Saturday, 30 November 2013

Kaedah ألايثار فى القرب مكروه وفى غيرها محبوب


Pendahuluan

Dalam hidup bermasyarakat kita dituntut untuk membantu orang yang memerlukan pertolongan sama ada dalam bentuk ibadah atau material. Bahkan apabila disoroti kehidupan yang dilalui oleh Nabi Muhammad s.a.w dan para Sahabat baginda, kita dapati bagaimana akhlak yag terpuji ini menjadi sebahagian daripada amalan harian mereka.Turunnya ayat 59 surah al-Hasry menjadi bukti bagaimana sifat mengtamakan orang lain dalam kehidupan Sahabat :

ويؤثرون على أنفسهم ولو كان بهم خصاصة

Walaupun demikian dalam beberapa situasi  kita dituntut untuk mengutamakan ke atas diri sendiri terlebih dahulu sebelum memberi peluang kepada orang lain melakukannya. Inilah yang akan dibincangkan dalam kaedah kali ini iaitu ;

Kaedahnya berbunyi ;

ألايثار فى القرب مكروه وفى غيرها محبوب

Maksudnya : Mengutamakan orang lain dalam perkara ibadah hukumnya makruh, manakala dalam perkara bukan ibadah digalakkan.

Izz Ibn Abd al Sallam yang terkenal dengan gelaran “Sultan Ulama” dalam kitabnya Qawaid al-Ahkam Fi Masalih al-Anam berkata tidak boleh mendahulukan orang lain dalam perkara ibadah kerana tujuan ibadah ialah mengagungkan Allah. Oleh itu sesiapa yang mengutamakan orang lain maka dia telah meninggalkan tuntutan ini.

Imam al-Nawwi berkata mengutamakan orang lain dalam perkara ibadah hukumnya makruh, tetapi mengutamakan orang lain dalam keperluan hidup adalah disunatkan. Contohnya seseorang yang hanya mempunyai makanan, minuman  yang sedikit cukup untuk dirinya sahaja tetapi apabila datang orang yang lebih berhajat maka disunatkan memberinya makanan tersebut. Begitu juga disunatkan mengutamakan orang lain dalam bab menerima sedekah, biasiswa dan seumpamanya Maksudnya tidak mengambil sedekah, biasiswa walaupun layak kerana memberi peluang kepada mereka yang lebih layak menerimanya.

Dalam Kitab al-Mawahib al-Saniyyah pengarangnya menyebut sekiranya mengutamakan orang lain menyebabkan berlalunya perkara wajib maka hukumnya haram, sekiranya menyebabkan berlaku perkara  makruh maka hukumnya makruh. 

Beberapa Contoh Aplikasi Dari Kaedah Ini

1.Sering berlaku di Masjid atau Surau dalam masyarakat kita apabila saf pertama kosong masing-masing jemaah yang berada di saf kedua enggan naik kesaf pertama. Masing-masing nak tunjuk baik kononnya memberi peluang orang lain naik sedangkan saf kosong berada betul-betul dihadapannya. Dalam soal ini makruh kita memberi peluang kepada orang lain untuk berada di saf hadapan yang pahalanya adalah terlalu besar. Antara beberapa hadis yang menyebut kelebihan berada di saf pertama :

1.  Seandainya manusia mengetahui keutamaan yang ada dalam saf pertama, nescaya mereka akan mengundi untuk mendapatkannya. ( Sahih Bukhari Bil 721).

2.Daripada Abu Hurairah : Sebaik-baik saf orang lelaki ialah yang pertamanya dan yang paling buruk ialah yang terakhir, dan saf wanita yang terbaik ialah yang terakhirnya dan yang paling buruk ialah yang paling hadapan.( Sunan Abu Dawud Hadi Bil 678)

2 Begitu juga makruh hukumnya mengutamakan orang lain untuk berwuduk lebih-lebih lagi apabila air hanya cukup untuk seorang sahaja.

3. Makruh sebahagian ulama menganggap haram memberi pakaian kepada seseorang untuk menutup aurat sedangkan aurat kita terbuka kerana ketiadaan pakaian.

Pengecualian

Seorang makmum yang sembahyang bersendirian disaf kedua, maka bagi jemaah yang berada disaf pertama disunatkan kebelakang untuk berada bersama dalam saf kedua. 

Rujukan

Al-Quran

Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari

Al-Asbah Wa al-Nazair Jalal alDin Abdul Rahman Al Suyuti Dar al-Kutub al-Ilmiyyah Beirut Cet 1983.

Al-Qawaid AlFiqhiyyah Wa Tatbiqatuha Fi al-Mazahib al-Arba’ah Muahmmad al-Zuhaili.Dar al-Fikr Beirut Cet 2009.

Qawaid al-Ahkam Fi Masalih al-Anam. Abi Muhammad Izzuddin Abdul Aziz IbnAbdul al-Salam.Dar al-Kutub al-Ilmiyyah Beirut.

Mawahib al-Saniyyah Syarh al-Faraid al-bahiyyah Nuzum al-Qawaid al-Fiqhiyyah Abdullah Sulayman al-Jarhazi Dar alFikr.

 

Salam Hormat

 

Ustaz Wan Mohd Zul

Kota Jembal Kelantan

30/11/2013

No comments: