Saturday 30 November 2013

Kaedah ألايثار فى القرب مكروه وفى غيرها محبوب


Pendahuluan

Dalam hidup bermasyarakat kita dituntut untuk membantu orang yang memerlukan pertolongan sama ada dalam bentuk ibadah atau material. Bahkan apabila disoroti kehidupan yang dilalui oleh Nabi Muhammad s.a.w dan para Sahabat baginda, kita dapati bagaimana akhlak yag terpuji ini menjadi sebahagian daripada amalan harian mereka.Turunnya ayat 59 surah al-Hasry menjadi bukti bagaimana sifat mengtamakan orang lain dalam kehidupan Sahabat :

ويؤثرون على أنفسهم ولو كان بهم خصاصة

Walaupun demikian dalam beberapa situasi  kita dituntut untuk mengutamakan ke atas diri sendiri terlebih dahulu sebelum memberi peluang kepada orang lain melakukannya. Inilah yang akan dibincangkan dalam kaedah kali ini iaitu ;

Kaedahnya berbunyi ;

ألايثار فى القرب مكروه وفى غيرها محبوب

Maksudnya : Mengutamakan orang lain dalam perkara ibadah hukumnya makruh, manakala dalam perkara bukan ibadah digalakkan.

Izz Ibn Abd al Sallam yang terkenal dengan gelaran “Sultan Ulama” dalam kitabnya Qawaid al-Ahkam Fi Masalih al-Anam berkata tidak boleh mendahulukan orang lain dalam perkara ibadah kerana tujuan ibadah ialah mengagungkan Allah. Oleh itu sesiapa yang mengutamakan orang lain maka dia telah meninggalkan tuntutan ini.

Imam al-Nawwi berkata mengutamakan orang lain dalam perkara ibadah hukumnya makruh, tetapi mengutamakan orang lain dalam keperluan hidup adalah disunatkan. Contohnya seseorang yang hanya mempunyai makanan, minuman  yang sedikit cukup untuk dirinya sahaja tetapi apabila datang orang yang lebih berhajat maka disunatkan memberinya makanan tersebut. Begitu juga disunatkan mengutamakan orang lain dalam bab menerima sedekah, biasiswa dan seumpamanya Maksudnya tidak mengambil sedekah, biasiswa walaupun layak kerana memberi peluang kepada mereka yang lebih layak menerimanya.

Dalam Kitab al-Mawahib al-Saniyyah pengarangnya menyebut sekiranya mengutamakan orang lain menyebabkan berlalunya perkara wajib maka hukumnya haram, sekiranya menyebabkan berlaku perkara  makruh maka hukumnya makruh. 

Beberapa Contoh Aplikasi Dari Kaedah Ini

1.Sering berlaku di Masjid atau Surau dalam masyarakat kita apabila saf pertama kosong masing-masing jemaah yang berada di saf kedua enggan naik kesaf pertama. Masing-masing nak tunjuk baik kononnya memberi peluang orang lain naik sedangkan saf kosong berada betul-betul dihadapannya. Dalam soal ini makruh kita memberi peluang kepada orang lain untuk berada di saf hadapan yang pahalanya adalah terlalu besar. Antara beberapa hadis yang menyebut kelebihan berada di saf pertama :

1.  Seandainya manusia mengetahui keutamaan yang ada dalam saf pertama, nescaya mereka akan mengundi untuk mendapatkannya. ( Sahih Bukhari Bil 721).

2.Daripada Abu Hurairah : Sebaik-baik saf orang lelaki ialah yang pertamanya dan yang paling buruk ialah yang terakhir, dan saf wanita yang terbaik ialah yang terakhirnya dan yang paling buruk ialah yang paling hadapan.( Sunan Abu Dawud Hadi Bil 678)

2 Begitu juga makruh hukumnya mengutamakan orang lain untuk berwuduk lebih-lebih lagi apabila air hanya cukup untuk seorang sahaja.

3. Makruh sebahagian ulama menganggap haram memberi pakaian kepada seseorang untuk menutup aurat sedangkan aurat kita terbuka kerana ketiadaan pakaian.

Pengecualian

Seorang makmum yang sembahyang bersendirian disaf kedua, maka bagi jemaah yang berada disaf pertama disunatkan kebelakang untuk berada bersama dalam saf kedua. 

Rujukan

Al-Quran

Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari

Al-Asbah Wa al-Nazair Jalal alDin Abdul Rahman Al Suyuti Dar al-Kutub al-Ilmiyyah Beirut Cet 1983.

Al-Qawaid AlFiqhiyyah Wa Tatbiqatuha Fi al-Mazahib al-Arba’ah Muahmmad al-Zuhaili.Dar al-Fikr Beirut Cet 2009.

Qawaid al-Ahkam Fi Masalih al-Anam. Abi Muhammad Izzuddin Abdul Aziz IbnAbdul al-Salam.Dar al-Kutub al-Ilmiyyah Beirut.

Mawahib al-Saniyyah Syarh al-Faraid al-bahiyyah Nuzum al-Qawaid al-Fiqhiyyah Abdullah Sulayman al-Jarhazi Dar alFikr.

 

Salam Hormat

 

Ustaz Wan Mohd Zul

Kota Jembal Kelantan

30/11/2013

Wednesday 30 October 2013

Kaedah لا واجب مع العجز ولا محرم مع الضرورة


لا واجب مع العجز ولا محرم مع الضرورة

Dan Aplikasinya Dalam Bidang Perubatan

 

Kaedah ini merupakan gabungan dan pecahan daripada kaedah al-masshaqqah tajlib al-taisir dan juga kaedah al-darar yuzal.

Maksud kaedah secara umumnya ialah : Tiada kewajipan bersama keuzuran dan tiada hukum haram ketika darurat. Dr Ismail Ulwan ketika menghuraikan kaedah al-darurat tubih al-mahzurat berkata apabila berlaku sesuatu kemudaratan ke atas mana-mana mukallaf maka diharuskan ke atasnya melakukan perkara yang diharamkan mengikut kadar yang sesuai dengan darurat yang menimpanya.


Dalil bagi kaedah di atas ialah daripada al-quran dan juga hadis antaranya:

وما جعل عليكم فى الدين من حرج

 لا يكلف الله نفساً إلا وسعها

وقوله تعالى : لا يكلف الله نفساً إلا ما آتاها

 وقال تعالى: يريد الله بكم اليسر ولا يريد بكم العسر

 وقال تعالى : مايريد الله ليجعل عليكم من حرج

وقوله تعالى : ويضع عنهم إصرهم والأغلال التي كانت عليهم

وقال الله تعالى  يريد الله أن يخفف عنكم وخلق الإنسان ضعيفاً

 وقال عليه الصلاة والسلام (( ما نهيتكم عنه فاجتنبوه وما أمرتكم به فأتوا منه ما استطعتم ))"متفق عليه"

وقال عليه الصلاة والسلام لعمران بن حصين (( صل قائماً فإن لم تستطع فقاعداً فإن لم تستطع فعلى   جنبٍ ))"رواه البخاري"

وعند البيهقي أن النبي دخل على مريض يعوده فرآه يصلي على وسادة فرمى بها وقال (( صل على الأرض إن استطعت وإلا فأوم إيماءً واجعل سجودك أخفض من ركوعك ))

Dalam perbincangan yang ringkas ini saya akan mengaplikasikan beberapa contoh ke atas pesakit khasnya dalam bab taharah yang disebutkan oleh para ulama kontemporari. Untuk contoh yang lain Insyallah akan dibincangkan dalam perbincangan yang akan datang.

1.Pesakit diwajibkan bersuci dengan menggunakan air sepenuhnya ketika berkemampuan dengan bantuan atau tanpa bantuan kerana ianya adalah hukum asal. Sekiranya air tiada atau dengan menggunakan air akan menimbulkan masalah ke atas dirinya maka diizinkan untuknya menggunakan tanah(tayammum) sebagai ganti sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah :

فلم تجدوا ماءً فتيمموا

Imam nawawi dalam kitabnya Raudhah berkata sekiranya seseorang bertayamum kerana ketiadaan air , maka hendaklah diulangi semula sembayang tersebut jika ketiadaan air tersebut jarang-jarang berlaku.

Maka boleh dibuat ketetapan bahawa apabila seseorang tidak mampu menggunakan hukum  asal maka boleh bertukar kepada gantian. Sekiranya air tidak mampu digunakan untuk sebahagian anggota sedangkan yang lain boleh, maka tayamum hanya untuk anggota yang sakit sahaja sedangkan yang sihat masih mengggunakan hukum asal iaitu air.

} فلم تجدوا ماءً فتيمموا {

2. Seorang pesakit yang tidak mampu untuk ke bilik air kerana jauh, atau kerana tiada ahli keluarganya yang membantu maka kewajipan menggunakan air untuk berwuduk gugur ke atasnya. Maka dibolehkan untuknya bertayamum.Sekirnya ia yakin akan ada orang yang dapat membantu mendapatkan air mak disunatkan ia melewatkan sembagyang menikit pendapat imam al-nawawi.

 3.Sekiranya cadar atau pakaian yang digunakan pesakit  atau tubuhnya dikotori najis  wajib baginya menghilangkan najis tersebut sebelum menunaikan solat. Hukum ini akan berubah apabila dia tidak mampu menghilangkan najis tersebut dengan sebab keuzuran.

4.Pesakit yang ditimpa kemalangan serta mengalami luka dianggota wuduknya tetap diwjibkan membasuh anggota wuduk ketika berkemampuan. Adapun ketika tidak mampu maka hendaklah dia membasahkan tangannya dengan air seterusnya menyapu anggota yang luka.Sekiranya tidak mampu hendaklah membasuh anggota yang tidak ditimpa kemalangan dan bertayamum bagi anggota yang sakit.

5.Seseorang  yang baru melakukan pembedahan mata telah dinasihatkan oleh dr agar berhat-hati ketika sujud dalam solat atau sujud dengan melapik sesuatu supaya proses penyembuhan cepat dan tidak mencederakan mata. Bagi pesakit ini dizinkan untuknya sujud dengan melapik sesuatu tetapi tidak dizinkan untuk solat dalam keadaan duduk sepenuhnya.

6.Seseoang yang sukar untuk berdiri lama dalam solat diizinkan untuk solat dalam keadaan duduk dengan syarat berdiri terlebih dahulu kemudian ketika tidak mampu untuk terus berdiri barulah dizinkan baginya duduk.

7.Pesakit tetap diwajibkan mengadap kiblat ketika menunaikan solat kerana Ia termasuk dalam syarat sah sembahyang. Hukum ini dikecualikan apabila ia tidak mampu untuk mengadapnya kerana ketiadaan orang yang membantu mengalih ke arah kiblat. Adakah wajib diulangi semula sembahyang. Pendapat dalam Mazhab Shafie wajib diulangi semula sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Nawawi.

8. Pesakit sebagaimana dengan orang yang sihat wajib menunaikan sembhyang sebagaimna yang telah ditetapkan waktunya oleh Allah s.w.t .Apabila berlaku kesukaran untuk menunaikan solat mengikut waktu yang ditetapkan maka diberi kelonggaran bagi menghimpunkan solatsebagaiman yang disebutkan oleh Imam al-Suyuti.

Ustaz Wan Mohd Zul Wan Yusuf
Kota Jembal Kelantan
30 Okt 2013

Rujukan

القرآن الكريم

القواعد الشرعية فى المسائل الطبية وليد بن راشد السعيدان

روضة الطالبين للنووى

الاشباه والنظائر للسيوطى

أثر قاعدة الضرورات تبيح المجظورات فى بيان حكم القضايا الفقية المعاصر النوازل الطبية نموزجا د. اسماعيل غازى رحبا  

Monday 30 September 2013

Memahami Kaedah alYaqin La Yuzal Bi Shakk


Kaedah al-yakin la yuzal bi syak

اليقين لا يزال بالشك

(Keyakinan tidak hilang semata-mata dengan syak)

Pendahuluan

Kaedah ini merupakan asas kepada hukum Syarak yang agung. Kekuatan kaedah ini kerana ianya disandarkan kepada al-Quran, al-Sunnah dan juga akal. Kaedah ini paling banyak diaplikasikan dalam bab fiqh sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Suyuti. Disamping lafaz yang disebutkan di atas kaedah ini datang dengan beberapa bentuk lafaz yang lain tetapi membawa maksud yang sama.

Lafaz Lain Bagi Kaedah


اليقين لا يرفع بالشك, اليقين لا يزول بالشك, لا يرفع يقين بالشك, لا يترك اليقين بالمحتمل

Kaedah Yang Terhasil Darinya

Di antara kaedah yang dapat dipecahkan dari kaedah di atas ialah:

الأصل بقاء ما كان على ما كان, الاصل براءة الذمة, من شك هل فعل شيئا أو لا فالأصل أنه لم يفعله, من تيقن الفعل وشك فى القليل أو الكثير حمل على القليل لأنه المتيقن, أن ما ثبت بيقين لا يرتفع الا بيقين, الأصل العدم, الأصل قى كل حادث تقديره باقرب زمن, الأصل فى الاشياء الاباحة حتى يدل الدليل على التحريم, لا ينسب إلى ساكت قول, الأصل في الأمور العارضة العدم،, الأصل في الكلام الحقيقة, الأصل في الأبضاع التحريم, لا حجة مع الاحتمال الناشيىء عن دليل, لا عبرة بالدلالة في مقابلة التصريح, لا عبرة للتوهم, لا عبرة بالظن البين خطؤه.

Kepentingan Dan Bidang Aplikasi Kaedah

Kaedah ini merupakan sandaran bagi kebanyakan hukum-hukum fiqah bahkan ia dapat diaplikasikan dalam kebanyakan bab–bab fiqh sama ada ibadat, muamalat, qadha, hukuman dan lain-lain lagi. Imam al-Nawawi berkata kaedah ini dapat diaplikasikan hampir kepada keseluruhan masalah kecuali dalam beberapa masalah sahaja. Bahkan Imam al-Suyuti telah menukilkan kepentingan kaedah ini dengan katanya:

اعلم أن هذه القاعدة تدخل في جميع أبواب الفقه ، والمسائل المخرجة عليها تبلغ ثلاثة أرباع الفقه وأكثر.

Maksudnya:
 
Sesungguhnya kaedah ini dapat diaplikasikan ke atas kesemua bab –bab fiqh dan masalah-masalah yang dipraktikkan ke atasnya menjangkau sehingga ¾ masalah bahkan lebih dari jumlah tersebut. Bahkan kaedah ini juga melahirkan beberapa kaedah furuk’ yang lain.

Pengertian Kaedah

Pengertian Yakin dari sudut bahasa

Fairuz Abadi: Jauh dari keraguan. Al-Jirjani: Pengetahuan yang tiada keraguan bersamanya. Ibn Manzur: Pengetahuan yang jauh dari keraguan serta di pastikan sesuatu perkara..

Dari beberapa pengertian yang telah dikemukakan dan mereka semua sepakat mengatakan bahawa yakin ialah lawan bagi ragu-ragu.

Pengertian yakin dari sudut istilah

Jirjani: Beritiqad bahawa sesuatu itu dalam keadaan begini disamping itu ia juga beritiqad tidak mungkin selain dari yang diitiqad tadi, serta ia bersesuaian dengan keadaan dan tidak mungkin akan hilang.

Pengertian shakk dari sudut bahasa

Jirjani: Iaitu teragak-agak di antara dua perkara atau keadaan yang saling bertentangan tanpa adanya tarjih salah satu dari keduanya ketika syak tersebut.

Pengertian Syak dari sudut istilah

Imam al-Nawawi: Teragak-agak antara dua keadaan sama ada wujud atau tidak sesuatu perkara, sama ada kedua-duanya berada pada satu tahap atau yang satu lebih.

Maksud Umum Kaedah

Apabila sesuatu perkara atau sesuatu keadaan telah diyakini ketetapannya atau telah diputuskan hukumnya berdasarkan kepada dalil-dalil yang kuat atau tanda-tanda yang dipercayai maka perkara tersebut atau keadaan tersebut tidak akan terangkat hukum yakin semata –mata dengan syak yang lemah atau andaian yang tidak disandarkan kepada dalil yang kuat. Hukum tadi akan berterusan sehingga datangnya dalil yang setara dengannya.

Dalil Dan Sandaran Kaedah

Dalil Dari al-Quran

وَمَا يَتَّبِعُ أَكْثَرُهُمْ إِلَّا ظَنًّا إِنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ بِمَا يَفْعَلُونَ

Maksudnya: Dan kebanyakan mereka, tidak menurut melainkan sesuatu sangkaan sahaja, (padahal) sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iktiqad). Sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan apa yang mereka lakukan.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ

Maksudnya:

Wahai orang-orang yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa;

Dalil Dari Hadis

عن عباد بن تميم عن عمه أنه شكا الى رسول الله صلى الله عليه وسلم الرجل الذى يخيل اليه أته يجد الشىء فى الصلاة فقال لا ينتفل – او لا ينصرف حتى يسمع صوتا أو يجد ريحا.

Maksudnya :Dari Ubbad ibn Tamim dari bapa saudaranya bahawa beliau telah mengadu kepada Rasulullah seorang laki-laki yang syak bahawa ada sesuatu ketika sembahyang maka jawab Rasulullah jangan beredar sehinggalah ia mendengar bunyi atau tercium baunya.

عن أبى هريرة رضى الله عنه قال, قال رسول الله صلى الله عليه وسلم أذا وجد أحدكم فى بطنه شيئا فأشكل عليه أخرج منه شىء ام لا ؟ فلا يخرجن من المسجد حتى يسمع صوتا أو يجد ريحا.

Maksudnya: Dari Abi Hurairah Katanya ;Rasulullah telah bersabda Apabila seseorang dari kamu merasai sesuatu di dalam perutnya maka ia syak sama ada telah keluar darinya atau tidak. Maka janganlah kamu berhenti sembahyang sehingga ia mendengar bunyi atau tercium baunya.

Imam al-Nawawi ketika menghuraikan hadis ini berkata ;

وهذا الحديث أصل من أصول الاسلام وقاعدة عظيمة من قواعد الفقه وهي ان الاشياء يحكم ببقائها على اصولها حتى يتيقن خلاف ذلك ولا يضر الشك الطاريء عليها فمن ذلك مسئلة الباب التي ورد فيها الحديث وهي أن من تيقن الطهارة وشك في الحدث حكم ببقائه على الطهارة ولا فرق بين حصول هذا الشك في نفس الصلاة وحصوله خارج الصلاة هذا مذهبنا ومذهب جماهير العلماء من السلف والخلف

Maksudnya: Hadis ini merupakan salah satu dasar dari dasar –dasar Islam dan salah satu kaedah dari kaedah fiqh iaitu sesungguhnya sesuatu dihukumkan kekal pada asalnya sehinggalah diyakini berbeza dengan pegangan sebelum ini. Tidak menjadi suatu kecacatan apabila berlakunya syak ke atasnya. Di antara masalah yang dibincangkan dalam hadis ini ialah sesiapa yang menyakini dalam keadaan suci kemudian datangnya syak ia berhadas dihukumkan kekal dalam ia keadaan suci. Tidak ada perbezaan sama ada syak tersebut semasa sedang sembahyang atau diluar sembahyang inilah pegangan kami dan pegangan jumhur ulama dikalangan salaf dan khalaf.

 
Aplikasi Kaedah

Kaedah di atas dan pecehannya boleh diaplikasikan dalam banyak masalah antaranya;
بقاء ماكان علي ما كان  

(Kekalnya sesuatu mengikut keadaannya yang asal)
1.Sesiapa yang yakin ia dalam keadaan suci tetapi syak dia telah berhadas ia sebenarnya dalam keadaan suci.
2.Tidak membatalkan wuduk dengan menyentuh khunsaa.
3.Seseorang yang sedang berpuasa telah makan dipenghujung malam dan ia syak adakah telah masuk waktu subuh puasanya sah kerana asalnya masih malam.
4.Seseorang yang berpuasa apabila beliau makan dipenghujung siang tanpa berijtihad terlebih dahulu  kemudian didatangi syak adakah magrib telah masuk atau belum, maka batal puasanya kerana asalnya masih kekal siang.
5.Seseorang berniat puasa tiba-tiba ada syak adakah fajar telah muncul atau tidak,  sah puasanya kerana asalnya adalah malam.
6.Seorang perempuan diceraikan dengan talak satu telah mendakwa masih dalam keadaan edah akan dibenarkan kata-katanya .
ألاصل برأة الذمة
)Asal seseorang tiada tanggungjawab iaitu dari hak orang lain
1.Seseorang telah merosakkan sesuatu barang orang lain dan mereka berselisih tentang  nilai barangan tersebut, pendapat yang diterima adalah yang merosakkan barangan tersebut.
2.Seseorang diperintah untuk bersumpah terhadap sesuatu dia enggan melakukan umpah tersebut , maka hakim tidak boleh menjatuhkan hukum atas keenganan tersebut.
3.Seseorang yang yakin dia telah melakukan sesuatu, tetapi syak adakah telah melakukan bilangan yang banyak atau sedikit, contohnya solat asar adakah dia telah solat empat atau tiga yang diambil kira ialah bilangan yang sedikit kerana lebih yakin.
4.Seseorang yang syak dia meninggalkan sesuatu perbuatan yang diperintahkan seperti sujud , maka  perlu sujud sahwi sekiranya meninggalkannya, asalnya dia tidak melakukannya dan tak perlu sujud sahwi.
5.Seseorang syak ia melakukan perkara yang dilarang dalam solat asalnya tidak berlaku.

Kesimpulan Kaedah

Kaedah al-Yakin La Yuzalu Bi Syakk merupakan kaedah yang amat penting dalam kehidupan manusia kerana ia mempunyai banyak hubungan dengan hukum fiqah. Disamping mempunyai pengaruh yang besar dalam kehidupan manusia dalam melakukan hubungan dengan Allah (s. w. t) dengan beribadah. Kaedah ini juga mempunyai hubungan yang rapat dalam kehidupan manusia seperti hakim yang menjatuhkan hukuman terhadap pesalah ianya bersandarkan kepada bukti yang melampaui keraguan atau dengan kata lain bukti yang yakin.

Ustaz Wan Mohd Zul
Kota Jembal Kota Bharu Kelantan
30 Sept 2013

Sunday 25 August 2013

Kaedah Fiqh Dan Kedudukannya Dalam Perundangan Islam



Pengertian Qawaid Fiqhiyyah

Qawacid fiqhiyyah merupakan gabungan dua perkataan Arab iaitu qawacid dan juga fiqhiyyah yang dinamakan murakkab idafi.

Maksud Qawaid Bahasa
Ibn Manzur, al-Razi alFayyumi dan lain-lain  berkata: Kaedah bererti asas. Kaedah rumah bererti asas bagi sesebuah rumah.

Kaedah dengan makna asas  mempunyai beberapa sandaran di dalam al-Quran dan juga hadis Rasulullah s.a.w.

Antara sandaran daripada al-Quran sebagaimana firmanNya:

وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَاهِيمُ الْقَوَاعِدَ مِنَ الْبَيْتِ وَإِسْمَاعِيلُ
Maksudnya: Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama dengan anaknya Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu.

a)      Para mufassirin seperti al-alusia, al-muqatil,al-Tabari, al-samqandi, al-Mawardi,alwahidi dan lain-lain berkata maksud  alqawaid dalam ayat di atas ialah asas.

Dan FirmanNya lagi:

قَدْ مَكَرَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَأَتَى اللَّهُ بُنْيَانَهُمْ مِنَ الْقَوَاعِد
Maksudnya: Sebenarnya orang-orang yang terdahulu dari mereka telah menjalankan rancangan jahat (terhadap ugama Allah dan Rasul-rasulNya); maka Allah binasakan bangunan (rancangan jahat) mereka dari asas-asasnya.

Melalui keterangan di atas, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa yang dimaksudkan dengan kaedah dari sudut bahasa ialah asas atau tapak.

Maksud Fiqh


Pengarang kitab Adwar ‘Ilm al-Fiqh wa Atwaruh berkata: perkataan fiqh di awal kebangkitan Islam tidak hanya dikhususkan semata-mata kepada ilmu fiqh, bahkan perkataan ini digunakan untuk kesemua cabang ilmu asas dalam Islam, sama ada yang berbentuk usul seperti aqidah atau pun furu’ seperti fiqh, juga termasuk yang berkaitan dengan akhlak.

Manakala faqih pula dinisbahkan kepada seseorang yang menghafal ayat-ayat al-Quran serta memahami maknanya, tahu nasakh mansukhnya, muhkam mutashabih, ‘umum, khusus, mutlaq atau muqayyad.

‘Abd al-Karim Zaydan dalam bukunya al-Madkhal li Dirasat al-Shari‘ah al-Islamiyya berkata pada asalnya kalimah fiqh digunakan untuk kesemua hukum-hukum agama yang dibawa oleh syariah.

Abu Hanifah, ‘Ubayd bin Mas‘ud, Imam al-Ghazali dan juga Hasan al-Basri menggunakan perkataan fiqh untuk semua Ilmu. Imam Abu Hanifah contohnya telah menamakan tulisannya yang berkaitan dengan aqidah sebagai “al-Fiqh al-Akbar”. Imam al-Ghazali berkata:

ولقد كان اسم الفقه في العصر الأول مطلقاً على علم طريق الآخرة ومعرفة دقائق آفاق النفوس ومفسدات الأعمال وقوة الإحاطة بحقارة الدنيا وشدة التطلع إلى نعيم الآخرة واستيلاء الخوف على القلب، ويَدُلّكَ على ذلك قوله عز وجل: فَلَوْلاَ نَفَرَ مِنْ كُلِّ فِرْقَةٍ مِنْهُمْ طَائِفَةٌ لِيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنْذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ.
Maksudnya:

Sesungguhnya istilah fiqh pada zaman pertama diistilahkan untuk semua jenis ilmu yang membawa kepada akhirat dan mengetahui perincian yang berkaitan dengan jiwa, perkara yang merosakkan amalan, kekuatan menguasai kehinaan dunia, bersungguh dalam mengkaji kenikmatan akhirat dan mengusai ketakutan terhadap hati. Apa yang disebutkan di atas, dibuktikan dengan firman Allah taala: Oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu Yang dituntut di Dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; Mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).

Begitu juga dengan Ubaid bin Mascud pernah berkata:

اسم الفقه في العصر الأوّل كان مطلقًا على علم الآخرة، ومعرفة دقائق النفوس، والاطلاع على الآخرة وحقارة الدنيا، ولست أقول: إن الفقه لم يكن مُتناولاً أولاً الفتاوى والأحكام الظاهرة.
Maksudnya:

Perkataan fiqh pada peringkat permulaan digunakan untuk ilmu berkaitan akhirat, ilmu untuk mengenali batin jiwa manusia, mengetahui alam akhirat dan kehinaan dunia. Namun aku tidak mengatakan bahawa perkataan fiqh itu langsung tidak mencakupi perkara berkaitan fatwa dan hukum hakam zahir.
Setelah beredarnya masa, penggunaan perkataan fiqh mula dikhususkan untuk ilmu yang berkaitan dengan hukum-hakam yang bermula pada zaman tabi‘ al-tabi‘in.

Pengertian Fiqh dari sudut Bahasa


Perkataan fiqh merupakan pecahan bagi kata dasar (فقه) dan diulang sebanyak 20 kali dalam al-Quran.
Dari sudut bahasa maksudnya berlegar sekitar memahami dan ilmu.

a)      al-Jirjani mentakrifkan fiqh sebagai: Memahami maksud pertuturan seseorang.
b)      Pengarang Ensiklopedia fiqh pula berkata fiqh ialah: Mengetahui sesuatu dan memahaminya dan cerdik tentangnya. Kebiasaanya perkataan fiqh digunakan untuk ilmu-ilmu agama kerana kemuliaan ilmu ini.
c)      Muhammad Mustafa Shalabi dalam bukunya al-Madkhal fi al-Ta‘rif bi al-Fiqh al-Islami: berkata al-Quran menggunakan perkataan fiqh untuk memahami sesuatu dengan mendalam.
d)     Manakala al-Razi dan al-Amidi pula berkata al-fiqh ialah faham.
e)      Begitu juga dengan Abu Bakr Ahmad al-Baghdadi berkata al-fiqh ialah al-fahm (faham). Seseorang itu tidak faqih kata-kata ku maksudnya seseorang itu tidak memahami kata-kataku.

Maksud fiqh dari sudut bahasa sebagaimana yang diterangkan oleh ahli-ahli bahasa ialah memahami dan mengerti kerana setiap ilmu datangnya daripada Allah. Makna inilah yang telah ditegaskan oleh Allah.

FirmanNya:
قَالُوا يَا شُعَيْبُ مَا نَفْقَهُ كَثِيرًا مِمَّا تَقُولُ

Maksudnya: Mereka berkata: Wahai Shuacib, ! Kami tidak mengerti kebanyakan dari apa yang Engkau katakan itu.

FirmanNya lagi:

وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِي () يَفْقَهُوا قَوْلِي

Maksudnya: Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, ”Supaya mereka faham perkataanku. ”

Oleh itu apa yang dimaksudkan dengan fiqh dari sudut bahasa ialah memahami sesuatu perkara dengan mendalam dan terperinci. Oleh itu seseorang tidak dinamakan faqih jika dia tidak memahami sesuatu dengan jelas terang dan terperinci.

Fiqh Pada Istilah


Dari segi istilah, pelbagai pengertian telah dikemukakan oleh para ulama, walaupun berbeza dari segi lafaz tetapi dari sudut makna ia hampir mempunyai persamaan.

a)      al-Zarkashi dan al-Isnawi telah memberi pengertian fiqh dengan katanya: Mengetahui hukum-hukum syarak yang berbentuk praktikal yang diambil daripada dalil-dalil yang terperinci.
b)     Manakala al-Amidi menyebut fiqh ialah ilmu yang terhasil secara jumlahnya daripada hukum-hukum syarak yang far‘i dengan cara memerhati dan menggunakan dalil.
c)      al-Baji memberi pengertian yang lebih ringkas tentang fiqh iaitu mengetahui hukum-hukum syarak.
d)     Ibn Qudamah berkata: Fiqh ialah mengetahui hukum-hukum syarak yang berbentuk perbuatan seperti halal, haram, sah dan fasad.
e)      al-Shawkani: Mengetahui hukum-hukum syarak dengan dalil-dalil yang terperinci dengan cara beristidlal.
f)      al-Asmandi berkata fiqh ialah hukum-hukum yang didapati melalui syarak, bukannya hukum yang diperolehi daripada aqal.

Kesimpulan tentang maksud fiqh ialah mengetahui sesuatu perkara yang berkaitan dengan hukum-hukum syarak yang berbentuk praktikal dengan mendalam dan terperinci yang diambil daripada dalil yang terperinci.

Hubungan Fiqh Dengan Syariah


Ramai di kalangan masyarakat awam yang keliru dengan perkataan fiqh dan juga syariah. Pengkaji akan menjelaskan secara ringkas perbezaan antara fiqh dengan syariah.

Dari sudut bahasa, syariah mempunyai beberapa maksud antaranya jalan yang lurus dan juga tempat manusia mencari sumber minuman. Kedua-dua makna tersebut mempunyai makna yang sama dengan syariah kerana kedua-duanya mempunyai persamaan iaitu menjadi tempat tumpuan manusia.

Firman Allah Ta‘ala:

ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَى شَرِيعَةٍ مِنَ الْأَمْرِ فَاتَّبِعْهَا وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُون

Maksudnya:

Kesudahannya Kami jadikan Engkau (Wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum ugama; maka Turutlah syariat itu, dan janganlah Engkau menurut hawa nafsu orang-orang Yang tidak mengetahui (perkara Yang benar).

Manakala dari sudut istilah, syariah bermaksud “hukum-hukum yang disyariatkan oleh Allah ke atas hambanya menerusi seorang Rasul. Hukum-hukum yang diturunkan oleh Allah disebut sebagai syariat kerana lurusnya hukum tersebut dan sekali-kali tidak bengkok atau menyeleweng daripada jalannya. Perbezaan antara fiqh dengan syariah antaranya ialah:

a)      Syariah merupakan suatu sistem atau perundangan yang lengkap meliputi seluruh aspek kehidupan manusia sama ada berkaitan dengan aqidah, akhlak, ibadah atau muamalah. Ia menggariskan kaedah-kaedah, dasar-dasar umum dan daripada dasar-dasar inilah dipegang hukum yang tidak dinaskan secara langsung di dalam al-Quran atau al-Sunnah.
b)      Adapun fiqh ialah mengetahui hukum-hukum syarak yang berbentuk praktikal. Manakala dari satu sudut yang lain ia merupakan pendapat para mujtahidin di kalangan ulama yang disebut sebagai fiqh Shafici, fiqah Maliki, fiqh Hanafi dan sebagainya.
c)      Syariah lebih umum berbeza dengan fiqh yang lebih khusus kepada sesuatu masalah atau perbincangan seperti fiqh zakat, fiqh muamalat, dan sebagainya.
d)     Syariah diwajibkan ke atas setiap manusia, adapun pendapat mujtahid tidak diwajibkan ke atas mujtahid yang lain bahkan tidak diwajibkan ke atas orang yang mengikutinya setelah ia memilih pendapat lain.
e)      Fiqh merupakan istinbat mujtahid yang kadang-kadang dapat mengatasi permasalahan untuk sesuatu masa dan juga tempat sahaja bukan untuk semua tempat dan masa berbeza dengan syariah.
f)       Hukum-hukum syariah tidak ada kesilapan dan kesalahan serta tidak berlaku perubahan, berbeza dengan kefahaman para fuqaha atau mujtahid yang ada kesilapan  Di samping itu juga pendapat fuqaha mengalami perubahan. Contohnya pendapat Imam Shafici yang berubah daripada qawl qadim kepada qawl jadid.
g)      Syariah bersifat kekal dan tidak berlaku perubahan, berbeza dengan fiqah yang sebahagian besarnya telah hilang disebabkan tiada pengikut atau tiada yang menyebarkannya seperti fiqh al-Awza‘i, Dawud al-Zahiri, al-Thawri.

 

Pengertian Kaedah  Fiqh

Pengertian Kaedah Fiqh Sebagai suatu ilmu yang khusus

Apabila dirujuk kepada kitab-kitab qawa‘id fiqhiyyah yang ditulis oleh ulama silam atau penulis semasa, pelbagai definisi dibuat dapat ditemui. Kebanyakan mereka mempunyai definisi yang tersendiri sehingga menjangkau lebih daripada dua puluh definisi dikemukakan.

Banyaknya definisi sama ada kerana keluasan ilmu yang mereka miliki atau kerana luasnya perbincangan ilmu qawa‘id fiqhiyyah atau berbezanya pemahaman mereka terhadap ilmu ini. Apabila dibuat penelitian secara mendalam tentang definisi yang dikemukakan, ada di kalangan ulama yang memberi definisi kaedah secara umum yang meliputi semua jenis kaedah, sama ada kaedah usul, kaedah fiqh dan kaedah bahasa.

Ada pula yang memberikan definisi khusus untuk kaedah fiqh sahaja. Di samping itu ada juga di kalangan ulama yang mengatakan bahawa kaedah fiqah bukan bersifat kulli dan ada pula yang berpendapat sebaliknya.

Oleh kerana banyak definisi yang ada maka pengkaji akan membahagikan perbincangan kepada dua bahagian. Pertama yang dibuat oleh ulama silam dan yang kedua yang dibuat oleh penulis atau ulama semasa. Seterusnya pengkaji akan memilih definisi yang terbaik dan membuat kesimpulan terhadap definisi tersebut.

Pengertian Ulama silam


a)      al-Subki: Iaitu sesuatu yang kulli (keseluruhan) yang boleh diaplikasikan ke atasnya juzuk-juzuk yang banyak, yang dapat difahami hukum darinya.
b)      al-Hamawi: Iaitu hukum kebanyakan bukan kulli (keseluruhan) yang boleh diaplikasikan ke atas kebanyakan juzuk-juzuk untuk mengetahui hukum daripadanya. al-Taftazani: Hukum kulli yang boleh diaplikasikan ke atas kesemua juzuk untuk mengetahui hukum daripadanya.
c)      al-Jirjani: Sesuatu yang bersifat kulli yang boleh diaplikasikan ke atas kesemua juz’iyyatnya.

Pengertian Ulama Semasa


a)      al-Zarqa’: Pokok-pokok fiqh yang bersifat usul fiqhiyyah yang berbentuk kulli, dalam bentuk nas perundangan yang ringkas, meliputi hukum-hukum perundangan yang umum dalam persoalan-persoalan yang dimasukkan di bawah mauduknya.
b)      Mustafa Shalabi: Asas atau pokok yang kulli yang dibentuk daripada nas ringkas yang merangkumi hukum-hukum syarak yang umum tentang peristiwa yang termasuk di bawah mauduknya.
c)      ‘Ali al-Nadwi dalam bukunya al-Qawacid al-Fiqhiyyah telah memberikan dua takrif ilmu ini:
                                i.            Hukum syarak dalam bentuk isu-isu kebiasaan yang dapat diketahui daripadanya hukum-hukum yang masuk di bawah lingkungannya.
                              ii.            Dasar fiqh yang bersifat kulli yang merangkumi hukum-hukum umum yang disyariatkan dalam pelbagai bab mengenai masalah-masalah yang terkandung di bawah lingkungannya.
d)     Mahmud Ismail Muhammad Mis’al: hukum fiqhi yang berbentuk umum yang dapat diketahui daripadanya hukum-hukum juz’i, mauduknya daripada bab-bab yang berbeza.
e)       ‘Abd al-Rahman al-Sha‘lan berkata, pengertian kaedah fiqh ialah hukum fiqah yang kulli yang boleh diaplikasikan ke atas juzuk yang banyak daripada pelbagai bab.
f)       Shaykh Muhammad al-Khudari berkata dasar kulli yang boleh diaplikasikan ke atas juz’iyyat ketika diketahui hukumnya.

Kesimpulan


Penulis lebih cenderung untuk memilih takrif yang dikemukan oleh ulama yang mengatakan bahawa kaedah fiqh ialah suatu yang “kulli yang boleh diaplikasikan ke atas kesemua juzu’nya”.

Pengertian inilah yang dipegang oleh sebahagian besar ulama seperti al-Jurjaniyy, al-Fayyumi, al-Subki, Shaykh Mustafa al-Zarqa’ dan ‘Abd al-Rahman al-Kaylani.

Walaupun takrif ini mendapat kritikan daripada beberapa penulis seperti al-Hamawi, dengan alasan kaedah fiqh mempunyai pengecualian sedangkan takrif yang dikemukakan menggunakan kalimah kulli.
Untuk menjawab persoalan tersebut, penulis akan menukilkan beberapa jawapan yang telah dikemukan oleh penulis lain dan tambahan daripada penulis sendiri serta kesimpulannya;

a)      Adanya pengecualian tidak memusnahkan sifat kulliyyah kerana setiap kaedah mempunyai syarat-syarat yang tertentu bahkan setiap pengecualian yang terdapat dalam kaedah tersebut adalah terkeluar daripada kaedah kerana pada asalnya ia bersifat sedemikian bahkan setiap kaedah atau dasar sesuatu perkara terdapat pengecualiannya.
b)      Dalam hal ini al-Shatibi berkata: “Sesungguhnya dasar-dasar kulli apabila telah tetap, dengan adanya sesuatu yang tidak termasuk di dalamnya ia tidak memusnahkan sifat kulliyynya. Jadi pada pandangan al-Shatibi dengan adanya pengecualian tidak memusnahkan sifat kulliyy sesuatu kaedah.
c)      al-Quran telah menggunakan perkataan kulli ketika Allah s. w. t memperkatakan tentang golongan yang mendapat rahmat daripadaNya. Allah s. w. t. telah berfirman:
وَرَحْمَتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ
Maksudnya:
Dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu.

Daripada zahir ayat, seolah-olah semua makhluk akan menerima rahmat daripada Allah s. wt., sedangkan pada hakikatnya tidak sedemikian.

Muqatil ketika mentafsirkan ayat di atas berkata: Dan rahmat Allah memenuhi setiap sesuatu, maka Iblis berkata: “Sesungguhnya aku termasuk dalam golongan tersebut. ” Lantas Allah menjawab: “Sesungguhnya rahmatKu hanya untuk orang-orang bertakwa. ” Apa yang disebutkan oleh Muqatil, disebutkan juga oleh al-Qurtubi dalam tafsirnya ketika mentafsikan ayat di atas.

 

Perbezaan Kaedah Fiqh dengan Kaedah Usul Fiqah


Imam al-Qarafi dianggap sebagai ulama pertama yang memberikan perbezaan antara kaedah usul fiqh dengan kaedah fiqh, sebagaimana disebutkan oleh beliau dalam kitabnya yang amat berharga iaitu al-Furuq.

 

Pengertian Kaedah Usul


Kaedah usul boleh diertikan sebagai “dasar kulli yang dapat diketahui daripadanya hukum-hukum juz’i yang termasuk di bawah mauduknya. ” Contoh kaedah usul yang mashyur ialah:
كل أمر للوجوب

Maksudnya: Setiap perintah adalah Wajib.

كل نهى للتحريم
Maksudnya:  Setiap larangan adalah haram.

Persamaan kaedah Usul dengan Kaedah Fiqh


Terdapat beberapa persamaan antara kaedah usul dengan kaedah fiqh. Antaranya ialah:
  1. Kedua-dua kaedah ini bertujuan untuk memudahkan dalam memahami hukum-hukum yang diturunkan oleh Allah (s. w. t).
  2. Setiap furuk yang diaplikasikan ke atas kaedah sama ada dari kaedah usul atau kaedah fiqh berbeza di antara mazhab-mazhab fiqh.

Perbezaan Kaedah Usul dan Kaedah Fiqh


          i.          Kaedah usul lahir pada kebiasaannya daripada lafaz-lafaz dan nas-nas bahasa Arab, manakala kaedah fiqh pula lahir daripada hukum-hukum syarak dan juga masalah-masalah fiqh.
        ii.          Kaedah usul merupakan manhaj dan penjelasan tentang cara yang mesti diikuti oleh seseorang faqih untuk mengistinbatkan hukum-hukum daripada dalil-dalilnya. Adapun kaedah fiqh pula merupakan sesuatu ( mabda’) umum dalam fiqh Islam yang merangkumi hukum-hukum syarak umum yang dapat diaplikasikan ke atas sesuatu perkara atau kejadian yang termasuk di bawah tajuknya.
      iii.          Kaedah usul perbincangannya ialah tentang dalil-dalil seperti al-Quran, al-Sunnah, ijmak dan qiyas. Kaedah fiqh pula perbincangannya adalah perbuatan manusia seperti sengaja, tidak sengaja, dipaksa dan sebagainya.
      iv.          Kaedah usul dikhususkan kepada para mujtahid digunakan untuk mengistinbatkan hukum fiqh dan ketika untuk megetahui hukum bagi peristiwa dan persoalan yang baru berlaku. Kaedah fiqh khas untuk fuqaha’ atau mufti atau untuk seseorang yang mahir dengan ilmu ini bagi megetahui hukum bagi sesuatu perkara tanpa perlu merujuk kepada kitab-kitab fiqh.
        v.          Kaedah usul merupakan sesuatu yang tetap dan tidak berubah. Kaedah fiqh tidak semuanya tetap, kadang-kadang berlaku perubahan bagi kaedah yang didasarkan kepada uruf dan adat, maslahah dan lain-lain.
      vi.          Seseorang yang telah mengusai kaedah usul tidak semestinya dia telah mengusai usul fiqh. Dengan mengusai kaedah fiqh, kebisaaannya seseorang telah dapat mengusai fiqh.
    vii.          Kedah usul merupakan dalil-dalil umum, manakala kaedah fiqh pula merupakan hukum yang berbentuk umum. Contoh kaedah usul seperti ما لا يتم الواجب الا به فهو الواجب. Manakala kaedah fiqh seperti: العادة محكمة
  viii.          Kaedah usul lahir terlebih dahulu sebelum kewujudan furuk, manakala kaedah fiqh lahir terkemudian daripada furuk masalah.
      ix.          Para mujtahid memandang kaedah usul dari sudut lafaz, sebelum mengeluarkan hukum, manakala kaedah fiqh dipandang dari sudut makna. Contoh ayat (ولاتقربوا الزنى). Mereka memandang ayat tersebut dari sudut lafaz sama ada perintah atau larangan, sebelum mengeluarkan hukum. Contoh untuk kaedah fiqh pula seseorang ragu-ragu tentang bilangan rakaat, maka fuqaha’ akan melihat dari sudut makna ragu-ragu tersebut.

Perbezaan antara Kaedah Fiqh dengan al-Ashbah wa al-Naza’ir


Perkataan ashbah pertama kali telah digunakan oleh Sayyidina ‘Umar ibn al-Khattab ketika baginda mengutus surat kepada Abu Musa al-Asha‘ari. Antara isi kandungan surat tersebut:

اعرف الأمثال والأشباه، ثم قس الامورعندك
Maksudnya:

Kamu kenalilah persamaan kemudian qiaskan perkara-perkara yang ada disi kamu.

Daripada penelitian yang dilakukan, pengkaji beranggapan bahawa penulis pertama yang menggunakan tajuk al-Ashbah wa al-Naza’ir ialah Muqatil ibn Sulayman al-Balkhi dalam kitabnya al-Ashbah wa al-Naza’ir fi al-Qur’an al-Karim. Pengarang kitab ini telah menyebut perkataan-perkataan tertentu dalam al-Quran dan mendatangkan pelbagai makna bagi perkataan tersebut. Sebagai contoh perkataan huda dalam al-Quran mempunyai 17 bentuk antaranya al-bayan (penjelasan), din al-Islam (agama Islam), al-iman, dai (penyeru), ma‘rifah (pengetahuan) dan lain-lain.

Adapun pengarang pertama dalam fiqh yang menggunakan tajuk al-ashbah wa al-naza’ir ialah ulama dari mazhab Shafici yang dikenali dengan Ibn al-Wakil dalam kitabnya al-Ashbah wa al-Naza’ir.

Persamaan antara Kaedah denganAshbah


    1. Sama-sama membincangkan furu fiqh yang hampir sama.
    2. Sama-sama bertujuan untuk merungkaikan dan mencari jawapan bagi masalah yang berlaku.

Perbezaan antara Kaedah denganAshbah


  1. Ashbah lebih umum berbanding kaedah yang lebih khusus.
  2. al-Ashbah wa al-Naza’ir menekankan kepada furuk dan juz’iyyat fiqh yang hampir sama, manakala kaedah pula menekankan hubungan kesemua dengan furuk dan juzu’.

 

Kepentingan Dan Faedah Mempelajari Kaedah Fiqh


Memang tidak dinafikan kaedah fiqh mempunyai kepentingan yang amat besar kepada umat Islam lebih-lebih lagi kepada para ulama yang berkecimpung dalam bidang yang berkaitan dengan pengeluaran hukum hakam dan fatwa, seperti para mufti dan hakim. Kepentingan dan faedah mempelajari ilmu ini, telah banyak diperkatakan oleh ulama-ulama silam dalam karangan mereka dan juga oleh penulis-penulis semasa. Sebelum pengkaji meringkaskan apa yang telah diperkatakan oleh mereka, rasanya lebih baik kita perhatikan apa yang pernah disebutkan oleh ulama silam tentang ilmu ini:

Imam Suyuti pernah menyebut dalam kitabnya al-Ashbah wa al-Naza’ir:
اعلم أن فن الأشباه والنظائر فن عظيم، به يطلع على حقائق الفقه، ومداركه ومآخذه وأسراره، ويتمهر فى فهمه واستحضاره، ويقتدرعلى الإلحاق والتخريج، ومعرفة الأحكام والمسائل التى ليست بمسطورة، والحوادث والوقائع التى لاتنقضى على ممر الزمان.
Maksudnya: Sesungguhnya Ilmu al-Ashbah Wa al-Nazair suatu ilmu yang agung, dengannya dapat diketahui hakikat fiqah, tempat pengambilan dan rahsia-rahsianya mahir dalam memahami fiqh dan menghadirkan masalah, mampu untuk menyamakan dan mengeluarkan hukum, dapat mengetahui hukum-hukum dan masalah-masalah yang tidak habis persitiwa dan kejadian yang tidak habis dengan perjalanan masa.

Manakala al-Zarkashi pula berkata:
ومن ضبط الفقه بقواعده استغنى عن حفظ أكثر الجزئيات لاندراجها في الكليات………. .

Maksudnya: Sesiapa yang mengawal fiqh dengan kaedah–kaedah fiqh maka dia tidak perlu untuk menghafal banyak cabang kerana cabang tersebut telah terangkum dalam kuliyyat. . . . . .

Manakala ulama dari mazhab Maliki pula menyebut dalam al-Furuq:
وهذه القواعد مهمة في الفقه، عظيمة النفع، وبقدر الإحاطة بها يعظم قدر الفقيه ويشرف،

Maksudnya: Kaedah ini penting bagi fiqh, besar manfaatnyadengan mendalaminya akan hebat seseorang faqih dan ia akan mulia….

Kepentingan ilmu ini dapat dibahagikan kepada empat aspek:

1.Membentuk Gambaran Umum Tentang Fiqh

a)      Pengajian kitab fiqh di Malaysia untuk masyarakat awam kebanyakannya tidak sempat untuk dikhatamkan dengan bermacam-macam alasan. Dengan adanya pengajian kaedah fiqh ini akan membuka peluang kepada masyarakat awam untuk mendapat gambaran umum tentang fiqh dari kesemua bab.
b)      Islam ialah agama yang mudah dan tidak membebankan umatnya dengan perkara-perkara yang sukar. Dengan adanya kaedah fiqh, maka ia dapat menarik umat Islam untuk mendalami ilmu fiqh dengan lebih mudah dalam bentuk baru.

2.Mengeluarkan Hukum Isu-Isu Semasa


a)      Setiap mukmin yang mengambil berat masalah halal haram dalam kehidupannya akan merujuk kepada mereka yang berkelayakan untuk menyelesaikan persoalan yang timbul dalam kehidupannya. Dengan adanya kaedah fiqh, akan memudahkan untuk mencari jawapan bagi persoalan yang dikemukakan.
b)      Orang yang mengusai kaedah fiqh lebih mudah untuk mencari jawapan tanpa perlu merujuk kepada kitab-kitab fiqh. Ini berdasarkan pengalaman penulis yang mula didedahkan dengan ilmu ini sejak 1991 dan menyampaikan kepada masyarakat awam.

3.Menjaga dan Mengehadkan Furu’ Fiqh Yang Berterabur


Salah satu kesukaran yang dilalui ketika mempelajari ilmu fiqh ialah untuk mengingati masalah-masalah fiqh yang tidak terhitung banyaknya, bahkan ia bertambah dari setahun ke setahun kerana bertambahnya persoalan-persoalan yang menimpa manusia. Dengan mengusai ilmu ini kesukaran untuk mengingati masalah-masalah ini dapat diatasi iaitu dengan cara menghafal kaedah-kaedah fiqh.

 

4.Melahirkan Ahli Fiqh yangMuktabar


a)      Untuk melahirkan seorang ahli fiqh yang hebat bukannya suatu yang mudah, tetapi dengan mempelajari kaedah fiqh dan dawabit fiqhiyyah, jalan ke arahnya lebih terbuka.
b)      Ahli fiqh juga semestinya dikehendaki menguasai maqasid syariah yang agak rumit, tetapi dengan mempelajari kaedah fiqh kandungannya memberi gambaran yang jelas tentang maqasid dan tujuan syarak.

Kehujjahan Kaedah Fiqh


Sebagaimana yang telah disebutkan dalam perbincangan yang lepas kaedah fiqh memainkan peranan yang besar dalam memudahkan pengeluaran hukum-hukum berdasarkan nas-nas kaedah. Dari situ timbul satu persoalan yang agak menarik untuk dibincangkan iaitu tentang kehujjahan kaedah fiqh atau dengan kata lain adakah kaedah fiqh boleh dijadikan sebagai sumber hukum sebagaimana sumber hukum yang lain seperti al-Quran, sunnah, ijmak, qiyas, al-masalih al-mursalah, sadd al-dhara’i‘, istihsan, istishab dan lain-lain sumber dalam mengistinbatkan hukum-hakam.

Perbincangan berkaitan perkara ini telah pun dibincangkan oleh beberapa penulis silam seperti Imam Shafici, Imam al-Ghazali, al-Qarafi, al-Juwayni, Ibn Daqiq al-‘Id, Imam al-Shatibi dan lain-lain. Penulis semasa seperti Ahmad al-Nadwi, ‘Uthman Shubayr, al-Burnu, Mahmud Ismail Muhammad Mish‘al juga telah membuat perbincangan tentang perkara ini dengan lebih lanjut. Di samping menukilkan apa yang pernah dibincangkan oleh mereka di sini, penulis juga akan menambah beberapa perkara yang tidak disebutkan oleh penulis-penulis tersebut dan membuat kesimpulan daripada apa yang telah dibincangkan.

Pendapat Ulama

Ulama telah berselisih kepada dua pendapat dalam menjadikan kaedah fiqh sebagai sumber hukum. Walaupun ‘Uthman Shubayr membahagikan kepada tiga pendapat, tetapi pendapat kedua dan ketiga boleh disatukan.

Pendapat Pertama


Harus menjadikan kaedah fiqh sebagai sumber hukum. Pendapat ini dipegang oleh, Imam al-Ghazali, al-Qarafi, Ibn Bashir, al-Shatibi, al-Suyuti, dan al-Futuhi. Manakala dari kalangan penulis semasa seperti al-Burnu, Ya‘qub al-Bahsayn dan Mahmud Ismail Muhammad Mish‘al.

 

Hujjah yang Digunakan


        i.            Sebahagian daripada kaedah fiqh berasal daripada nas sama ada al- Quran atau al-Sunah, atau nas yang diubah suai tetapi tidak menjejaskan kedudukannya. Maka tidak dapat diterima jika atas nama nas ia diterima sebagai dalil, tetapi apabila ditukar kepada kaedah fiqh ia tidak boleh menjadi dalil.
      ii.            Dalil-dalil yang tidak disepakati di kalangan ulama boleh diterima sebagai sumber hukum di kalangan mazhab tertentu, sedangkan dalil yang mengiktirafnya sebagai sumber hukum lebih lemah berbanding sumber nas berkaitan dengan kaedah.
    iii.            Kaedah fiqh merupakan dasar kulli yang boleh diaplikasikan ke atas semua cabang. Walau pun wujud pengecualian, namun tidak menjadi suatu kecacatan kepada sifat kulli yang ada pada keadah fiqh.
    iv.            Kehujjahan kaedah dan kemampuannya untuk dijadikan dalil diambil daripada gabungan dalil-dalil juz’ie yang berkembang, kerana setiap dalil juz’ie merupakan hujjah yang mesti beristidlal dengannya. Maka gabungan dalil-dalil yang lebih layak dijadikan dalil.
      v.            Apabila diperhatikan kepada ijtihad yang dikeluarkan oleh imam-imam mujtahid, didapati bahawa mereka mengambi kira dan berpegang dengan kaedah fiqh ketika hendak mengeluarkan hukum.

 

Pendapat Kedua


Tidak harus menjadikan kaedah fiqh sebagaimana sumber hukum selagi tidak didapati nas yang jelas daripada al-Kitab atau al-sunnah. Pendapat ini dipegang oleh Imam al-Juwayniyy, Ibn Daqiq al-‘Id, Ibn Nujaym, penulis Majallat al-Ahkam, Mustafa al-Zarqa’ dan ‘Uthman Shubayr.

Dalil Pendapat Kedua


a)      Kaedah fiqh adalah bersifat majoriti (aghlabiyyah) bukan keseluruhan (kulliyyah). Pengecualian yang ada adalah banyak. Kemungkinan akan berlaku perkara yang dikecualikan akan dimasukkan ke dalam kaedah ketika beristinbat.
b)      Kebanyakan kaedah fiqh tidak bersandar kepada nas syarak, tetapi berdasarkan kepada ijtihad yang kemungkinan salah, oleh itu dengan menyamakan kaedah ke atas semua furuk termasuk dalam bahagain yang tanpa pertimbangan sewajarnya..

 

Pendapat Terpilih


Penulis lebih cenderung untuk memilih pendapat yang membolehkan kaedah fiqh dijadikan sebagai sumber hukum. Ini kerana hujjah yang digunakan oleh pendapat yang tidak menerimanya adalah lemah berdasarkan alasan-alasan berikut:

a.       Jelas bahawa kaedah fiqh adalah berdasarkan kepada dalil-dalil yang sebahagiannya mencapai tahap qati manakala yang lain sememangnya  mempunyai dalil dan sandaran.
b.      Kaedah yang dikeluarkan berdasarkan ijtihad juga dikira, walaupun ia hanya mencapai tahap zann kerana zann hanya semasa mengistinbatkan hukum.
c.       Setiap kaedah mempunyai pengecualian. Adanya pengecualian tidak menjejaskan sifat kullinya.

Penutup

Ilmu kaedah fiqh suatu ilmu yang mesti dikuasai oleh para ulama hari ini sesuai dengan kedudukan dan peranannya dalam menyelesaikan persoalan-persolan yang berlaku yang memerlukan jawapan segera.

Ustaz Wan Mohd Zul Bin Wan Yusuf
Polimas
19 Syawal 1434   

الفضيلة المتعلقة بنفس العبادة اولى من المتعلقة بمكانها Kelebihan Yang Berkait dengan Ibadah Secara Langsung Lebih Awla Berbanding Yang Berkait Dengan Tempat Pelaksanaan Ibadah

  1.0 Pendahuluan Pelaksanaan ibadah tidak terlepas dari dua keadaan iaitu masa atau tempat atau kedua-duanya. Solat maghrib tidak boleh dil...