Tuesday, 13 October 2015

Aplikasi Kaedah La Ibrah Bi Zhann Al-bayyin Khata Uhu Dalam Kehidupan



Pendahuluan

Perkataan zhan sering di ungkapkan dalam perbualan seharian kita. Antara yang kerap didengari ialah kita hendaklah “husnu zhan” terhadap seseorang. Apakah kedudukan zhan dalam amalan dan perbuatan seharian kita. Adakah semua amalan yang didasarkan kepada zhan akan ditolak. In Sha Allah akan dibincangkan dalam kaedah yang berbunyi La Ibrah Bi Zhan al-Bayyin Khata Uhu.

Lafaz Kaedah
لا عبرة بالظن البين خطئو
Kebanyakan ulama menggunakan lafaz yang disebutkan di atas sebagai lafaz kaedah antaranya Imam al-Suyuty dan Ibn Nujaim. Ada pun al-Zarkasyi  menggunakan lafaz
اذا كان الظن كاذبا فلا أثر له. .lain-lain ulama seperti Izz Ibn Abd al-Sallam hanya mengisyaratkan dengan lafaz       . كذب الظنون  Walaupun demikian maksudnya masih lagi berkaitan dengan zhann yang ditolak.
Sebelum saya menerangkan lebih lanjut kaedah ini saya akan terangkan beberapa istilah yang berkaitan dengan topik yang sedang dibincangkan.

Perbezaan Yakin, Zhan, Syak dan Waham
Yakin : Dari sudut bahasa sesuatu pengetahuan yang terhasil daripada pemerhatian dan bukti. Istilah : Suatu keputusan yang tidak berbelah bahagi tentang sesuatu perkara yang dosikong oleh ukti dan pengetahuan.
Zhan : Dari sudut bahasa lawan bagi yakin. Keputusan yang lebih berat ke arah betul.
Ghalabah zhann : Keputusan yang dilakukan berdasarkan andaian yang sangat kuat. Yang hampir dengan maksud yakin
Syak ; Ragu-ragu iaitu lawan bagi yakin. Iaitu ragu –ragu dalam menentukan atau membuat keputusan yang mana keduanya adalah sama. Dalam masyarakat Melayu biasa digunakan sebagai “Tidak pasti”.
Beza antara syak dengan Zhan : Kedudukan yang seimbang( 50-50) dinamakan syak. Sekiranya satu bahagian lebih daripada bahagian yang satu lagi ( 55 -45 ) bahagian yang lebih dinamakan zhan. Sebahagian ulama seperti Imam al-Nawawi menyamakan antara zhan dan syak dalam bab fiqah.
Glabah Zhan : Keputusan yang hampir tahap yakin.
Waham : Membuat keputusan di bahagian yang salah.

Maksud Kaedah
Apabila sesuatu amalan atau perbuatan dilakukan berdasarkan zhan (andaian) kemudian didapati dengan bukti yang jelas ia salah dan silap, maka amalan dan perbuatan tersebut tidak dikira dan diiktiraf oleh syarak. Bukti yang didapati diperoleh sama ada sejurus selepas amalan tersebut dilakukan atau selepas beberapa waktu hukumnya adalah tetap sama. Penulis kitab Mausuah al-Fiqhiyyah berkata yang dimaksudkan dengan kaedah di atas ialah “sesungguhnya zhann yang ternyata salahnya tidak mempunyai kesan dan tidak dikira”

Dalil Kaedah
Atsar daripada Umar al-Khattab ;
لا يمنعك قضاء قضية ثم رجعت فيه نفسك فهديت لرشدك ان تقضيه .
Pandangan Ulama Tentang Zhan
1.Wajib beramal dengan sesuatu walaupun hanya berdasarkan zhann. Merupakan pandangan majoriti ulama usul.
2.Tidak harus beramal kecuali dalam keadaan sukar untuk membuat keputusan . Pandangan al-Shasyi Abu Husayn al-Basry.
3.Tidak harus beramal selamanya . Pandangan Ibn Hazm.
4.Zhan  merupan suatu hujah dalam perkara furuk.

Pembahagian Zhan
Ulama membahagikan Zhan kepada beberapa bahagian. 
Al-Ramli al-Shafie membahagikan Zhan kepada wajib, sunat, haram dan harus. Wajib seperti husnu zhann kepada Allah, haram suu’ Zhan kepada Allah. Harus menyangka buruk terhadap seseorang yang secara terangan melakukan maksiat.
Manakala Imam al-Qurtubi membahagikan Zhan kepada dua bahagian iaitu pertama Zhan yang disokong oleh dalil-dalil dan juga bukti. Ia juga dinamakan (Glabah Zhan)yang mana kebanyakan hukum syarak adalah berasaskan kepada suasana ini seumpama Qias, khabar ahad. Bahagian kedua Zhan yang tidak disokong oleh dalil atau bukti. Ia juga dinamakan sebagai syak. Keadaan ini tidak harus dijadikan sandaran atau amalan bahkan ia dilarang dalam agama seperti mana firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 12
يأيها الذين آمنوا اجتنبوا كثيرا من الظن ان بعض الظن أثم
Dan hadis Rasulullah sa.w :
اياكم والظن فان الظن أكذب الحديث
Aplikasi Kaedah
Kaedah ini boleh diaplikasikan dalam pelbagai bidang kehidupan seharian sama ada ibadah, muamalat, munakahat, jenayah dan sebagainya. Muhammad al-Zuhayly dalam kitabnya al-qawaid al-Fiqhiyyah Wa Tatbiqatuha Fi al-Mazahib al-Arbah membawa 27 contoh yang boleh di aplikasi  dalam pelbagai bidang kehidupan. Saya akan membawa beberapa contoh yang sering berlaku dalam kehidupan seharian.

Bersuci
1.Menyangkan air yang digunakan untuk berwuduk atau mandi adalah air mutlak, rupa-rupanya air tersebut adalah air mustaknal. Tak sah wuduk atau mandi yang dilakukan.

Solat
1.Mendirikan solat dengan andaian telah masuk waktu atau tanpa merujuk kepada jam, atau melihat jam yang tidak berfungsi setelah selesai baru mengetahui waktu belum masuk. Menyangkan Imamnya adalah seorang yang betul bacaan rupanya ummi.
2. Solat secara berjemaah ketika bangun dari sujud lebih awal dari imam dengan menyangkan imam telah bangunbangkit dari sijud , sujud tersebut tidak dikira dan hendaklah sujud semuala ( al-Tubsirah)
3. Razif telah menziarahi adiknya yang tinggal di Kepulauan Tawi-Tawi Filipina. Tanpa bertanya arah kiblat beliau telah menunaikan solat selama seminggu dengan andaian arah kiblat yang dipilih adalah betul. Pada hari ketujuh adiknya memaklumkan arah kiblat tersebut adalah salah. Solat yang ditunaikan perlu di ulang semula.  

Puasa
1.Berbuka puasa berdasarkan andaian telah masuk waktu berbuka, atau dengan melihat jam yang rosak wajib diganti dan perlu imsak sehinggalah waktu sebenar telah masuk.

Zakat
1.Mengeluarkan zakat dengan memilih sendiri penerima yang dianggap layak. Rupa-rupa orang yang diberikan zakat bukan dari golongan  yang layak menerima zakat. Pemberian tersebut tidak dikira sebagai sedakah wajib.

Hutang
Menyangka dia berhutang terhadap seseorang lantas dia membayar hutang tersebut. Setelah diselidiki ternyata hutang telah lama dibayar. Boleh meminta semula wang yang diberi.

Haji
1.Hisyam terlantar sakit telah mengupah Musa untuk menunaikan ibadah haji bagi pihak dirinya dengan menyangka sakit yang dideritai tidak ada harapan untuk sembuh namun selang beberapa ketika sakitnya telah sembuh.

Muamalat
Menyerahkan sejumlah wang kepada seseorang kerana menyangka dia berhutang dengan orang tersebut tetapi sangkaannya salah . Orang yang menerima wang wajib memulangkan semula wang yang diambilnya.

Pengecualian Kaedah
Sembahyang berjemaah di belakang Imam menyangka ia mempunyai wuduk, selepas solat Imam memaklumkan ia terlupa mengambil wuduk tidak perlu diulangi semula solat makmum.

Rujukan
Al-Suyuty. 1983. Al-Asbah Wa al-nazair Dar al--Kutub al-Ilmiyyah Beirut.
Muhammad al-Zuhayly. 2006 Al-Qawaid al-Fiqhiyyah Wa Tatbiqatuha Fi al-Mazahib al-Arbah. Dar al-Fikr : Damsyik.
Usman Syubair.2006. al-Qawaid al-Kuliyyah Wa al-Dhawabit al-Fiqhiyyah Fi al-Shariah al-Islamiyyah.Dar al-Nafais : Jordan.
Ahmad Muhammad al-Zarqa’.1993. Syarh al-Qawaid al-Fiqhiyyah. Dar al-Qalam Damsyik.
Idris Umar Muhammad. 2013. Kaedah La Ibrah Bi al-Zhann al-Bayyin Khatauhu Wa Tatbiqatuha al-Fihiyyah.  Majalah Kuliyyah Ulum al-Islamiyyah . Bil 13.
Mausuah al-Fiqhiyyah Jilid 28 hal 178-189. Cetakan Kedua 2005. Kementerian Waqaf Kuwait.

Salam hormat
Ustaz Wan Mohd Zul Bin Wan Yusuf
Kota Jembal Kota Baharu Kelantan 
1 Muharram 1437 Hijrah

No comments: