Pengertian Qawaid Fiqhiyyah
Qawacid
fiqhiyyah merupakan
gabungan dua perkataan Arab iaitu qawacid dan juga fiqhiyyah yang dinamakan murakkab
idafi.
Maksud Qawaid Bahasa
Ibn Manzur,
al-Razi alFayyumi dan lain-lain berkata:
Kaedah bererti asas. Kaedah rumah bererti asas bagi sesebuah rumah.
Kaedah dengan
makna asas mempunyai beberapa sandaran
di dalam al-Quran dan juga hadis Rasulullah s.a.w.
Antara sandaran
daripada al-Quran sebagaimana firmanNya:
وَإِذْ
يَرْفَعُ إِبْرَاهِيمُ الْقَوَاعِدَ مِنَ الْبَيْتِ وَإِسْمَاعِيلُ
Maksudnya: Dan (ingatlah) ketika Nabi
Ibrahim bersama-sama dengan anaknya Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas
(tapak) Baitullah (Kaabah) itu.
a)
Para mufassirin seperti al-alusia, al-muqatil,al-Tabari,
al-samqandi, al-Mawardi,alwahidi dan lain-lain berkata maksud alqawaid dalam ayat di atas ialah asas.
Dan FirmanNya
lagi:
قَدْ
مَكَرَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَأَتَى اللَّهُ بُنْيَانَهُمْ مِنَ الْقَوَاعِد
Maksudnya: Sebenarnya
orang-orang yang terdahulu dari mereka telah menjalankan rancangan jahat
(terhadap ugama Allah dan Rasul-rasulNya); maka Allah binasakan bangunan
(rancangan jahat) mereka dari asas-asasnya.
Melalui keterangan di atas, dapatlah dibuat
kesimpulan bahawa yang dimaksudkan dengan kaedah dari sudut bahasa ialah asas
atau tapak.
Maksud Fiqh
Pengarang kitab Adwar ‘Ilm al-Fiqh wa Atwaruh berkata:
perkataan fiqh di awal kebangkitan Islam tidak hanya dikhususkan semata-mata
kepada ilmu fiqh, bahkan perkataan ini digunakan untuk kesemua cabang ilmu asas
dalam Islam, sama ada yang berbentuk usul seperti aqidah atau pun furu’ seperti
fiqh, juga termasuk yang berkaitan dengan akhlak.
Manakala faqih pula dinisbahkan
kepada seseorang yang menghafal ayat-ayat al-Quran serta memahami maknanya,
tahu nasakh mansukhnya, muhkam
mutashabih, ‘umum, khusus, mutlaq
atau muqayyad.
‘Abd al-Karim Zaydan
dalam bukunya al-Madkhal li Dirasat al-Shari‘ah al-Islamiyya berkata pada asalnya kalimah fiqh digunakan untuk
kesemua hukum-hukum agama yang dibawa oleh syariah.
Abu Hanifah,
‘Ubayd bin Mas‘ud, Imam
al-Ghazali dan juga Hasan
al-Basri menggunakan perkataan
fiqh untuk semua Ilmu. Imam Abu Hanifah contohnya
telah menamakan tulisannya yang berkaitan dengan aqidah sebagai “al-Fiqh
al-Akbar”. Imam al-Ghazali berkata:
ولقد كان اسم الفقه في العصر الأول مطلقاً على علم طريق الآخرة ومعرفة
دقائق آفاق النفوس ومفسدات الأعمال وقوة الإحاطة بحقارة الدنيا وشدة التطلع إلى
نعيم الآخرة واستيلاء الخوف على القلب، ويَدُلّكَ على ذلك قوله عز وجل: فَلَوْلاَ
نَفَرَ مِنْ كُلِّ فِرْقَةٍ مِنْهُمْ طَائِفَةٌ لِيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ
وَلِيُنْذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ.
Maksudnya:
Sesungguhnya
istilah fiqh pada zaman pertama diistilahkan untuk semua jenis ilmu yang
membawa kepada akhirat dan mengetahui perincian yang berkaitan dengan jiwa,
perkara yang merosakkan amalan, kekuatan menguasai kehinaan dunia, bersungguh
dalam mengkaji kenikmatan akhirat dan mengusai ketakutan terhadap hati. Apa
yang disebutkan di atas, dibuktikan dengan firman Allah taala: Oleh itu,
hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya
orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu Yang dituntut
di Dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang)
apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; Mudah-mudahan mereka dapat
berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).
Begitu juga dengan
Ubaid bin Mascud
pernah berkata:
اسم الفقه في العصر الأوّل كان مطلقًا على علم الآخرة، ومعرفة دقائق
النفوس، والاطلاع على الآخرة وحقارة الدنيا، ولست أقول: إن الفقه لم يكن مُتناولاً
أولاً الفتاوى والأحكام الظاهرة.
Maksudnya:
Perkataan fiqh
pada peringkat permulaan digunakan untuk ilmu berkaitan akhirat, ilmu untuk
mengenali batin jiwa manusia, mengetahui alam akhirat dan kehinaan dunia. Namun
aku tidak mengatakan bahawa perkataan fiqh itu langsung tidak mencakupi perkara
berkaitan fatwa dan hukum hakam zahir.
Setelah beredarnya
masa, penggunaan perkataan fiqh mula dikhususkan untuk ilmu yang berkaitan
dengan hukum-hakam yang bermula pada zaman tabi‘
al-tabi‘in.
Pengertian Fiqh dari sudut Bahasa
Perkataan fiqh
merupakan pecahan bagi kata dasar (فقه) dan diulang sebanyak 20
kali dalam al-Quran.
Dari sudut bahasa
maksudnya berlegar sekitar memahami dan ilmu.
a) al-Jirjani
mentakrifkan fiqh sebagai: Memahami maksud pertuturan seseorang.
b)
Pengarang Ensiklopedia fiqh pula berkata fiqh
ialah: Mengetahui sesuatu dan memahaminya dan cerdik tentangnya. Kebiasaanya
perkataan fiqh digunakan untuk ilmu-ilmu agama kerana kemuliaan ilmu ini.
c)
Muhammad Mustafa
Shalabi dalam bukunya al-Madkhal fi
al-Ta‘rif bi al-Fiqh al-Islami:
berkata al-Quran menggunakan perkataan fiqh untuk memahami sesuatu dengan
mendalam.
d)
Manakala al-Razi dan
al-Amidi pula berkata al-fiqh ialah faham.
e)
Begitu juga dengan Abu Bakr
Ahmad al-Baghdadi berkata al-fiqh
ialah al-fahm (faham). Seseorang itu tidak faqih kata-kata ku maksudnya
seseorang itu tidak memahami kata-kataku.
Maksud fiqh dari
sudut bahasa sebagaimana yang diterangkan oleh ahli-ahli bahasa ialah memahami
dan mengerti kerana setiap ilmu datangnya daripada Allah. Makna inilah yang
telah ditegaskan oleh Allah.
FirmanNya:
قَالُوا
يَا شُعَيْبُ مَا نَفْقَهُ كَثِيرًا مِمَّا تَقُولُ
Maksudnya: Mereka berkata: Wahai Shuacib, ! Kami tidak
mengerti kebanyakan dari apa yang Engkau katakan itu.
FirmanNya lagi:
وَاحْلُلْ
عُقْدَةً مِنْ لِسَانِي ()
يَفْقَهُوا قَوْلِي
Maksudnya: Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, ”Supaya
mereka faham perkataanku. ”
Oleh itu apa yang
dimaksudkan dengan fiqh dari sudut bahasa ialah memahami sesuatu perkara dengan
mendalam dan terperinci. Oleh itu seseorang tidak dinamakan faqih jika dia
tidak memahami sesuatu dengan jelas terang dan terperinci.
Fiqh Pada Istilah
Dari segi istilah,
pelbagai pengertian telah dikemukakan oleh para ulama, walaupun berbeza dari
segi lafaz tetapi dari sudut makna ia hampir mempunyai persamaan.
a) al-Zarkashi dan
al-Isnawi telah memberi pengertian fiqh dengan katanya: Mengetahui hukum-hukum
syarak yang berbentuk praktikal yang diambil daripada dalil-dalil yang
terperinci.
b) Manakala al-Amidi
menyebut fiqh ialah ilmu yang terhasil secara jumlahnya daripada hukum-hukum
syarak yang far‘i dengan cara memerhati dan menggunakan
dalil.
c) al-Baji
memberi pengertian yang lebih ringkas tentang fiqh iaitu mengetahui hukum-hukum
syarak.
d) Ibn Qudamah
berkata: Fiqh ialah mengetahui hukum-hukum syarak yang berbentuk perbuatan
seperti halal, haram, sah dan fasad.
e) al-Shawkani:
Mengetahui hukum-hukum syarak dengan dalil-dalil yang terperinci dengan cara
beristidlal.
f) al-Asmandi
berkata fiqh ialah hukum-hukum yang didapati melalui syarak, bukannya hukum
yang diperolehi daripada aqal.
Kesimpulan tentang
maksud fiqh ialah mengetahui sesuatu perkara yang berkaitan dengan hukum-hukum
syarak yang berbentuk praktikal dengan mendalam dan terperinci yang diambil
daripada dalil yang terperinci.
Hubungan Fiqh Dengan Syariah
Ramai di kalangan masyarakat
awam yang keliru dengan perkataan fiqh dan juga syariah. Pengkaji akan
menjelaskan secara ringkas perbezaan antara fiqh dengan syariah.
Dari sudut bahasa,
syariah mempunyai beberapa maksud antaranya jalan yang lurus dan juga tempat
manusia mencari sumber minuman. Kedua-dua makna tersebut mempunyai makna yang
sama dengan syariah kerana kedua-duanya mempunyai persamaan iaitu menjadi
tempat tumpuan manusia.
Firman Allah
Ta‘ala:
ثُمَّ
جَعَلْنَاكَ عَلَى شَرِيعَةٍ مِنَ الْأَمْرِ فَاتَّبِعْهَا وَلَا تَتَّبِعْ
أَهْوَاءَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُون
Maksudnya:
Kesudahannya Kami jadikan Engkau (Wahai Muhammad dan
utuskan engkau) menjalankan satu syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum
ugama; maka Turutlah syariat itu, dan janganlah Engkau menurut hawa nafsu
orang-orang Yang tidak mengetahui (perkara Yang benar).
Manakala dari
sudut istilah, syariah bermaksud “hukum-hukum yang disyariatkan oleh Allah ke
atas hambanya menerusi seorang Rasul. Hukum-hukum yang diturunkan oleh Allah
disebut sebagai syariat kerana lurusnya hukum tersebut dan sekali-kali tidak bengkok
atau menyeleweng daripada jalannya. Perbezaan antara fiqh dengan syariah
antaranya ialah:
a)
Syariah merupakan suatu sistem atau perundangan
yang lengkap meliputi seluruh aspek kehidupan manusia sama ada berkaitan dengan
aqidah, akhlak, ibadah atau muamalah. Ia menggariskan kaedah-kaedah,
dasar-dasar umum dan daripada dasar-dasar inilah dipegang hukum yang tidak
dinaskan secara langsung di dalam al-Quran atau al-Sunnah.
b)
Adapun fiqh ialah mengetahui hukum-hukum syarak
yang berbentuk praktikal. Manakala dari satu sudut yang lain ia merupakan
pendapat para mujtahidin di kalangan ulama yang disebut sebagai fiqh Shafici,
fiqah Maliki, fiqh Hanafi dan
sebagainya.
c)
Syariah lebih umum berbeza dengan fiqh yang lebih
khusus kepada sesuatu masalah atau perbincangan seperti fiqh zakat, fiqh
muamalat, dan sebagainya.
d)
Syariah diwajibkan ke atas setiap manusia, adapun
pendapat mujtahid tidak diwajibkan ke atas mujtahid yang lain bahkan tidak
diwajibkan ke atas orang yang mengikutinya setelah ia memilih pendapat lain.
e)
Fiqh merupakan istinbat
mujtahid yang kadang-kadang dapat mengatasi permasalahan untuk sesuatu masa dan
juga tempat sahaja bukan untuk semua tempat dan masa berbeza dengan syariah.
f)
Hukum-hukum syariah tidak ada kesilapan dan
kesalahan serta tidak berlaku perubahan, berbeza dengan kefahaman para fuqaha
atau mujtahid yang ada kesilapan Di
samping itu juga pendapat fuqaha mengalami perubahan. Contohnya pendapat Imam
Shafici yang berubah daripada qawl qadim kepada qawl jadid.
g)
Syariah bersifat kekal dan tidak berlaku
perubahan, berbeza dengan fiqah yang sebahagian besarnya telah hilang
disebabkan tiada pengikut atau tiada yang menyebarkannya seperti fiqh al-Awza‘i,
Dawud al-Zahiri, al-Thawri.
Pengertian Kaedah Fiqh
Pengertian Kaedah Fiqh Sebagai suatu ilmu yang khusus
Apabila dirujuk
kepada kitab-kitab qawa‘id fiqhiyyah yang ditulis oleh ulama silam atau penulis
semasa, pelbagai definisi dibuat dapat ditemui. Kebanyakan mereka mempunyai
definisi yang tersendiri sehingga menjangkau lebih daripada dua puluh definisi
dikemukakan.
Banyaknya definisi
sama ada kerana keluasan ilmu yang mereka miliki atau kerana luasnya
perbincangan ilmu qawa‘id fiqhiyyah atau berbezanya pemahaman mereka
terhadap ilmu ini. Apabila dibuat penelitian secara mendalam tentang definisi
yang dikemukakan, ada di kalangan ulama yang memberi definisi kaedah secara
umum yang meliputi semua jenis kaedah, sama ada kaedah usul, kaedah fiqh dan
kaedah bahasa.
Ada pula yang
memberikan definisi khusus untuk kaedah fiqh sahaja. Di samping itu ada juga di
kalangan ulama yang mengatakan bahawa kaedah fiqah bukan bersifat kulli
dan ada pula yang berpendapat sebaliknya.
Oleh kerana banyak
definisi yang ada maka pengkaji akan membahagikan perbincangan kepada dua
bahagian. Pertama yang dibuat oleh ulama silam dan yang kedua yang dibuat oleh
penulis atau ulama semasa. Seterusnya pengkaji akan memilih definisi yang
terbaik dan membuat kesimpulan terhadap definisi tersebut.
Pengertian Ulama silam
a)
al-Subki: Iaitu sesuatu yang kulli
(keseluruhan) yang boleh diaplikasikan ke atasnya juzuk-juzuk yang banyak, yang
dapat difahami hukum darinya.
b)
al-Hamawi: Iaitu hukum kebanyakan
bukan kulli (keseluruhan) yang boleh diaplikasikan ke
atas kebanyakan juzuk-juzuk untuk mengetahui hukum daripadanya. al-Taftazani:
Hukum kulli yang boleh diaplikasikan ke atas kesemua
juzuk untuk mengetahui hukum daripadanya.
c)
al-Jirjani:
Sesuatu yang bersifat kulli yang boleh
diaplikasikan ke atas kesemua juz’iyyatnya.
Pengertian Ulama Semasa
a)
al-Zarqa’: Pokok-pokok fiqh yang
bersifat usul fiqhiyyah yang berbentuk kulli,
dalam bentuk nas perundangan yang ringkas, meliputi hukum-hukum perundangan
yang umum dalam persoalan-persoalan yang dimasukkan di bawah mauduknya.
b)
Mustafa Shalabi: Asas
atau pokok yang kulli yang dibentuk daripada nas ringkas yang
merangkumi hukum-hukum syarak yang umum tentang peristiwa yang termasuk di
bawah mauduknya.
c)
‘Ali al-Nadwi dalam
bukunya al-Qawacid al-Fiqhiyyah telah memberikan dua takrif ilmu
ini:
i.
Hukum syarak dalam bentuk isu-isu kebiasaan yang
dapat diketahui daripadanya hukum-hukum yang masuk di bawah lingkungannya.
ii.
Dasar fiqh yang bersifat kulli
yang merangkumi hukum-hukum umum yang disyariatkan dalam pelbagai bab mengenai
masalah-masalah yang terkandung di bawah lingkungannya.
d)
Mahmud Isma‘il Muhammad
Mis’al: hukum fiqhi yang berbentuk umum yang dapat diketahui
daripadanya hukum-hukum juz’i, mauduknya daripada
bab-bab yang berbeza.
e)
‘Abd al-Rahman
al-Sha‘lan berkata, pengertian kaedah fiqh ialah
hukum fiqah yang kulli yang boleh diaplikasikan ke atas juzuk
yang banyak daripada pelbagai bab.
f)
Shaykh Muhammad al-Khudari
berkata dasar kulli yang boleh diaplikasikan ke atas juz’iyyat ketika diketahui
hukumnya.
Kesimpulan
Penulis lebih
cenderung untuk memilih takrif yang dikemukan oleh ulama yang mengatakan bahawa
kaedah fiqh ialah suatu yang “kulli
yang boleh diaplikasikan ke atas kesemua juzu’nya”.
Pengertian inilah
yang dipegang oleh sebahagian besar ulama seperti al-Jurjaniyy,
al-Fayyumi, al-Subki,
Shaykh Mustafa al-Zarqa’ dan
‘Abd al-Rahman al-Kaylani.
Walaupun takrif
ini mendapat kritikan daripada beberapa penulis seperti al-Hamawi,
dengan alasan kaedah fiqh mempunyai pengecualian sedangkan takrif yang
dikemukakan menggunakan kalimah kulli.
Untuk menjawab persoalan
tersebut, penulis akan menukilkan beberapa jawapan yang telah dikemukan oleh
penulis lain dan tambahan daripada penulis sendiri serta kesimpulannya;
a)
Adanya pengecualian tidak memusnahkan sifat kulliyyah
kerana setiap kaedah mempunyai syarat-syarat yang tertentu bahkan setiap
pengecualian yang terdapat dalam kaedah tersebut adalah terkeluar daripada
kaedah kerana pada asalnya ia bersifat sedemikian bahkan setiap kaedah atau
dasar sesuatu perkara terdapat pengecualiannya.
b)
Dalam hal ini al-Shatibi berkata:
“Sesungguhnya dasar-dasar kulli apabila telah
tetap, dengan adanya sesuatu yang tidak termasuk di dalamnya ia tidak
memusnahkan sifat kulliyynya. Jadi pada pandangan al-Shatibi
dengan adanya pengecualian tidak memusnahkan sifat kulliyy sesuatu kaedah.
c)
al-Quran telah menggunakan perkataan kulli
ketika Allah s. w. t memperkatakan tentang golongan yang mendapat rahmat
daripadaNya. Allah s. w. t. telah berfirman:
وَرَحْمَتِي وَسِعَتْ كُلَّ
شَيْءٍ
Maksudnya:
Dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu.
Daripada zahir
ayat, seolah-olah semua makhluk akan menerima rahmat daripada Allah s. wt.,
sedangkan pada hakikatnya tidak sedemikian.
Muqatil ketika
mentafsirkan ayat di atas berkata: Dan rahmat Allah memenuhi setiap sesuatu,
maka Iblis berkata: “Sesungguhnya aku termasuk dalam golongan tersebut. ”
Lantas Allah menjawab: “Sesungguhnya rahmatKu hanya untuk orang-orang bertakwa.
” Apa yang disebutkan oleh Muqatil, disebutkan juga oleh al-Qurtubi dalam
tafsirnya ketika mentafsikan ayat di atas.
Perbezaan Kaedah Fiqh dengan Kaedah Usul Fiqah
Imam al-Qarafi
dianggap sebagai ulama pertama yang memberikan perbezaan antara kaedah usul
fiqh dengan kaedah fiqh, sebagaimana disebutkan oleh beliau dalam kitabnya yang
amat berharga iaitu al-Furuq.
Pengertian Kaedah Usul
Kaedah usul boleh
diertikan sebagai “dasar kulli yang dapat
diketahui daripadanya hukum-hukum juz’i yang
termasuk di bawah mauduknya. ” Contoh kaedah usul yang mashyur ialah:
كل أمر للوجوب
Maksudnya: Setiap
perintah adalah Wajib.
كل نهى للتحريم
Maksudnya: Setiap larangan adalah haram.
Persamaan kaedah Usul dengan Kaedah Fiqh
Terdapat beberapa
persamaan antara kaedah usul dengan kaedah fiqh. Antaranya ialah:
- Kedua-dua kaedah ini bertujuan untuk memudahkan dalam memahami hukum-hukum yang diturunkan oleh Allah (s. w. t).
- Setiap furuk yang diaplikasikan ke atas kaedah sama ada dari kaedah usul atau kaedah fiqh berbeza di antara mazhab-mazhab fiqh.
Perbezaan Kaedah Usul dan Kaedah Fiqh
i.
Kaedah usul lahir pada kebiasaannya daripada
lafaz-lafaz dan nas-nas bahasa Arab, manakala kaedah fiqh pula lahir daripada
hukum-hukum syarak dan juga masalah-masalah fiqh.
ii.
Kaedah usul merupakan manhaj dan penjelasan
tentang cara yang mesti diikuti oleh seseorang faqih untuk mengistinbatkan
hukum-hukum daripada dalil-dalilnya. Adapun kaedah fiqh pula merupakan sesuatu
( mabda’) umum dalam fiqh Islam yang merangkumi hukum-hukum syarak umum
yang dapat diaplikasikan ke atas sesuatu perkara atau kejadian yang termasuk di
bawah tajuknya.
iii.
Kaedah usul perbincangannya ialah tentang
dalil-dalil seperti al-Quran, al-Sunnah, ijmak dan qiyas. Kaedah fiqh pula
perbincangannya adalah perbuatan manusia seperti sengaja, tidak sengaja,
dipaksa dan sebagainya.
iv.
Kaedah usul dikhususkan kepada para mujtahid
digunakan untuk mengistinbatkan hukum fiqh dan ketika untuk megetahui hukum
bagi peristiwa dan persoalan yang baru berlaku. Kaedah fiqh khas untuk fuqaha’
atau mufti atau untuk seseorang yang mahir dengan ilmu ini bagi megetahui hukum
bagi sesuatu perkara tanpa perlu merujuk kepada kitab-kitab fiqh.
v.
Kaedah usul merupakan sesuatu yang tetap dan tidak
berubah. Kaedah fiqh tidak semuanya tetap, kadang-kadang berlaku perubahan bagi
kaedah yang didasarkan kepada uruf dan adat, maslahah dan
lain-lain.
vi.
Seseorang yang telah mengusai kaedah usul tidak
semestinya dia telah mengusai usul fiqh. Dengan mengusai kaedah fiqh,
kebisaaannya seseorang telah dapat mengusai fiqh.
vii.
Kedah usul merupakan dalil-dalil umum, manakala
kaedah fiqh pula merupakan hukum yang berbentuk umum. Contoh kaedah usul
seperti ما لا يتم الواجب
الا به فهو الواجب. Manakala
kaedah fiqh seperti: العادة محكمة
viii.
Kaedah usul lahir terlebih dahulu sebelum
kewujudan furuk, manakala kaedah fiqh lahir terkemudian daripada furuk masalah.
ix.
Para mujtahid memandang kaedah usul dari sudut
lafaz, sebelum mengeluarkan hukum, manakala kaedah fiqh dipandang dari sudut
makna. Contoh ayat (ولاتقربوا الزنى). Mereka memandang ayat tersebut dari sudut lafaz
sama ada perintah atau larangan, sebelum mengeluarkan hukum. Contoh untuk
kaedah fiqh pula seseorang ragu-ragu tentang bilangan rakaat, maka fuqaha’ akan
melihat dari sudut makna ragu-ragu tersebut.
Perbezaan antara Kaedah Fiqh dengan al-Ashbah wa al-Naza’ir
Perkataan ashbah pertama kali telah
digunakan oleh Sayyidina ‘Umar ibn al-Khattab ketika baginda
mengutus surat kepada Abu Musa
al-Asha‘ari. Antara isi kandungan surat tersebut:
اعرف الأمثال والأشباه، ثم قس الامورعندك
Maksudnya:
Kamu kenalilah
persamaan kemudian qiaskan perkara-perkara yang ada disi kamu.
Daripada
penelitian yang dilakukan, pengkaji beranggapan bahawa penulis pertama yang
menggunakan tajuk al-Ashbah wa al-Naza’ir ialah Muqatil
ibn Sulayman al-Balkhi dalam
kitabnya al-Ashbah wa al-Naza’ir fi al-Qur’an al-Karim. Pengarang kitab ini telah menyebut
perkataan-perkataan tertentu dalam al-Quran dan mendatangkan pelbagai makna
bagi perkataan tersebut. Sebagai contoh perkataan huda
dalam al-Quran mempunyai 17 bentuk antaranya al-bayan
(penjelasan), din al-Islam (agama Islam), al-iman, da‘i (penyeru), ma‘rifah (pengetahuan)
dan lain-lain.
Adapun pengarang
pertama dalam fiqh yang menggunakan tajuk al-ashbah wa al-naza’ir ialah ulama dari mazhab Shafici
yang dikenali dengan Ibn al-Wakil dalam kitabnya al-Ashbah wa al-Naza’ir.
Persamaan antara Kaedah denganAshbah
- Sama-sama membincangkan furu fiqh yang hampir sama.
- Sama-sama bertujuan untuk merungkaikan dan mencari jawapan bagi masalah yang berlaku.
Perbezaan antara Kaedah denganAshbah
- Ashbah lebih umum berbanding kaedah yang lebih khusus.
- al-Ashbah wa al-Naza’ir menekankan kepada furuk dan juz’iyyat fiqh yang hampir sama, manakala kaedah pula menekankan hubungan kesemua dengan furuk dan juzu’.
Kepentingan Dan Faedah Mempelajari Kaedah Fiqh
Memang tidak
dinafikan kaedah fiqh mempunyai kepentingan yang amat besar kepada umat Islam
lebih-lebih lagi kepada para ulama yang berkecimpung dalam bidang yang
berkaitan dengan pengeluaran hukum hakam dan fatwa, seperti para mufti dan
hakim. Kepentingan dan faedah mempelajari ilmu ini, telah banyak diperkatakan
oleh ulama-ulama silam dalam karangan mereka dan juga oleh penulis-penulis
semasa. Sebelum pengkaji meringkaskan apa yang telah diperkatakan oleh mereka,
rasanya lebih baik kita perhatikan apa yang pernah disebutkan oleh ulama silam
tentang ilmu ini:
Imam Suyuti pernah menyebut dalam kitabnya al-Ashbah wa al-Naza’ir:
اعلم أن فن الأشباه والنظائر فن عظيم، به يطلع على حقائق الفقه،
ومداركه ومآخذه وأسراره، ويتمهر فى فهمه واستحضاره، ويقتدرعلى الإلحاق والتخريج،
ومعرفة الأحكام والمسائل التى ليست بمسطورة، والحوادث والوقائع التى لاتنقضى على
ممر الزمان.
Maksudnya: Sesungguhnya Ilmu al-Ashbah
Wa al-Nazair
suatu ilmu yang agung, dengannya dapat diketahui hakikat fiqah, tempat
pengambilan dan rahsia-rahsianya mahir dalam memahami fiqh dan menghadirkan
masalah, mampu untuk menyamakan dan mengeluarkan hukum, dapat mengetahui
hukum-hukum dan masalah-masalah yang tidak habis persitiwa dan kejadian yang
tidak habis dengan perjalanan masa.
Manakala
al-Zarkashi pula berkata:
ومن ضبط الفقه بقواعده استغنى عن حفظ أكثر الجزئيات لاندراجها في
الكليات………. .
Maksudnya:
Sesiapa yang mengawal fiqh dengan kaedah–kaedah fiqh maka dia tidak perlu untuk
menghafal banyak cabang kerana cabang tersebut telah terangkum dalam kuliyyat.
. . . . .
Manakala ulama
dari mazhab Maliki pula menyebut dalam al-Furuq:
وهذه القواعد مهمة في الفقه، عظيمة النفع، وبقدر الإحاطة بها يعظم قدر
الفقيه ويشرف،
Maksudnya: Kaedah ini penting bagi
fiqh, besar manfaatnyadengan mendalaminya akan hebat seseorang faqih dan ia
akan mulia….
Kepentingan ilmu
ini dapat dibahagikan kepada empat aspek:
1.Membentuk Gambaran Umum Tentang Fiqh
a)
Pengajian kitab fiqh di Malaysia untuk masyarakat
awam kebanyakannya tidak sempat untuk dikhatamkan dengan bermacam-macam alasan.
Dengan adanya pengajian kaedah fiqh ini akan membuka peluang kepada masyarakat
awam untuk mendapat gambaran umum tentang fiqh dari kesemua bab.
b)
Islam ialah agama yang mudah dan tidak membebankan
umatnya dengan perkara-perkara yang sukar. Dengan adanya kaedah fiqh, maka ia
dapat menarik umat Islam untuk mendalami ilmu fiqh dengan lebih mudah dalam
bentuk baru.
2.Mengeluarkan Hukum Isu-Isu Semasa
a)
Setiap mukmin yang mengambil berat masalah halal
haram dalam kehidupannya akan merujuk kepada mereka yang berkelayakan untuk
menyelesaikan persoalan yang timbul dalam kehidupannya. Dengan adanya kaedah
fiqh, akan memudahkan untuk mencari jawapan bagi persoalan yang dikemukakan.
b)
Orang yang mengusai kaedah fiqh lebih mudah untuk
mencari jawapan tanpa perlu merujuk kepada kitab-kitab fiqh. Ini berdasarkan
pengalaman penulis yang mula didedahkan dengan ilmu ini sejak 1991 dan
menyampaikan kepada masyarakat awam.
3.Menjaga dan Mengehadkan Furu’ Fiqh Yang Berterabur
Salah satu
kesukaran yang dilalui ketika mempelajari ilmu fiqh ialah untuk mengingati
masalah-masalah fiqh yang tidak terhitung banyaknya, bahkan ia bertambah dari
setahun ke setahun kerana bertambahnya persoalan-persoalan yang menimpa
manusia. Dengan mengusai ilmu ini kesukaran untuk mengingati masalah-masalah
ini dapat diatasi iaitu dengan cara menghafal kaedah-kaedah fiqh.
4.Melahirkan Ahli Fiqh yangMuktabar
a)
Untuk melahirkan seorang ahli fiqh yang hebat
bukannya suatu yang mudah, tetapi dengan mempelajari kaedah fiqh dan dawabit fiqhiyyah,
jalan ke arahnya lebih terbuka.
b)
Ahli fiqh juga semestinya dikehendaki menguasai
maqasid syariah yang agak rumit, tetapi dengan mempelajari kaedah fiqh kandungannya
memberi gambaran yang jelas tentang maqasid dan tujuan syarak.
Kehujjahan Kaedah Fiqh
Sebagaimana yang
telah disebutkan dalam perbincangan yang lepas kaedah fiqh memainkan peranan
yang besar dalam memudahkan pengeluaran hukum-hukum berdasarkan nas-nas kaedah.
Dari situ timbul satu persoalan yang agak menarik untuk dibincangkan iaitu
tentang kehujjahan kaedah fiqh atau dengan kata lain adakah kaedah fiqh boleh
dijadikan sebagai sumber hukum sebagaimana sumber hukum yang lain seperti
al-Quran, sunnah, ijmak, qiyas, al-masalih al-mursalah, sadd al-dhara’i‘, istihsan, istishab dan lain-lain
sumber dalam mengistinbatkan hukum-hakam.
Perbincangan
berkaitan perkara ini telah pun dibincangkan oleh beberapa penulis silam
seperti Imam Shafici, Imam al-Ghazali,
al-Qarafi, al-Juwayni, Ibn
Daqiq al-‘Id, Imam al-Shatibi dan
lain-lain. Penulis semasa seperti Ahmad al-Nadwi,
‘Uthman Shubayr, al-Burnu, Mahmud Isma‘il Muhammad
Mish‘al juga telah membuat perbincangan tentang perkara ini dengan lebih
lanjut. Di samping menukilkan apa yang pernah dibincangkan oleh mereka di sini,
penulis juga akan menambah beberapa perkara yang tidak disebutkan oleh
penulis-penulis tersebut dan membuat kesimpulan daripada apa yang telah
dibincangkan.
Pendapat Ulama
Ulama telah
berselisih kepada dua pendapat dalam menjadikan kaedah fiqh sebagai sumber
hukum. Walaupun ‘Uthman Shubayr membahagikan kepada tiga
pendapat, tetapi pendapat kedua dan ketiga boleh disatukan.
Pendapat Pertama
Harus menjadikan
kaedah fiqh sebagai sumber hukum. Pendapat ini dipegang oleh, Imam al-Ghazali, al-Qarafi, Ibn
Bashir, al-Shatibi, al-Suyuti, dan
al-Futuhi. Manakala dari kalangan penulis semasa
seperti al-Burnu, Ya‘qub al-Bahsayn dan
Mahmud Isma‘il Muhammad
Mish‘al.
Hujjah yang Digunakan
i.
Sebahagian daripada kaedah fiqh berasal daripada
nas sama ada al- Quran atau al-Sunah, atau nas yang diubah suai tetapi tidak
menjejaskan kedudukannya. Maka tidak dapat diterima jika atas nama nas ia
diterima sebagai dalil, tetapi apabila ditukar kepada kaedah fiqh ia tidak
boleh menjadi dalil.
ii.
Dalil-dalil yang tidak disepakati di kalangan
ulama boleh diterima sebagai sumber hukum di kalangan mazhab tertentu,
sedangkan dalil yang mengiktirafnya sebagai sumber hukum lebih lemah berbanding
sumber nas berkaitan dengan kaedah.
iii.
Kaedah fiqh merupakan dasar kulli
yang boleh diaplikasikan ke atas semua cabang. Walau pun wujud pengecualian,
namun tidak menjadi suatu kecacatan kepada sifat kulli yang ada pada
keadah fiqh.
iv.
Kehujjahan kaedah dan kemampuannya untuk dijadikan
dalil diambil daripada gabungan dalil-dalil juz’ie yang berkembang, kerana
setiap dalil juz’ie merupakan hujjah yang mesti beristidlal dengannya. Maka
gabungan dalil-dalil yang lebih layak dijadikan dalil.
v.
Apabila diperhatikan kepada ijtihad yang
dikeluarkan oleh imam-imam mujtahid, didapati bahawa mereka mengambi kira dan
berpegang dengan kaedah fiqh ketika hendak mengeluarkan hukum.
Pendapat Kedua
Tidak harus
menjadikan kaedah fiqh sebagaimana sumber hukum selagi tidak didapati nas yang
jelas daripada al-Kitab atau al-sunnah. Pendapat ini dipegang oleh Imam
al-Juwayniyy, Ibn Daqiq al-‘Id, Ibn
Nujaym, penulis Majallat al-Ahkam, Mustafa
al-Zarqa’ dan ‘Uthman
Shubayr.
Dalil Pendapat Kedua
a) Kaedah fiqh adalah
bersifat majoriti (aghlabiyyah) bukan keseluruhan (kulliyyah).
Pengecualian yang ada adalah banyak. Kemungkinan akan berlaku perkara yang
dikecualikan akan dimasukkan ke dalam kaedah ketika beristinbat.
b) Kebanyakan kaedah
fiqh tidak bersandar kepada nas syarak, tetapi berdasarkan kepada ijtihad yang
kemungkinan salah, oleh itu dengan menyamakan kaedah ke atas semua furuk
termasuk dalam bahagain yang tanpa pertimbangan sewajarnya..
Pendapat Terpilih
Penulis lebih
cenderung untuk memilih pendapat yang membolehkan kaedah fiqh dijadikan sebagai
sumber hukum. Ini kerana hujjah yang digunakan oleh pendapat yang tidak
menerimanya adalah lemah berdasarkan alasan-alasan berikut:
a. Jelas bahawa kaedah
fiqh adalah berdasarkan kepada dalil-dalil yang sebahagiannya mencapai tahap qat‘i manakala yang lain sememangnya mempunyai dalil dan sandaran.
b. Kaedah yang
dikeluarkan berdasarkan ijtihad juga dikira, walaupun ia hanya mencapai tahap zann kerana zann hanya semasa
mengistinbatkan hukum.
c. Setiap kaedah
mempunyai pengecualian. Adanya pengecualian tidak menjejaskan sifat kullinya.
Penutup
Ilmu kaedah fiqh suatu ilmu yang mesti
dikuasai oleh para ulama hari ini sesuai dengan kedudukan dan peranannya dalam
menyelesaikan persoalan-persolan yang berlaku yang memerlukan jawapan segera.
Ustaz Wan Mohd Zul Bin Wan Yusuf
Polimas
19 Syawal 1434
4 comments:
jazakallah...revisi utk exam saya di oum iAllah
assalamualaikum ustaz, terima ksih atas perkongsian ustaz berkaitan usul dan kaedah fiqh ini. bolehkah saya dapatkan sumber2 rujukan berkaitan daripada ustaz kerana saya memerlukan sumber tersebut untuk menulis dalam tesis saya. terima kasih. jkkj.
Syukran Ustaz, ana mintak izin untuk copy-paste sebagai bahan PdP tingkatan 6.
Syukran Ustaz, ana mintak izin guna sebagai bahan PdP tingkatan 6.
Post a Comment