PENGENALAN IMAM AL-NAWAWI
1. 1 Pengenalan
Al-Quran yang
diturunkan oleh Allah (s. w. t) merupakan kitab hidayah dan panduan kepada
seluruh umat manusia. Pelbagai perkara dipaparkan oleh Allah (s. w. t) di
dalamnya untuk memenuhi tujuan dan matlamat tersebut. Antara yang dipaparkan
ialah kisah individu tertentu yang terdiri dari insan –insan yang soleh dan
terpilih untuk diambil pengajaran dan iktibar oleh umat Muhammad s. a. w. Di
antara secebis kisah yang dipaparkan ialah kisah Ashab al-Ukhdud, Ashab
al-Kahfi, Kisah Nabi Yusuf dan pelbagai kisah –kisah lain yang boleh
diambil manfaat dan pengajaran yang berguna bagi manusia yang menggunakan aqal
fikirannya dengan sebaik mungkin. Allah s. w. t berfirman:
لَقَدْ
كَانَ فِي قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لِأُولِي الْأَلْبَابِ مَا كَانَ حَدِيثًا
يُفْتَرَى وَلَكِنْ تَصْدِيقَ الَّذِي بَيْنَ يَدَيْهِ وَتَفْصِيلَ كُلِّ شَيْءٍ
وَهُدًى وَرَحْمَةً لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ[1]
Maksudnya:
Demi sesungguhnya, kisah nabi-nabi itu
mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai
akal fikiran. (kisah nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah ia
cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di
dalam kitab-kitab ugama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan
yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat
bagi kaum yang (mahu) beriman.
Ulama ialah pewaris para Nabi merupakan
insan yang istimewa dianugerahkan oleh Allah dengan beberapa darjat. Sebahagian
dari mereka mempunyai keperibadian yang begitu terserlah, unggul dan hebat
berbanding yang lain. Keperibadian dan kehidupan sebegini seharusnya dipaparkan
kepada masyarakat bukannya untuk berbangga dengan apa yang mereka lakukan
tetapi untuk dijadikan ikutan dan tauladan kepada umat sezaman dan selepasnya. Abd
al-Wahab Syacrani
ketika memaparkan keperibadian dan kehidupannya berkata “ Aku tidak bermaksud
dengan apa yang disebutkan dari akhlak-dalam kitab ini untuk berbangga kepada
sahabat- sahabat dan kawan-kawan”[2].
Dalam bab ini penulis akan memaparkan shasiah
dan latar belakang tokoh dalam Mazhab
Shafici iaitu Imam al-Nawawi.
1. 2 Pengenalan
Imam al-Nawawi
1. 2. 1 Latar Belakang Kehidupan Imam al-Nawawi.
Pendahuluan
Beliau merupakan
penulis kepada tiga buah kitab yang lembarannya jika digabungkan tidaklah
setebal kitab “Zad al-Macad”[3] tetapi kitabnya amat tersohor dan begitu
dikenali serta amat bernilai, sehinggakan setiap rumah pasti akan menyimpannya.
Kitab yang dimaksudkan itu ialah “al-Azkar” “al-Arabacin” dan Riyadul al-Salihin”
dan Shasiah yang dimaksudkan ialah Imam al-Nawawi.
1. 2. 2. Latar Belakang Kehidupan
Beliau ialah al-Imam al-Hafiz Shaykh
al-Islam Mahyu al-Ddin Abu
Zakariyya Yahya ibn Sharaf ibn Muri ibn Hasan
ibn Husayn ibn Muhammad ibn Jumcat ibn Hizam al-Damshiqi
al-Shafici[4]. Al-Nawawi yang
dinisbahkan kepada beliau merupakan sebuah kampung bernama “Nawa”
terletak di daerah Hawran di negara Syam atau Syria pada hari ini.
Imam al-Nawawi telah
diputerakan pada bulan Muharram tahun 631 h bersamaan bulan Oktober 1233 m. Beliau
hanya sempat menjalani kehidupan dalam usia yang singkat sahaja. Pada 24 Rejab
676 h bersamaan 21 disember 1277 beliau telah dijemput oleh Allah s. w. t untuk
mengadapNya ketika berumur 46 tahun.
1. 2. 3 Kunyah, Laqab Dan Gelaran
Menjadi adat dan
kebiasaan di kalangan orang-orang Arab memanggil seseorang dengan dengan
gelaran –gelaran tertentu sama ada berdasarkan kunyah atau
laqab. Nabi Muhammad s. a. w digelar dengan nama “Abi al-Qasim”[5]. Manakala isteri baginda cAishah Ummi
al-Mukminin digelar “Ummu cAbdullah” yang disandarkan kepada anak
saudaranya cAbdullah ibn al-Zubayr
yang merupakan anak kepada saudaranya Asma’.[6]
Adapun Imam al-Nawawi terkenal
dengan gelaran Abu Zakariyya. Ahmad Farid
dalam kitabnya al-Imam al-Nawawi [7] berkata Abu Zakariyya merupakan
kunyah yang tidak didasarkan kepada qias mana-mana kaedah. Beliau diberi
gelaran sedemikian kerana namanya ialah Yahya, orang–orang
Arab pada kebiasaannya memberikan gelaran sedemikian apabila seseorang bernama
Yahya sempena nama Nabi Yahya ibn Zakariyya.
Imam al-Nawawi digelar
Muhyi al-Din bermaksud penghidup agama. Beliau tidak menyukai gelaran tersebut
atas sifat tawaduk dan merendah dirinya. Sememangnya gelaran tersebut
bersesuaian dengan sumbangan dan jasa yang diberikan olehnya dalam menghidupkan
agama dan Sunnah Rasulullah s. a. w dan membenteras bidcah melalui
tulisan dan lisannya[8].
1. 2. 4. Sifat Fizikal Dan Kehidupannya
Antara sifat
fizikal Imam al-Nawawi ialah bahawa mukanya berpetak dan dihiasi
dengan janggut yang tebal dan hitam serta beberapa helai uban dimukanya. Beliau
jarang ketawa, tidak suka menghabiskan masa dengan perkara yang tidak
mendatangkan faedah dan sia-sia seperti bermain. Mula diperkenalkan dengan
asas- asas agama dengan menghafal al-Quran ketika masih kecil iaitu ketika baru
berusia tujuh tahun[9].
Ibn cAttar
telah menukilkan suatu kisah tentang Imam al-Nawawi yang
diceritakan oleh ayahandanya, katanya: Pada malam 27 Ramadhan tahun 637 hijrah
ketika anakku tidur disisiku beliau berusia 7 tahun. Pada malam tersebut anakku
telah tersedar ditengah malam akibat terkejut kerana melihat cahaya yang terang
benderang yang memenuhi seluruh rumah. Lantas beliau mengejutkan daku dengan
berkata; Wahai ayahanda! cahaya apakah yang menerangi dan memenuhi rumah kita
ini? Apabila daku bangun dan mengejutkan ahli keluarga yang lain, daku tidak
nampak sebarang cahaya yang dimaksudkan oleh anaKu itu, tetapi tahulah daku
bahawa itu merupakan suatu petunjuk dan tanda tentang malam yang dicari-cari
oleh seluruh umat Islam di Bulan Ramadhan iaitu malam yang penuh dengan
keberkatan yang telah dijanjikan oleh Allah s. w. t dengan kelebihan seribu bulan
iaitu malam al-Qadar. Kemungkinan dengan sebab ibadat dan doa yang dipohon oleh
ayahanda dan ahli keluarganya pada malam tersebut yang telah diterima dan
dimakbulkan oleh Allah s. w. t menjadi sebab dan musabab Imam al-Nawawi menjadi
seorang ulama yang hebat dan disegani oleh orang ramai.
Beliau mempunyai budi pekerti yang sangat hebat,
kuat ibadah, banyak membaca al-Quran dan berzikir, terlalu warak dan
amat zuhud dalam kehidupannya. Kisah kewarakan dan kezuhudannya menjadi buah mulut
orang ramai pada masa tersebut. Antaranya beliau tidak memakan buah-buahan yang
berasal dari Damsyik. Apabila ditanya sebabnya, beliau menjawab kerana banyak
tanah yang diwaqafkan di Damsyik. Aku bimbang termakan hasil dari tanah yang
diwaqafkan.
Beliau juga amat suka memberi nasihat dan
teguran kepada orang ramai dengan ikhlas. Antaranya yang mashyur ialah
tegurannya kepada Raja al-Zahir. Pada suatu ketika Raja al-Zahir
telah meminta fatwa dari ulama Syam untuk memungut wang dari rakyat bagi
membantunya memerangi tentera Tartar di Syam. Semua ulama telah menyatakan
persetujuan mereka kecuali Imam al-Nawawi sahaja. Apabila
dipanggil ke istana dan ditanya sebab keengganannya memberikan kebenaran kepada
Sultan untuk memungut wang dari rakyat, dengan tegas ia berkata! “Saya akan memberikan
persetujuan setelah perhiasan yang dipakaikan oleh hamba tuanku seramai 1000
orang dan juga perhiasan yang ada pada dayang tuanku seramai 200 orang dijual terlebih
dahulu. Sekiranya masih tidak mencukupi barulah hamba memberi fatwa keharusan
untuk tuanku memungut wang dari rakyat. Mendengar jawapan daripada Imam
al-Nawawi lantas Raja al-Zahir berkata
“Engkau hendaklah keluar dari negeri ini. Setelah Imam al-Nawawi meninggalkan
Syam, raja al-Zahir telah memintanya agar kembali semula
ke Syam tetapi ditolak dan ia berkata! Aku tidak akan kembali kecuali setelah
Raja al-Zahir meninggal. [10]
Manakala kisah kedua juga dengan Raja al-Zahir. Setelah
kembali dari memerangi tentera Tartar di Mesir, Raja al-Zahir telah
dimaklumkan oleh seorang pegawai Baitul Mal
bahawa kebanyakan kebun-kebun di Syam adalah hak milik negara. Apabila
dimaklumkan sedemikian beliau memerintahkan supaya kebun– kebun tersebut
dipagar. Sesiapa yang mendakwa kebun tersebut hak milik mereka hendaklah menunjukkan
bukti. Pemilik kebun menemui Imam al-Nawawi di
Dar al-Hadith mengadu perbuatan yang
dilakukan oleh pemerintah kepada mereka. Lantas Imam al-Nawawi telah
menulis surat kepada Raja al-Zahir menegur tindakan tersebut dengan menyatakan
ianya tidak dihalalkan oleh Ulama dan agama bahkan perbuatan tersebut mendatangkan
mudarat kepada orang Islam. Bahkan mengikut hukum sesuatu yang berada di bawah jagaan
seseorang adalah hak milik mereka. Surat tersebut telah mendatangkan kemurkaan
kepada Raja. Lantas beliau mengarahkan supaya jawatan Imam al-Nawawi dilucutkan
dan gajinya dihentikan serta merta. Pegawainya memaklumkan bahawa Imam al-Nawawi tidak
menjawat sebarang jawatan dan tidak menerima sebarang gaji dari negara. Apabila
surat tersebut tidak mendatangkan apa-apa kesan kepada Raja al-Zahir, beliau
pergi sendiri berjumpa dengan Raja al-Zahir dan menyatakan
dengan tegas perbuatan yang dilakukan tersebut bercanggah dengan Syariat. Raja
al-Zahir ingin melakukan sesuatu tindakan kepada Imam al-Nawawi tetapi
dipalingkan hatinya oleh Allah dan dipelihara Imam al-Nawawi daripada
kezalimannya. [11]
1. 2. 5. Pengembaraan Menuntut Ilmu Dan Keilmuannya
Imam al-Nawawi mengikut
tradisi ulama sebelumnya melakukan pengembaraan dalam menuntut dan mencari ilmu.
Di samping keinginannya yang tinggi untuk memperolehi ilmu, beliau juga
mempunyai seorang bapa yang amat mementingkan pendidikan dan ilmu, serta
bercita-cita agar anaknya yang dikasihi menjadi seorang ulama yang hebat dan
tersohor pada suatu masa kelak. Lantaran itu beliau berusaha agar cita–citanya
tersebut tercapai.
Perjalanan pertama dilakukan ialah pada
tahun 649 hijrah ketika berumur 19 tahun. Destinasi dituju ialah Damsyik yang
merupakan pusat perkembangan ilmu pengetahuan yang dikunjungi oleh pelbagai
lapisan masyarakat dari pelbagai pelusuk dunia Islam pada masa itu.
Setelah tiba di Damsyik al-Nawawi menemui
khatib Jami’ Umawi iaitu Shaykh Jamala al-Din al-Dimsyhiqi
untuk mendapat nasihat siapakah yang harus dituju untuk mencapai cita-cita
tersebut. Beliau mengesyorkan supaya mengikuti halaqah yang dijalankan oleh mufti
syam iaitu Taj al-Din al-Fazari yang
dikenali dengan al-Firkah. Beliau belajar di Dar al-Hadith dan menjadikan
Madrasah Rawahiyyah sebagai tempat penginanpan. Beliau juga menghafal beberapa
kitab fiqh yang menjadi teras kepada fiqh Shafici antaranya al-Tanbih yang dihafalnya
dalam tempoh 4 bulan setengah dan juga ¼ dari Al-Muhadhdhab. Selama
tempoh dua tahun berada di Damsyik beliau menggunakan kesempatan tersebut
dengan sebaik mungkin untuk mendalami dan mengulang kaji kitab–kitab yang telah
dipelajari dengan para mashayaikh antaranya dengan al-Imam Jamal al-Din ibn
Malik. Manakala kitab hadis yang pernah dipelajarinya antaranya ialah al-Nasaiyy, Muwataa’ Malik, Musnad al-Shafici,
Musnad Ahmad ibn Hanbal, Sunan al-Darimi, Sunan Ibn Majah dan Abi Ya’la al-Mawsili.
Manakala kitab Tafsir dan kitab lain yang pernah
dipelajari antaranya ialah Macalim al-Tanzil li al-Baghawi, Al-Ansab oleh al-Zubair
bin Bakar, Khutab al-Nabatiyyah, Risalah al-Kusyairiyyah, cAmal
al-Yawm Wa al- Lailah oleh Ibn Sunni,
Kesungguhannya dalam menuntut ilmu dapat
dilihat dengan kesungguhannya mempelajari sebanyak 12 mata pelajaran dalam
sehari bersama para guru yang meliputi fiqh, hadis, usul fiqh, mantik, bahasa arab,
usuluddin dan lain-lain.
Di samping menghafal
kitab–kitab dan belajar dihalaqat–halaqat yang diajar di Madrasah beliau juga
tidak melepaskan peluang berdamping dengan para guru untuk mendapat ilmu
pengetahuan dan keberkatan daripada mereka. Antara shaykh yang selalu
didampinginya ialah Shaykh Kamal al-Din Ishaq ibn
Ahmad al-Maghribi yang ia banyak mempelajari ilmu.
Berkat hasil usaha yang tidak pernah
mengenal erti penat, jemu, putus asa disamping sentiasa memohon bantuan dan
pertolongan dari Allah s. w. t agar ia tergolong dari kalangan ulama, maka Allah
telah memakbulkan permohonan tersebut. Allah s. w. t telah menganugerahkan
kepada Imam al-Nawawi sejumlah besar himpunan ilmu-ilmu dalam
dadanya. Kealimannya dalam pelbagai bidang dan disiplin ilmu diakui dan
diiktiraf oleh ulama sejak dahulu sehingga hari ini. Antara ilmu yang dikuasainya
seperti hadith, fiqh, usul fiqh, qawacid fiqh, bahasa, culum hadith, tasauf
dan beberapa bidang yang lain.
Ahmad cAbd al-cAziz
berkata terdapat beberapa faktor yang menjadi penyumbang utama kepada kealiman
dan ketokohan al-Nawawi iaitu pengembaraannya menuntut ilmu, pembelajaranya
di Madrasah Rawahiyyah, ketekunan dalam menuntut ilmu, banyak belajar dan
membuat rujukan, kekuatan hafalan yang dimiliki, kehebatan para mashayikh
yang mengajarnya, banyaknya buku yang dirujuk dan ditelaah, menyibukkan diri
dengan mengajar, dan faktor lain ialah
anugerah dari Allah s. w. t[12]. Di samping itu ialah anugerah daripada
Allah s. w. t yang telah memberkati dan membuka ruang waktu dan masa yang
seluas-luasnya kepada beliau. Beliau menulis puluhan kitab dalam pelbagai
bidang ilmu, mencurah ilmu di masjid yang dimanfaatkan oleh umat Islam sehingga
hari ini. Imam al-Subki berkata jika dikira kitab-kitab yang ditulis
oleh Imam al-Nawawi dan kuatnya ibadat, di samping
menyampaikan ilmu di masjid, umur yang diberikan oleh Allah kepadanya hanya
cukup 1/3 sahaja dari hasil yang ditinggalkan olehnya[13].
1. 2. 6 Guru-Guru Imam al-Nawawi [14]
Telah menjadi
kebiasaan dan kelaziman bagi Ulama silam, mereka amat menghormati dan begitu
berbangga dengan guru –guru yang mengajar ilmu kepada mereka walaupun sedikit
sahaja ilmu yang diajar. Lantaran itu mereka begitu mengambil berat tentang
siapakah yang mengajar mereka. Antara guru-guru yang pernah mencurahkan cIlmu
pengetahuan kepada Imam al-Nawawi ialah ;
a)Fiqh
cAbdul Rahman ibn Ibrahim ibn Siba’ al-Fazari, Tajuddin
yang lebih dikenali dengan Firkah yang meninggal pada 690 hijrah, Ishak ibn
Ahmad al-Maghribi, Al-Kamal Abu Ibrahim seorang guru hadis
di Madrasah Rawahiyah meninggal pada 650.
b)Guru Hadis
Ibrahim ibn cIsa al-Maradi
al-Andalusi meninggal pada 668, Khalid ibn Yusof ibn Sacad
al-Nabilsiyy, Abu al-Baqa’ Zainuddin meninggal pada 663, cAbdul cAziz
ibn Muhammad ibn al-Mashan al-Ansari al-Hamawi al- Shafici meninggal
662.
c)Guru Usul Fiqh
Al-Qadhi Abu al-Fath cUmar ibn
Badran ibn cUmar ibn Ali ibn Muhammad al-Taflisi al- Shafici
meninggal pada 672.
d)Guru Bahasa
Sheikh Ahmad ibn Salim al-Masri al-Nahwy Abu cAbbas
meninggal pada 664, Fakhu Maliki, Ibn Malik.
3. 2. 7 Murid Yang Mashyur[15]
cA’la al-ddin ibn al-cAthar, Shamsuddin
ibn Naqib, Shamsuddin ibn Jacwan, Shamsuddin ibn Qamah, Al-Hafiz
Jamal al-Din al-Muzy, Qadhi al-Qudha Badruddin ibn Jamacah, Rasyid
al-Din al-Hanafi, Abu al-cAbbas Ahmad ibn Farah al-Lakhami al-Isbili.
1. 2. 8 Pujian Ulama
Imam al-Nawawi telah
diberikan dengan pelbagai pujian yang menggambarkan tentang keilmuan yang dimilikinya,
kealimannya yang hebat yang terserlah dan tinggi, mempunyai sifat warak, zuhud
dan sifat terpuji yang lain. Maka tidak hairanlah beliau telah diberi dengan
berbagai gelaran. Beliau digelar Sheikh Madhab, Mujtahid Fatwa, Ustaz al-Mutakhirin, Hujjatulallah cAla al-Lahiqin, Sheikh Islam, cIlm al-Auliya’ Qudwah al-Zuhhad serta beberapa
gelaran yang lain dan merupakan ulama besar dizamannya.
Imam al-Zahabi telah menggelarkan Imam al-Nawawi dengan
gelaran Sheikh al-Imam al-Qudwah, al-Hafiz al-Zahid, al-cAbid al-Faqih, al-Mujtahid al-Rabbaniyy [16]. Imam Ibn Kathsir pula memberikan gelaran
dengan Shaykh al-Imam, al-cAllamah al-Hafiz al-Faqih al-Nabil, Ahadu al-cUbbad cUlama
al-Zahid[17]. Manakala Imam al-Subki pula
menggelarkannya dengan Ustaz Mutakhirin Wa Hujjatullah cA’la al-lahikin[18]. Ibn Fadil menggelarkannya dengan Shaykh
Islam, cIlm al-Auliya’ Qudwah al-Zuhhad, Rajul cIlm Wa cAmal[19] serta banyak lagi pujian yang diberikan
kepada beliau.
1. 2. 9. Sumbangan Imam al-Nawawi Terhadap Mazhab[20]
Sesuatu Mazhab
yang diasaskan, tidak akan berkembang dan tersebar tanpa adanya pendokong dan
pengikut. Pengikut yang terdiri dari Rijal al-Mazhab dari setiap
peringkat berusaha untuk menyebarkan dan mengembangkan Mazhab yang dipeganginya.
Di antara Rijal Mazhab dari Mazhab Shafici yang memberi
sumbangan yang besar kepada Mazhab Shafici ialah Imam al-Nawawi.
Selepas 4 kurun kematian Imam al- Shafici,
banyak penulisan fiqh Shafici yang dibuat berbeza dari segi
kandungannya dengan kehendak Mazhab[21]. Banyak dari hasil penulisan tersebut
yang menyalahi Usul Madhhab bahkan kadang –kadang berlaku Istinbat yang
Marjuh atau ijtihad yang silap. Oleh itu pendapat-pendapat tersebut
perlu dimurnikan untuk mengelakkan kesamaran dikalangan pengikut. Sesuai dengan
keilmuannya yang pakar dalam Mazhab, orang paling calim dizamannya, keupayaan
dalam menghafal pendapat Mazhab, kealimannya dalam masalah khilaf serta
kemampuannya untuk mentarjih pendapat –pendapat Mazhab yang bercampur dan juga
yang pendapat yang terpesong dari Usul Madhab. Maka Imam al-Nawawi telah
melakukan pemurnian tersebut. Dengan usaha yang dilakukan tersebut serta ilmu
yang dimilikinya melayakannya beliau diberi taraf Mujtahid Fatwa[22], Muhakik Madhab dan juga Muharir al-Madhab[23]. Kedudukan yang dianugerahkan itu adalah setaraf
dengan Imam al-Rafici.
Hakikatnya Imam al-Nawawi adalah
penerus kesinambungan yang telah dipelopori oleh Imam al-Rafici
dalam menyemak semula pendapat –pendapat yang diriwayatkan oleh Ashab. Imam
al-Rafici telah mengkaji dan memerhatikan kitab –kitab yang dikarang
oleh Ulama terdahulu serta mengikut pendapat yang diutarakan oleh Ulama
sebelumnya serta sumber bagi pendapat tersebut. Seterusnya beliau mentarjih
pendapat yang dikategorikan rajih dan mentadcifkan pendapat
yang dikategorikan lemah berdasarkan sumber –sumber yang diteliti serta
berdasarkan kepada beberapa kaedah tertentu. [24]
Usaha yang amat murni itu diteruskan dan
diperkemaskan lagi oleh Imam al-Nawawi. Disamping melakukan
apa yang dilakukan oleh Imam al-Rafici beliau juga menyemak dan meneliti
kitab yang tidak sempat diteliti oleh Imam al-Rafici. Beliau telah meringkaskan
sebahagian dari kitab –kitab yang ditulis oleh Imam al-Rafici seperti
al-Minhaj yang diringkaskan dari al-Muharar.
Oleh itu apa yang ditulis oleh mereka berdua dianggap sebagai sumber yang sahih
dalam Mazhab Shafici. [25] Ulama Shafici
sepakat mengatakan bahawa kitab –kitab karangan Imam al-Nawawi dan
juga Imam al-Rafici dianggap sumber yang Sahih dalam Mazhab Shafici
[26].
Dengan usaha yang dilakukan tersebut maka Mazhab
berada dalam keadaan teguh dan aman sebelum pemurnian peringkat kedua dilakukan
oleh beberapa orang cUlama antaranya Ibn Hajar al-Haithami dan Sham
al-Din al-Ramli. [27]
Kesimpulannya Imam al-Nawawi merupakan
salah seorang perintis dalam memilih pendapat yang rajih dan muktamad
dalam Mazhab Shafici yang pada asalnya terlalu banyak pendapat yang
dinukilkan dari ashab tentang pendapat yang muktamad dan rajih.
1. 2. 10. Karangannya
Mutiara yang
ditinggalkan oleh ulama besar Shafici ini terlalu banyak yang meliputi
pelbagai bidang dari fiqh, hadis, bahasa, ulum al-quran, qawacid fiqhiyyah dan lain-lain. Sebahagian
besar kitab yang ditinggalkan tersebut telah dicetak dan sebahagiannya kecil masih
dalam bentuk manuskrip. Di antara hasil karangan Imam al-Nawawi ialah;
a) Tafsir
Mukhtasar Basmalah.
b) Fiqh
Al-Tahkik
Sharah al-Tanbih Li Abi Ishaq al-Syirazi, Al-Majmu’ Sharah al-Muhadhdhab, Al-Tankih Sharah al-Wasit Imam Ghazali, Al-Raudahah Mukhtasar
Fath Aziz Imam al-Rafici, Al-Minhaj Mukhtasar Al-Muharar Li Rafici, Al-cIdhah Fi al-Manasik, Al-cIjaz
Fi al-Manasik, Raudah al-Tholibin, [28], Al-Minhaj, Al-cIdhah, Al-Tahkik fi al-Fiqh, Mukhtasar Ta’lif al-Darimi
Fi al-Mutahayyirah, Mas’lah Niyyat al- Iktiraf
c) Hadith
Sharah Sahih
Muslim, Al-Arbacin al-Nawawiyyah, Riad al-Shalihin, Khulasatul al-Ahkam Min Muhimmat al-Sunan Wa Qawacid al-Islam,
Sharh al-Bukhari, Al-Azkar, Juz Musstacmil cAla
Ahadis Rubaicyyat, Mukhtasar
Turmizi, Sharh Bukhari, Sharh Sunan Ibn Majah.
d) Ulum Hadith
Al- Irsyad, Al-Taqrib, Al-Isharat Ila Bayan al-Asma’ al-Mubhamat.
e) Qawacid Fiqh
Al-Usul wa
al-Dawabit.
f) Al-Tarbiyyah Wa Suluk.
Al-Tibyan fi Adab Hamalat al-Quran, Bustan al-cArifin, Irshad al-Thullab al-Haqaiq Ila Macrifai Sunan al-Khair al-Khalaik, Hizb
al-Nawawi.
g) Al-Tarajim
Tahzib al-Asma’ Wa Lughat, Tabaqat al-Fuqaha, Manaqib al-Shafici, Thabaqat al-Fuqaha’.
h) Al-Lughah
Al-Tahrir Fi
al-Alfaz, al-Tanbih, Al-Isharat Ila al-Bayan al-Asma’al-Mubhamat. Mucjam Al-Lughawi.
i) Ulum Al-Quran
Al-Tibyan Fi Adab Hamalat al-Quran.
j) Fatwa
Fatwa Imam
Nawawi.
Penutup
Kegigihan Imam al-Nawawi dalam menyebarkan ilmu pengetahuan melalui penulisan yang ditinggalkan oleh beliau seharusnya dijaduikan ikutan oleh para ulama pada zaman kini.
[1] Al-Quran
Yusuf
12 : 111.
[3] Dihasilkan
oleh Ibu Qayyim al-Jawziyah terdiri dari 6 jilid.
[4] al-Suyuti,
Jalal al-Din cAbd al-Rahman, al-Minhaj al-Sawi
Fi Tarjamah al-Imam al-Nawawi, Dar al-Kutub al-cIlmiyyah.
1992, hlm 51;al-Shuhud, Ali bin Nayip, Mashahir a’lam al-Muslimin
,Saaid. net. hlm 810-816; Thobaqat al-Shafiyyah jil 4 hlm 471. Ahmad Farid. al-Imam
al-Nawawiyy (t. th) said. net. hlm 2, Abd al-Rahman
al-Masthowi, Sakhsiah Lana Tarikh, Dar al-Marifat, Beirut , 2003, hlm 275 - 276.
[6] Al-Nawawi,
al-Majmu’(t. th) jil 1, hal 135.
[7] Ahmad
Farid,
t th, hlm 2.
[8] Ahmad
farid,
t th, hlm 3.
[9] Al-Zahabi,
Muhammad ibn Ahmad, Sair al-cAlam al-Nabla’.
Saaid. Net,t. th,hlm
[10] Ibn
Sa’d, Muhammad ibn Sacd, Tabaqat
al-Shafiyyah al-Kubra, Jil 1, hlm 106; al-Shuhud Ali Nayip al-Mahsahir
calam al-Muslimin,
Saaid. Net, t.th, hlm 811; Ahmad Farid, al-Imam
al-Nawawi, Saaid. Net, hlm 18.
[11] Ali Nayip
al-Syuhud ,t. th, hlm 812.
[12]
Ahmad Farid, t. th, hlm 10.
[14]
Ali Nayyip al-Syuhud , hlm 812;Ahmad Farid
hlm 22.
[15] Al-Suyuti, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1992 hlm 61; Ali Nayif al-Syuhud,
hlm 813.
[16] Ahmad Farid, hlm 7.
[17] Ahmad
Farid,
hlm 9.
[18] Al-Suyuti,
hlm 52.
[19] Al-Suyuti, hlm 53.
[20] Fahd
Abdullah al-Habisyi hlm 47-48.
[21] Al-Qawasimi,
Akram Yusuf Umar, Al-Madkhal Ila Al-ImamAl-Shafici, Dar Al-Nafa’is
Beirut, 2008, hlm 373.
[22] Ulama
telah membahagikan mujtahid kepada 5
peringkat iaitu (1) Mujtahid mutlak mustqi l seperti Imam Mazhab empat, (2)
Mujtahid mutlak muntasib seperti Abu Yusuf, Zufar dari Maazhab Hanafi, Ibn
Qasim, Ashab dari Maliki, Buwaiti, Muzani, Muhammad ibn Ibrahim al-Munzir,
Muhammad ibn Jarir dari Shafici, Abu Bakar Asram, Abu Bakar al-Muruzi
dari Hambali, (3) Mujtahid muqayyad atau mujtahid Fi al-Madhhab seperti Thohawi,
Karkhi dari Hanafi, Qairawani dari Maliki, Imam al-Syirazi dari
Shafici, Abi Ya’la dari Hambali (4) Mujtahid tarjih (5) Mujtahid
fatwa, Muhammad Hasan Haito hlm 16; al-Zuhayli
hlm 48; Mahmud Ismail Muhammad Mis’al, Asar al-Khilaf al-Fiqhi fi
al-Qawcaid al-Mukhtalaf Fi Ha hlm
133-134, Fahd Abdullah al- Habisyi, hlm 16.
[23]
al-Zuhayli hlm 48 dan 62, Al-Madkhal Ila Mazhab Shafici
hal 16, Akram Yusuf Umar al- Qawasimi 2008. hlm 333-334, Al-Suyuti,
hlm 52.
[24] Fahd
Abdullah al-Hashimi hlm 46, al-Qawasimi hlm 372 – 377.
[25]
Muhammad Ibrahim hlm 153, Al-Qawasimi 2008, hlm 378-380
[26]
Muhammad Ibrahim hlm 153.
[27] Al-Qawasimi
2008. hlm 399, al- Habishi hlm 53,
[28] Kitab
ini adalah ringkasan kepada Sharh al-Kabir oleh Imam al-Rafici. Kitab ini mula
ditulis pada hari Khamis 25 Ramadhan tahun 666 dan disiapkan pada hari Ahad 15
Rabiul Awal 669. Al-Majmu’ Sharah al-Muhadhdhab, Al-Minhaj, Al-cIdhah,
Al-Tahkik fi al-Fiqh, Mukhtasar Ta’lif Al Darimi Fi al- Mutahayyirah, Mas’lah
Niyyat al Iktiraf.
No comments:
Post a Comment