Friday 7 March 2014

Solat istisqa Pelaksanaan Dan Perbahasannya


Pendahuluan


Air merupakan satu keperluan asasi semua makhluk. Walau sehebat mana teknologi yang dimiliki dan dikuasai oleh manusia, mereka tidak akan mampu untuk mencipta dan menghasilkan walau setitis air. Lantaran itu apabila Allah menguji manusia dengan kekurangan air sebagaimana yang pernah berlaku kepada nabi kita Muhammad s.a.w baginda telah menunjukan cara bagaimanakah usaha yang sepatutnya dilakukan oleh seorang hamba yang beriman dan bergantung sepenuhnya kepada Allah s.w.t yang maha berkuasa untuk menyelesaikan masalah yang menimpa iaitu dengan melakukan solat istisqa. Disamping menggunakan pembenihan hujan dan seumpamanya jangan sesekali mengabaikan saranan yang ditunjukan oleh baginda.dalam mencari jalan penyelesaian kepada masalah ini.

Pengertian


Istisqa ialah perkataan arab yang berasal dari saqya yang bermaksud memohon hujan. Yang dimaksudkan di sini ialah memohon kepada Allah s.w.t agar menurunkan hujan kepada hambanya ketika memerlukannya.

Jenis


Permohonan yang dilakukan kepada Allah sekurang-kurang dengan mengajukan doa permohonan kepada Allah bila-bila masa dan di mana sahaja  tanpa diiringi dengan solat sama ada secara bersendirian atau dilakukan secara berjemaah.Permohonan juga boleh dilakukan ketika selepas menunaikan solat sama ada fardu atau sunat. Yang paling afdal ialah permohonan yang didahului oleh solat dua rakaat dan dua khutbah.

Hukum


Solat istisqa; hukumnya Sunat muakkad. Ianya adalah untuk membuktikan bahawa manusia  berhajat kepada kasih sayang Allah s.w.t.

Dalil Pensyariatan


Solat istisqa salah satu daripada solat sunat yang dituntut melakukannya apabila kemarau yang berpanjangan, tiada sumber air, berlaku krisis air dan seumpamanya.   Rasulullah sa.w pernah melaksanakan solat istisqa sebagaimana yang diriwayatkan oleh ubad bin tamim daripada bapa saudaranya ;

أن رسول الله صلى الله عليه وسلم خرج بالناس يستسقى فصلى بهم ركعتين جهر بالقرأة فيها وحول رداءه ورفع يديه فدعا واستسقى واستقبل القبلة .

Peranan Pemerintah


Perdana Menteri atau Timbalannya  tidak boleh mengabaikan tanggunjawabnya berusaha dan berikhtiar untuk mendapatkan air atau hujan bagi keperluan penduduk sesebuah negeri. Untuk itu perdana menteri atau timbalannya hendaklah memerintahkan penduduk disesebuah negeri yang dilanda kemarau yang teruk berpuasa tiga hari sebelum dilaksanakan solat istisqa . Pada hari keempat dalam keadaan berpuasa mereka semua hendaklah keluar dengan mengenakan pakaian yang biasa dipakai, untuk menunaikan solat.

Masa Pelaksanaan


Iaitu selepas naiknya matahari sehingga selepas zawal iaitu sebelum masuknya waktu asar.

Tempat


Disunatkan dilakukan di padang atau kawasan lapang.

Cara Pelaksanaan


Setelah didahului dengan puasa sunat tiga hari , maka pada hari keempat orang ramai hendaklah keluar dengan memakai pakaian yang biasa dipakai tanpa bauan dan berkumpul ditempat yang ditetapkan sama ada padang atau masjid maka bilal disunatkan untuk menyaringkan suara dengan berkata  الصلاة جامعة . Sembahyang ini tidak disunatkan untuk dilaungkan azan dan juga iqamah.

Solat istisqa dilaksanakan dengan  dua rakaat. Bentuk pelaksanaannya adalah sama dengan solat hari raya iaitu selepas takbirratul ihram maka diulangi dengan takbir sebanyak 7 kali dirakaat pertama dan lima kali takbir dirakaat kedua. Setiap kali selepas takbir hendaklah membaca zikir yang dibaca ketika solat aid  iaitu سبحان الله والحمد لله ولا اله الا الله والله أكبر ولا حول ولا قوة الا بالله العلى اعزيز الحكيم    

Kemudian setelah selesai hendaklah membaca istiazah dan surah al fatihah serta surah ق bagi rakaat pertama dan اقتربت الساعة pada rakaat kedua selepas al-fatihah, ada juga ulama yang berpendapat rakaat kedua dibacakan surah nuh kerana didalamnya menceritakan perihal hujan.

Bacaan Imam hendaklah dinyaringkan sebagaimana dengan bacaan ketika solat hari raya. Bagi makmum yang tidak sempat bertakbir bersama imam atau sempat sebahagiannya sahaja maka memadailah ia melakukan apa yang sempat tersebut dan tidak perlu diqada apa yang tidak sempat. Ini merupakan pendapat qaul jaded sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-nawawi dalam al-Majmuk.

Sekiranya ketika jamaah bersedia untuk menunaikan solat tiba-tiba hujan turun. Adakah perlu diteruskan solat? Al-Nawawi dalam kitabnya Raudah menjelaskan bahawa solat istisqa ditukarkan kepada solat syukur . Tajuk khutbah atau tazkirah ditukar kepada topik  mengingatkan para Jamaah serta mengucapkan syukur kepada Allah s.w.t atas nikmat yang dianugerahkan.

Khutbah Solat


Khutbah sunat dilakukan selepas selesai solat dilaksanakan. Walaupun demikian khutbah juga harus dilakukan sebelum solat dilakukan.Rukun, syarat dan adab-adab khutbah sebagaimana dengan khutbah jumaat . Yang berbeza dengan khutbah hari raya ialah khutbah istisqa dimulai dengan istigfar sebanyak 9 kali dikhutbah pertama dan sebanyak 7 kali khutbah kedua. Lafaz istigfar seperti أستغفر الله العظيم الذى لااله الا هو عليه توكلت وهو رب العرش العظيم

Sepanjang bacaan khutbah dilaksanakan khatib hendaklah memperbanyakkan mengucapkan istigfar serta menutup khutbah dengan istigfar . Disamping itu juga khatib hendaklah sentiasa mengulangi ayat berikut أستغفروا ربكم انه كان غفارا  

Siapa Yang Dituntut


Semua golongan sunat bersama di dalam majlis ini sama ada dewasa, kanak-kanak, orang tua bahkan binatang juga sunat dibawa bersama untuk menunjukan musibah ini menimpa semua makhluk dan mereka semua berhajat kepada air.

Adab Sebelum Pelaksanaan


Sebelum melaksanakan solat istisqa dituntut melakukan perkara berikut ;

1.    Berpuasa sunat tiga hari .

2.    Bertaubat.

3.    Berhenti dari melakukan kezaliman.

4.    Mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan kebaikan-kebaikan mengikut kemampuan masing-masing.


Doa Istisqa


Doa ini sunat dibacakan semasa khutbah pertama ketika Imam mengadap kearah jamaah.

اللهم اسقنا غيثا مغيثا هنيئا مريئا مريعا غدقا مجللا سحا طبقا دائما . اللهم اسقنا الغيث ولا تجعلنا من القانطين . اللهم ان العباد والبلاد من اللأواء والجهد والضنك ما لا نشكو الا اليك . اللهم أنبت لنا الزرع وأدر لنا الضرع واسقنا من بركات السماء وأنبت لنا من بركات الارض . اللهم ارفع عنا الجهد والجوع والعرى واكشف عنا من البلاء ما لايكشفه غيرك . اللهم انا نستغفرك انك كنت غفارا , فأ رسل السماء علينا مدرارا.

Kemudian selesai membaca doa di atas Khatib hendaklah mengadap kiblat dan membaca doa di bawah, kemudian setelah selesai hendaklah mengadap kembali kearah jamaah serta mengingatkan mereka mentaati Allah serta memperbanyakan mengucapkan selwat ke atas nabi.Khatib juga disunatkan memperbanyak istighfar , doa taubat, serta bertawasul dengan orang-orang soleh dan bertaqawa semasa membuat permohonan kepada Allah s.w.t.
 

اللهم أنت أمرتنا بدعائك , ووعدتنا باجابتك , وقد دعوناك كما أمرتنا , فأجبنا كما وعدتنا , اللهم أمنن علينا بمغفرة ما قارفنا , واجابتك فى سقيانا وسعة رزقنا .

Khatib juga disunatkan memusingkan dan menterbalikkan serban empat segi yang diletakan diatas bahunya ketika bergerak untuk mengadap kiblat ketika membaca 1/3 khutbah kedua dibacakan . Serban yang berada di sebelah kiri ditukar ke sebelah kanan dan yang disebelah kanan ditukar kesebelah kiri manakala yang bahagian atas ditukar ke bahagian bawah yang bawah ditukar ke bahagian atas.  

Apabila permohanan diajikan kepada Allah dan Allah menerima permohonna tersebut dengan menurunkan hujan maka sunat menyebut ;مطرنا بفضل الله  maksudnya turunnya hujan ke atas kami dari  kurniaan Allah.

Rujukan


1.Raudhah alThalibin Imam al-Nawawi  Dar alKutub al-Ilmiyyah

2.Al iktinak fi al fark wa al istisna Badr al din Abu Bakr al Shafie 1991

3.Al-Tahzib Fi Fiqhi al-Imam alShafie. AlImam Abi Muhammad Al Husain Ibn Masud Ibn Muhammad al Farra al-Baghawi . Dar al-Kutub Al-Ilmiyyah Beirut.

4.Zad al Muhtaj Syarah alMinhaj . Syeikh Abdullah bin Syeikh Hasan alHasan al Kuhuji . Qatar.

5. al-Fiqh al-Manhaji.


Ustaz  Wan Mohd Zul Wan Yusuf

Kota Jembal Kelantan

 7/3/14

 

الفضيلة المتعلقة بنفس العبادة اولى من المتعلقة بمكانها Kelebihan Yang Berkait dengan Ibadah Secara Langsung Lebih Awla Berbanding Yang Berkait Dengan Tempat Pelaksanaan Ibadah

  1.0 Pendahuluan Pelaksanaan ibadah tidak terlepas dari dua keadaan iaitu masa atau tempat atau kedua-duanya. Solat maghrib tidak boleh dil...