sulayman al-Jarhazi Dar alFikr.
Salam Hormat
Ustaz Wan Mohd
Zul
Kota Jembal
Kelantan
30/11/2013
No comments:
Post a Comment