Thursday 23 April 2020

Aplikasi Beberapa Kaedah Fiqah Dalam Isu COVID 19


Aplikasi beberapa kaedah fiqah dalam isu covid 19

Pendahuluan

Fiqah Islam yang  bersifat murunah serta  mampu menyelesaikan apa sahaja isu dan permasalahan yang menimpa manusia pada setiap masa dan tempat. Dalam menggambarkan kelebihan fiqah Islam Syeikh Zahid A-lkausari berkata diantara tanda mukjizat nabi Muhammad s.a.w ialah walaupun dengan dasar-dasar ilmu fiqah yang    terhad namun ia dapat menghasilkan dan menyelesaikan isu yang tidak terhad.

Inilah antara beberapa kelebihan yang dapat diperhatikan ada  pada kaedah-kaedah fiqah.
kaedah fiqah sebagaimana yang ditakrifkan oleh ulama
الأمر الكليي الذي ينطبق عليه جميع الحزءبات . 

Kaedah fiqah boleh diaplikasikan dalam apa isu yang berbangkit pada setiap masa ,zaman dan tempat. Antara permasalahan yang boleh diaplikasikan dari beberapa kaedah fiqah ialah isu covid 19 yang sedang melanda dunia pada masa kini.

Dalam tulisan yang ringkas ini penulis berhasrat  membincangkan beberapa kaedah fiqah dan aplikasinya  dengan isu yang berkaitan Covid. Semoga ianya dapat menambah sedikit ilmu dan kefahaman tentang peranan kaedah fiqah dalam kehidupan.

Kaedah pertama
الضرر يزال
Maksud kaedah
Mudarat hendaklah dihilangkan.

Covid 19 yang bermula di Wuhan China pada dis19 merupakan penyakit yang membawa mudarat yang besar kepada manusia di seluruh dunia. Dalam masa yang singkat sahaja Virus ini telah menjangkiti jutaan manusia serta puluhan ribu lagi  telah meninggal dunia. Virus ini juga telah menghentikan aktiviti ekonomi hampir seluruh dunia. Sehingga kini belum ada vaksin atau penawar yang mampu menghalang penyebaran virus ini serta belum ada ubat yang dapat  menyembuhkan mangsa.

Sehubungan dengan itu sesuai dengan kaedah di atas para saintis , pakar perubatan dan semua pihak  hendaklah mengembleng tenaga untuk menghilangkan mudarat ini secepat mungkin.

Kaedah kedua
الضرر لا يزال بالضرر
Maksud kaedah secara umum
Mudarat tidak boleh dihilangkan dengan mudarat

Sebagaimana diketahui bahawa covid 19 mendatangkan mudarat dan bahaya kepada manusia. Walaupun demikian untuk menghilangkan mudarat yang berlaku pemerintah  tidak boleh melakukan suatu  tindakan yang mendatangkan mudarat dan bahaya dalam bentuk yang lain kepada manusia. Tidak ada gunanya bahaya covid terlepas tetapi bahaya bentuk lain menggantikan tempat covid 19.

Di Antara tindakan yang tidak boleh dilakukan oleh pemerintah walaupun untuk mengekang penyebaran penyakit antaranya ialah menghalang orang ramai mendapatkan bekalan makanan ,minuman dan keperluan asas semata mata mengelak penularan covid .Sekiranya pemerintah menyediakan alternatif seperti menyampaikan bantuan atau menyediakan petugas khas membeli keperluan seperti yang dilaksanakan oleh kerajaan Turki yang menghalang warga yang berusia 65 tahun ke atas keluar membeli keperluan namun menyediakan petugas membantu mendapatkan makanan maka ianya dibolehkan.

Pemerintah juga tidak boleh menembak orang ramai yang tidak mengikut arahan PKP sebagaimana arahan yang di keluarkan oleh kerajaan Filipina  

Kaedah ketiga
لا ضرر ولا ضرارا

Maksud umum kaedah
Jangan mudarat kan diri dan jangan memudaratkan pihak lain

Sebagaimana yang dimaklumi virus covid 19 mudah merebak dan menjangkiti orang lain. Oleh itu seseorang wajib menjaga diri dari terkena penyakit ini.Apa sahaja yang boleh menghalang penyakit ini hendaklah dilakukan. Apa sahaja yang boleh menyebabkan terjadinya wabak ini hendaklah dielakkan. Oleh itu dilarang melakukan suatu tindakan yang boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri antaranya menghadiri tempat yang boleh menyebabkan berlakunya jangkitan seperti tempat berkumpulnya  ramai orang.

Seseorang yang mempunyai gejala penyakit ini wajib mendapatkan rawatan dan melakukan kuarantin supaya tidak menyebarkan kepada keluarga rakan atau orang ramai dijangkiti.

Kaedah kempat
دفع المقاعد مقدم على جلب المصالح
Maksud kaedah secara umum
Mengelakkan kerosakan hendaklah didahulukan berbanding menarik maslahah.

Kaedah ini boleh diaplikasikan dalam beberapa situasi berikut

1.Tidak membenarkan solat dilakukan secara berjemaah sama ada di surau, atau masjid untuk mengelakkan penyebaran wabak adalah bertepatan  dengan kaedah di atas.
Solat secara berjemaah merupakan suatu tuntutan agama..Pentingnya solat secara berjemaah di masjid hingga Rasulullah tidak meninggalkannya walaupun semasa keuzuran.Kerana besarnya maslahah duniawi dan ukhrawi. Sebahagian mazhab menghukumkanya dengan fardu kifayah. Namun dalam suasana penyebaran covid 19 melaksanakan solat secara berjemaah dengan bilangan yang ramai boleh mengundang mafsadah yang besar iaitu kematian

Oleh itu apabila bertembung dua situasi  maslahah dan mafsadah maka mengelakkan mafsadah hendaklah didahulukan berbanding menarik maslahah. Keputusan yang diambil oleh kerajaan dengan menangguhkan buat sementara pelaksanaan solat secara berjemaah  adalah sesuai dengan kaedah ini.

2.Menutup pusat pengajian sama ada peringkat rendah,menengah atau universiti juga selari dengan kaedah ini.

Menuntut ilmu sama ada ilmu fardu Ain atau kifayah adalah suatu perintah daripada agama yang dipanggil maslahah. Namun situasi terkini yang melanda negara boleh  menyebkan berlakunya mafsadah jika pusat pengajian dibuka iaitu penyebaran penyakit.

Oleh itu dalam situasi ini mengelakkan mafsadah hendaklah diutamakan iaitu dengan menutup sementara pusat -pusat pengajian berbanding menarik maslahah dengan membuka pusat pengajian

Kaedah kelima

الدفع اولى من الرفع
Maksud kaedah
Mengelak lebih awla berbanding mengangkat (selepas terjadi)

Mengelak jangkitan covid lebih mudah berbanding merawat dan mengubatinya selepas dijangkiti.

1.Perintah kawalan pergerakan dan mengenakan hukuman kepada yang melanggar arahan adalah selari dengan kaedah di atas. Yang bertujuan untuk mengelak berlakunya jangkitan dan penyebaran. Bentuk ini lebih mudah dilakukan berbanding membiarkan orang ramai bergerak bebas  ke sana ke mari kemudian jika berlaku jangkitan melakukan rawatan.  Walaupun demikian dalam aspek pelaksanaan kawalan pergerakan pihak berkuasa tidak boleh memilih bulu dalam menguatkuasakan undang-undang


Kaedah keenam
إذا اجتمع ضرران  روعى اعظمهما ضررا  بارتكاب اخفهما
Maksud umum kaedah
Apabila berkumpul dua mudarat hendaklah diteliti manakah mudarat yang lebih besar untuk dilakukan mudarat yang lebih ringan.

Beberapa contoh yang boleh diaplikasi dibawah kaedah ini ialah

1.Menghalang pelaksanaan solat Jumaat merupakan suatu mudarat dan bahaya yang besar kepada agama dan penganutnya. Membenarkan solat Jumaat juga boleh membahayakan dan memudaratkan kepada orang yang menghadirinya. Oleh itu berdasarkan kepada kaedah di atas pemerintah hendaklah  melihat manakah mudarat yang lebih besar di anatra keduanya. Kemudian pemerintah hendaklah memilih untuk dilakukan perkara yang mendatangkan mudarat yang lebih ringan.

Menangguhkan Jumaat dan menangguhkan solat berjemaah di masjid  merupakan suatu mudarat kepada agama dan penganutnya begitu juga membenarkan Jumaat suatu bahaya kepada penganutnya. Namun jika Jumaat dan solat secara berjemaah dibenarkan dengan syarat tertentu mudaratnya lebih ringan berbanding tidak membenarkan sama sekali.

Antara syarat yang perlu dipatuhi sebelum kebenaran diberikan antaranya ;
1.Masa yang terhad iaitu azan ,khutbah dan solat Jumaat sahaja.
2.Khutbah yang singkat sahaja.
3..Mengehadkan bilangan yang menghadirinya bergantung kepada keluasan masjid dan hanya sekali bagi setiap orang .
4.. Jarak yang disyorkan oleh pakar perubatan dengan memakai mask.
5..Tidak melakukan ibadah sunat semasa berada dalam masjid seperti solat tahiyyatul masjid,bersalaman dan sebagainya.mengelakkan bahaya dan mudarat yang besar

Semoga tulisan yang ringkas ini dapat mendatangkan manfaat kepada kita bersama.

Wan Mohd Zul Bin Wan Yusuf
Kota Jembal Kota Bharu Kel
18 April 2020

Rujukan
1.Al-asbah Wan Alnazair.
2.Al-Majmuk Syarah al-Muhazzab
3. Al-Qawaid



No comments:

الفضيلة المتعلقة بنفس العبادة اولى من المتعلقة بمكانها Kelebihan Yang Berkait dengan Ibadah Secara Langsung Lebih Awla Berbanding Yang Berkait Dengan Tempat Pelaksanaan Ibadah

  1.0 Pendahuluan Pelaksanaan ibadah tidak terlepas dari dua keadaan iaitu masa atau tempat atau kedua-duanya. Solat maghrib tidak boleh dil...