Tuesday, 2 May 2017

HUKUM MEMANGGIL ISTERI DENGAN PANGGILAN MAMA, UMMI



Pendahuluan
Islam tidak menetapkan panggilan khusus yang seharusnya diberikan kepada seseorang sama ada isteri, suami, kakak, adik dan sebagainya. Panggilan yang diberikan hendaklah sesuai serta tidak mendatangkan keaiban dan menimbulkan kemarahan kepada oarng yang dipanggil. Oleh itu kita temui pelbagai panggilan dan gelaran diberikan dalam masyarakat. Bagi masyarakat Kelantan contohnya mereka yang berketurunan Tengku atau Raja atau Nik memanggil “Ayah” mereka dengan pangilan “Ku”. Manakala keluarga yang berketurunan “Wan” memangil Ayah dengan panggilan Wan. Dan banyak lagi gelaran gelaran lain yang kita temui.  
Adapun bagi suami isteri pelbagai gelaran dan panggilan diberikan antara satu sama lain. Antara gelaran yang diberikan oleh suami kepada isterinya “Mama”. Ummi, Ibu. Manakala isteri memanggil suami dengan panggilan Papa, Baba, dan sebagainya.

Namun kini timbul pelbagai pandangan tentang panggilan ini sehingga meresahkan masyarakat. Dalam penulisan yang ringkas ini saya cuba melihat dan merungkaikan persoalan dibangkitkan berdasarkan penulisan para ulama dan berdasarkan kaedah fiqah.
1.       
      Adakah Ucapan Tersebut DiKira Zihar

Ibn Qudamah dalam Kitabnya Mughni Li Ibn Qudamah ketika membincangkan hukum berkaitan zihar berkata
: " وإن قال : أنت علي كأمي . أو : مثل أمي . ونوى به الظهار , فهو ظهار , في قول عامة العلماء ، وإن نوى به الكرامة والتوقير فليس بظهار
Terjemahannya :
Sekiranya (seorang suami) berkata kepada isterinya : Kamu ke atas ku seperti ibuku , atau seperti ibu dan ia berniat zihar maka ucapan tersebut dikira zihar bagi kebanyakan Ulama.Namun sekiranya ucapan tersebut semata-mata untuk memuliakan atau menunjukkan tanda kasih sayang ia bukan zihar.

Lajnah Fatwa telah ditanya mengenai lelaki yang berkata kepada isterinya “aku Saudara kamu” atau “kamu saudaraku” atau awak ummi atau “seperti ummi”. Jawapan yang diberikan ialah sekiranya panggilan dan ucapan tersebut sebagai suatu penghormatan, kemulian dan tiada hasrat untuk menyamakan (zihar) ia tidak dianggap zihar. Ucapan tersebut juga tidak dikenakan apa-apa  bentuk hukuman.
Sekiranya ucapan atau panggilan tersebut untuk menunjukkan zihar atau adanya tanda yang menunjukkan sedemikan seumpama kata-kata dikeluarkan ketika marah maka kata-kata tersebut dikira zihar yang mewajibkan taubat dan kaffarah. dengan ibu memanggil isteri .

Adakah Berdosa Memanggil Isteri Dengan Panggilan Mama, Umi Dan Sebaliknya

1.Sebahagian Ulama seperti Ibn Qudamah al-Hambali menghukumkan Makruh bagi seoarang suami memanggil isterinya dengan panggilan Mama, Ibu, Ummi dan sebaliknya.
Mereka menjadikan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud  
عن أبي تميمة الهجيمى أن رجلا قال لامرأته يا أخية  فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم أختك هى . فكره ذلك ونهى عنه .
Ibn Qudamah dalam Kitabnya  al-Mughni menyebut ;
كره أن يسمى الرجل امرأته بمن تحرم عليه كأمه أو أخته‏,‏ أو بنته.
2. Sebahagaian Ulama mengharuskan panggilan seumpama ini. Oleh itu diharuskan seorang suami memanggil isterinya dengan panggilan “Mama” “Ummi” “Ibu” “adik” . Dan diharuskan juga seorang isteri memanggil  suaminya dengan panggilan “Papa” “Baba” dan seumpamanya.

Diantara ulama yang berpegang dengan pendapat kedua antaranya Syeikh Albani,  Ibn Usaimin, Syeikh Sayyid Hadi Pengarah Kementerian Awqaf Zaqazik dan lain-lain.

Syeikh Usaimin ketika diajukan persoalan di atas beliau menjawab harus seseorang suami memanggil isterinya dengan panggilan adik, ummi, dan seumpamanya dari panggilan yang boleh menimbulkan mawaddah dan kasih sayang.  

Dalil

1.Hubungan suami Isteri dibina atas dasar mawaddah dan Rahmah. Diantara sifat mawaddah dan kasih sayang ialah memanggil pasangan dengan panggilan yang disukai.

Sabda Rasulullah
خيركم خيركم لاهله وأنا خيركم لاأهلى .

2.Rasulullah memanggil Aishah dengan panggilan manja “Ya Aish”  يا عائش Baginda bergurau senda, berlumba lari. Dengan anak  baginda “Fatimah” Rasulullah sentiasa tersenyum apabila dihampiri oleh Fatimah dalam mana-mana majlis. Rasulullah memanggil Fatimah dengan panggilan “مرحبا بأم أبيها. .Rasulullah memanggil anaknya Fatimah dengan panggilan Ummi sedangkan Fatimah anaknya. Baginda juga memanggil “Ibu Saudara” dengan panggilan “ أنها أمى بعد أمى  

3. Dari aspek “adat” panggilan seumpama itu adalah panggilan manja dalam masyarakat kita. Kaedah Fiqh ada menyebut “al-Adah Muhakamah” .

4..Panggilan Ummi, Mama, Baba dan seumpamanya adalah salah satu bentuk pendidikan yang diterapkan dalam keluarga. Anak-anak yang masih kecil akan meniru perkataan dan perbuatan yang dilakukan oleh mereka yang lebih dewasa. Panggilan suami kepada isteri dengan panggilan ini bagi bertujuan untuk mendidik anak-anak memanggil ibu atau bapa dengan panggilan yang digunakan dalam keluarga.

5. Dari sudut niat, suami yang memanggil isteri dengan pangggilan di atas tidak sesekali bermaksud “ibu yang melahirkannya’ tetapi yang dimaksudkan dengan ibu di sini adalah ibu kepada anak-anak mereka berdua.Rasulullah bersabda
انما ألاعمال بالنيات
6. Adapun hadis yang digunakan oleh pendapat pertama dihukumkan dhaif oleh Syeik Albani.




Kesimpulan
Penulis lebih cenderung dengan pandangan yang mengharuskan panggilan mama, ummi, abi dan sebagai berdasarkan hujjah yang dikemukan di atas. والله أعلم بالصواب

Ustaz Wan Mohd Zul Wan Yusuf
Kuala Lipis
2 Mei 2017

Rujukan
Sunan Abu Dawuud ـ Dar al-Kutub al-Ilmiyyah Juz 2 bil 2210
Al-Mughni Ibn Qudamah Jilid 8 halaman 6.
Fatawa Nur A’la Darb.

No comments:

الفضيلة المتعلقة بنفس العبادة اولى من المتعلقة بمكانها Kelebihan Yang Berkait dengan Ibadah Secara Langsung Lebih Awla Berbanding Yang Berkait Dengan Tempat Pelaksanaan Ibadah

  1.0 Pendahuluan Pelaksanaan ibadah tidak terlepas dari dua keadaan iaitu masa atau tempat atau kedua-duanya. Solat maghrib tidak boleh dil...