Wednesday, 6 May 2015

Kaedah السؤال معاد فى الجواب


السؤال معاد فى الجواب
Pendahuluan
Ucapan dan tutur kata seseorang mempunyai implikasi dan kedudukan yang besar dalam Islam. Setiap  ucapan dan tutur kata mempunyai nilai hukum di sisi Allah s.w.t sama ada sunat, harus, haram dan sebagainya. Dengan sebab ucapan hubungan seorang suami dengan isterinya, boleh berakhir. Dengan sebab ucapan dan kata-kata juga seorang laki-laki dan wanita yang haram berdua-duaan dibenarkan hidup sebumbung. Dengan ucapan dan kata-kata juga seseorang  boleh terkeluar dari Islam. Ucapan dan kata-kata juga boleh menyebabkan individu jatuh muflis di dunia dan di akhirat. Berapa ramai individu pada hari ini telah di saman gara-gara mengeluarkan ucapan dan  tuduhan fitnah. Seseorang akan dihisab oleh Allah kerana ucapannya. Manusia juga akan dihisab oleh Allah dengan sebab berdiam diri ketika keadaan yang memerlukan dia bercakap menyatakan kebenaran. Oleh itu bagi setiap Muslim sebelum dia mengeluarkan kata-kata hendaklah memikirkan terlebih dahulu kesan baik dan buruk dari ucapan tersebut. Perkara ini tidak boleh dipandang enteng dan remeh oleh orang Islam.
Rasulullah sentiasa mengingatkan umatnya agar memelihara percakapan supaya tidak mendatangkan musibah kepada yang mengucapkannya. Imam al-Tirmizi dalam Sunan nya telah menyebut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah.
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : من وقاه الله تعالى شر ما بين رجليه وشر لحييه دخل الجنة .
Sesiapa yang dipelihara oleh Allah dari keburukan anggota yang terletak antara dua tulang rahang (mulut)dan keburukan anggota yang terletak antara dua paha (kemaluan) akan masuk syurga.
Al-Nawawi dalam kitabnya “al-Azkar” pernah menyebut

اعلم أنه لكلّ مكلّف أن يحفظَ لسانَه عن جميع الكلام إلا كلاماً تظهرُ المصلحة فيه، ومتى استوى الكلامُ وتركُه في المصلحة، فالسنّة الإِمساك عنه، لأنه قد ينجرّ الكلام المباح إلى حرام أو مكروه، بل هذا كثير أو غالب في العادة، والسلامة لا يعدلُها شيء.

Ketahuilah bagi setiap mukalaf hendaklah memelihara lidah dari bercakap kecuali yang mendatangkan maslahah, apabila keburukan dan kebaikan setara sebaiknya elakkan dari berkata-kata , kerana kadang-kadang ucapan yang harus membawa kepada haram atau makruh, bahkan inilah yang banyak berlaku pada kebiasaannya, keselamatan tidak boleh dinilai dengan sesuatu.
Pada kali ini saya ingin bincangkan secara ringkas kaedah yang berbunyi السؤال معاد فى الجواب . Apakah yang dimaksudkan dengan kaedah ini. Terjemahan nya ialah “Soalan diulang dalam jawapan”. Kaedah ini diaplikasikan dalam Mazhab Hanafi, Shafie. Ibn Nujaim membincangkan kaedah ini pada kaedah yang ke 11. Manakala al-Suyuty membincangkan dalam bab kedua kaedah yang ke tujuh belas.
Maksud kaedah.
Pertanyaan yang dilontarkan kepada seseorang yang dijawab dengan jawapan “Ya” adalah dianggap mengulangi sebahagian daripada soalan tersebut bukan menjawab lain-lain persoalan. Kaedah ini boleh diaplikasikan dalam urusan berkaitan jual beli, pengakuan,  perceraian, hubungan dengan seseorang, hak pemilikan, pelepasan hak  dan sebagainya.
Sebagai contoh apabila seseorang bertanya “ kamu dah makan” apabila  di jawab  ya. Jawapan tersebut sebenarnya mengandungi maksud Ya saya dah makan. Apabila Ali bertanya kawannya Salman “ Kamu dah bercerai dengan isteri kamu”? Apabila Salman menjawab sepatah perkataan sahaja iaitu ” Ya”. Seolah-olah beliau menjawab ya saya menceraikan isteri saya.
Apabila Ali bertanya kawannya Latif “ Kamu dah kahwin” atau “ kamu dah ada isteri? Jawab Latif dengan tujuan bergurau, belum atau tidak. Sedangkan dia sudah beristeri. Adakah perkahwinan Latif dengan isterinya terputus? Jawabnya tidak terputus. Kerana ucapan tersebut merupakan kinayah atau simbolik yang memerlukan niat. Niat memutuskan perkahwinan tiada. Berbeza dengan pertanyaan “kamu dah ceraikan isteri kamu” jawabnya ya. Maka hubungan tersebut terputus kerana jawapan atau ucapan tersebut soreh dan jelas..
Pengecualian Kaedah
Apabila seorang wali mengucapkan perkataan ijab kepada pengantin laki-laki “ Saya nikahkan kamu dengan anak saya Fatimah dengan mas kahwin sebanyak 5 ribu. Pengantin hanya menjawab saya terima. Adakah sah perkahwinan tersebut, Jawapannya tidak sah. Kerana kaedah yang dibincangkan ini dikecualikan dalam bab akad perkahwinan. Maksudnya pengantin laki-laki wajib mengulangi semula sebahagian dari lafaz ijab yang disebutkan oleh wali. Apabila wali menyebut “saya nikahkan kamu dengan anak saya Fatimah . Pengantin wajib menjawab “ saya terima nikahnya”.
وصلى الله على محمد وعلى آله وصحبه وسلم .
Salam hormat
Wan Mohd Zul
Kota Jembal Kelantan 7 Mei 2015.

Rujukan
Al-Suyuty.
 Jalal al-Din Abd Rahman. (1983) Al-Asbah Wa al-Nazair : Beirut : Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.
Al-Zuhayly. Muhammad Mustafa.(2006). Al-Qawaid al-Fiqhiyyah Wa TatBiqautahu Fi al-Mazahib al-Arbah.Damsyik : Dar al-Fikr.
Ibn Nujaim. Al=Asbah Wa al-Nazair. Beirut : dar al-Kutub al-Ilmiyyah.
Al-Zarqa. Ahmad Ibn Muhammad.(1993)  Syarh al Qawaid al-Fiqhiyyah. Damsyik : Dar al-Qalam.
http://ar.islamway.net/fatwa/28480




.

No comments: