Sunday, 28 May 2017

Kaedah لا يُنكَرُ المختَلَفُ فيه، وإنما يُنكَر المُجْمَعُ عليه


لا يُنكَرُ المختَلَفُ فيه، وإنما يُنكَر المُجْمَعُ عليه

1.0 Pendahuluan
Dewasa kini isu-isu persoalan khilafiyyah terus diperbesarkan oleh sesetengan pendakwah. Persoalan zikir secara berjemaah, tahlil, sambutan maulidur Rasul, Isra’ Mikraj, qunut, berdoa secara berjemaah, dan banyak lagi isu. Golongan yang mengharuskan membawa dalil dan hujjah mereka. Begitu juga dengan golongan yang menentang juga membawa dalil. Apakah selama-lamanya isu seumpama ini harus diperbesarkan setiap kali tibanya musim isu. Bagaimana seharusnya kita menangani isu yang boleh menjejaskan kesatuan ummah dalam menghadapi isu yang lebih besar dan isu yang disepakati hukumnya dikalangan ulama seperti pengharaman arak, judi,riba dan sebagainya. Dalam penulisan ringkas ini penulis ingin kongsikan bagaimana pendekatan kaedah fiqah mampu menangani isu yang boleh merengangkan hubungan sesama muslim.

2.0 Pengertian Khilaf dan Ikhtilaf

Perkataan ikhtilaf dan khilaf berasal dari kata dasar yang sama. Namun sebahagian ulama membezakan antara keduanya. Perkataan Ikhtilaf digunakan untuk isu atau persoalan yang mempunyai sandaran serta dalil yang diktiraf oleh Syarak. Adapun perkataan khilaf digunakan untuk persoalan yang tidak disandarkan kepada dalil atau penyandaran kepada dalil yang tidak diakui. Manakala sebahagian ulama mengatakan ikhtilaf ialah jalan yang berbeza tetapi matlamat yang ingin dicapai adalah sama. Adapun khlif matlamat dan jalan yang dilalui adalah berbeza.

Imam Ibn Battah al-Ubkari al-Hambali dalam Kitabnya al-Ibanah berkata perbezaan pendapat Ulama terbahagi kepada dua bahagaian. Pertama perbezaan pandangan yang diakui dan serta diterima. Perbezaan ini turut disebutkan oleh al-Quran dan berlaku dalam al-Sunnah. Perbezaan yang dimaksudkan di sini ialah perbezaan dalam perkara furu’ yang bersumberkan ijtihad para Ulama. Kedua perbezaan dan perselisihan yang ditolak dan dibenci oleh agama. Iaitu perbezaan dalam perkara Usul dan aqidah.

3.0 Dalil

Banyak dalil daripada al-Quran , Al-Sunnah dan juga logik yang mengharuskan berlakunya perbezaan dalam perkara furuk.
﴿وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ النَّاسَ أُمَّةً وَاحِدَةً وَلَا يَزَالُونَ مُخْتَلِفِينَ ۞ إِلَّا مَنْ رَحِمَ رَبُّكَ وَلِذَلِكَ خَلَقَهُمْ﴾

4.0 Perselisihan Di Kalangan Sahabat

Perselisihan pandangan dalam isu furu’ bukanlah suatu yang janggal dan pelik. Kita dapati para Sahabat berselisih pendapat dalam banyak isu. Walaupun demikian mereka tidak mencela antara satu sama lain bahkan meraikan pandnagan yang berbeza.
Dalam Sahih Bukhari disebutkan ;. Setelah pulang dari peperangan Ahzab, Allah telah mewahyukan kepada Rasulullah untuk memerangi kaum Yahudi Bani quraizah yang sangat memusuhi Rasulullah dan agama Islam. Rasulullah bersabda kepada para Sahabat ;
-: ((لا يُصلِّين أحدٌ العصر إلا في بني قُريظة))
Yang bermaksud; Jangan kalian solat Asar melainkan di perkampungan Bani quraizah.
Dalam memahami arahan Rasulullah ini, terdapat dua kelompok sahabat yang berbeza dalam ijtihad mereka. Pertama sahabat yang berijtihad dengan mentakkhirkan solat solat asar ( setelah habisnya waktu asar) sehingga tiba di perkampungan Bani quraizah. Kelompok kedua Sahabat yang berijtihad perlu menunaikan solat Asar ( dalam waktu asar) dalam perjalanan ke perkampungan Bani Quraizah. Apabila hal ini diadukan kepada Baginda, Rasulullah tidak mencela salah satu dari dua kelompok tersebut.
Allahuakbar mereka berselisih pendapat dalam keadaan Rasulullah masih berada di samping mereka. Para Sahabat tidak mencari melainkan kebenaran, dan mereka tidak berusaha mencari melainkan jalan( Ijtihad) ke arah kebenaran. Inbilah jalan yang dilalui oleh para ulama Mujtihidin dalam memahami nas-nas Syarak.

Dalam Sunan Abu Dawud daripada Abi Said al-Khudri ;
خرج رجلان فى سفر , فحضرة الصلاة وليس معهما مأ, فتيمما صعيدا طيبا فصليا , ثم وجد الماء فى الوقت , فأعاد أحدهما الوضوء والصلاة , ولم يعد الآخر , ثم أتيا رسول الله فذكر ذلك له , فقال للذى لم يعد " أصبن السنة وأجزأتك صلاتك " وقال للذى توضأ وأعاد " لك الاجر مرتين "
Terjemahan : Dua lelak telah keluar bermusafir, ketika masuknya waktu solat mereka tidak memiliki air, maka keduanya bertayamum dengan tanah yang bersih, selepas itu mereka mendapati air, salah seorang dari keduanya berwuduk dan mengulangi solat, sedangkan seorang lagi tidak. Kemudian keduanya mendatagi Rasulullah dan menveritakan apa yang dilakukan. Maka Rasulullah berkata kepada lelaki yang tidak mengulangi solat “perbuatan kamu telah menepati sunnah dan solat kamu telah memadai(sah). Adapun kepada lelaki yang berwuduk dan mengulangi solat “bagi kamu dua ganjaran”.
Daripada hadis di atas dapat difahami bahawa Rasulullah membenarkan Ijtihad yang dilakukan oleh kedua Sahabat baginda sekalipun hasil ijtihad mereka adalah berbeza.

Oleh kerana penting isu ikhtilaf ini mendorong para ulama membahaskan topik ini dari pelbagai aspek. Antaranya “Dhawabit Khilaf yang muktabar, Sebab-Sebab Khilaf di kalangan Ulama dan lain-lain. Sebahagia ulama menyenaraikan sebab-sebab perselisihan dari enam, lapan dan ada juga yang menyebut sebab perselisihan 16 sebab.

5. Pembahagian Ikhtilaf

Ia boleh dibahagiakan kepada beberapa bahagian antaranya;
5.1 Perbezaan tentang sesuatu sama ada Mustahab atau Ghairu Mustahab.
Contoh : Selawat kepada Rasulullah semasa Tasahhud awal Mustahab bagi Shafieyyah. Abu Hanifah, Malik dan Ahmad Tidak Mustahab..
5.2 Perbezaan tentang sesuatu sama ada wajib, Jaiz , haram.
Contoh : Mempelajari ilmu sihir.
5.3 Perbezaan tentang sesuatu sama ada harus atau tidak.
Mengambil semula sesuatu yang diberikan oleh seorang bapa kepada anaknya.
5.4 Perbezaan sama ada bersih atau najis.
Contoh. Air mani bersih bagi Mazhab Shafie dan Hambali. Manakala Hanafi dan Maliki najis.

6.0 Maksud Kaedah

لا يُنكَرُ المختَلَفُ فيه، وإنما يُنكَر المُجْمَعُ عليه
Tidak harus mengingkari perkara yang termasuk dalam perkara khilaf tetapi hendaklah mengingkari perkara yang disepakati. Maksudnya kita tidak harus menghalang atau menegah seseorang untuk beramal dengan pandangannya yang berbeza dengan amalan atau pegangan yang kita fahami. Kita seharusnya mengingkari serta menegah seseorang yang ingin melakukan perkara yang disepakati haramnya dikalangan Ulama.

Umar Ibn Abdul Aziz pernah berkata “ aku tidak gembira sekiaranya para Sahabat tidak berselisih pendapat, kerana sekiranya hanya ada satu pendapat sahaja nescaya manusia akan merasai kesempitan, sesungguhnya mereka Imam-Imam yang diikuti oleh Umat.”
Yunus al-Sadfi berkata “ Aku tidak jumpa dengan orang yang lebih cerdik daripada Imam Shafie. Aku berdebat dengannya suatu hari tentang suatu isu,kemudian kami berpisah, selepas beberapa waktu dia berjumpa denganKu lantas dipegangnya tanganku dan berkata ‘ Wahai Aba Musa Jangan sesekali kita putus persaudaraan sekalipun kita tidak sependapat dalam suatu perkara”.
Ibn Taimiyyah menukilkan kata-kata Imam Ahmad kepada seorang lelaki yang mengarang sebuah kitab yang dinamakan “ Al-Ikhtilaf” lalu Imam Ahmad berkata kepadanya jangan engkau namakannya dengan Ikhtilaf tetapi namaknnya dengan “ Kitab Sunnah atau Al –Saah iaitu Keluasan”

Dalam kitab al-Faqih Wa al-Mutafaqih dinukilkan kata-kata Sufian al-Sawri “ Apabila kamu meilhat seorang lelaki melakukan suatu amalan yang termasuk dalam amalan khilaf sedangakan kamu berpandangan lain, maka jangan kamu mencelanya.
Izz Ibn Abd Al-Sallam dalam kitabnya Qawaid al-Ahkam Fi Masolih al-Anam berkata “Kita seharusnya mengingkari perkara yang diIjmakkan wajib atau haram.

Ibn Muflih Al-Hambali dalam Al-Adab Al Syariyyah menukilkan kata-kata Ibn Qudamah al-Maqdisi “ Tidak harus bagi seseorang mengingkari ke atas seseorang yang melakukan suatu perbuatan berdasarkan mazhabnya kerana tidak harus mnengingkari ke atas perkara yang dijtihadkan.

Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim berkata “ Para Ulama sesungguhnya mereka akan mengingkari perkara yang di Ijmakkan, adapun perkara khilaf mereka tidak akan mengingkatrinya kerana setiap Mujtahid adalah betul apa yang diijtihadkan. Ini adalah pandangan kebanyakan Ulama. Qatadah berkata “ sesiapa yang tidak mengetahui perkara khilaf dia tidak mencium bau fiqah dengan hidungnya”. Said Ibn Abi Arubah berkata “ Sesiapa yang tidak mendengar perkara yang dikhilafkan ia tidak dianggap seorang yang alim”.

Beberapa ucapan yang dinukilkan di atas menunjukkan bahawa perbezaan pendapat diakui oleh para Ulama sejak dahulu. Bahkan lahirnya kata-kata Ulama berdasarkan situasi di atas iaitu “ Ijmak Ulama merupakan hujjah yang pasti dan perselisihan mereka merupakan suatu rahmat yang luas”.

7.0 Maksud Perkara Khilaf

Nas Syarak tidak pernah berlaku pertembungan antara satu sama lain. Kerana ia datang dari sumber yang satu. Lantas bagaimana boleh berlaku khilaf dikalangan Ulama. Berlakunya khilaf disebabkan berbezanya kemampuan serta berbezanya pendekatan Ulama dalam memahami maksud dan kehendak Syarak dalam nas.
Oleh itu perkara khilaf bukan terhad kepada isu yang tidak mempunyai dalil sama sekali bahkan perkara khilaf juga berlaku bagi persoalan yang mempunyai dalil tetapi dalalhnya tersembunyi bagi para Mujtahid. Walaupun demikian harus mengingkari perkara khlifa apabila pandnagan yang tidak disandarkan kepada dalil.
Oleh itu kita dapati para ulama silam tidak pernah memperlekehkan dan merendahkan pandangan yang diutarakan oleh ulama lain. Perbezaan pandanagan bukan suatu halangan bagi mereka berkasih sayang antara satu sama lain..Tidak sebagaimana yang berlaku pada hari ini. Sehingga saling mencela benci membenci antara satu sama lain.

8.0 Kedudukan Kaedah
Imam al-Suyuty dalam al-Asbah Wa al-Nazair berkata Kaedah ini disepkati dan diaplikasikan oleh keempat Mazhab yang utama dalam Islam.

9.0 Penutup
Menerima dan berlapang dada dalam perkara khliaf merupakan amalan para Ulama. Oleh itu apabila kita berlapang dada dalam isu yang tiada dalil qatie maka sikap merendahkan pandangan ulama lain tidak akan berlaku. Maka tidak seharusnya timbul kenyataan dalam perkara khilafiyyah “pendapat yang paling sahih dalam masalah ini ialah pandangan “Ini”. Rasulullah sendiri tidak mengatakan pendapat golongan ini betul manakala satu lagi adalah salah.
والله أعلم بالصواب

Wan Mohd Zul Wan Yusuf
1 Ramadhan 1438/ 27 Mei 2017
Kuala Lipis Pahang.

Rujukan
1. Al-Asbah Wa al-Nazair Al Suyuty.
2. Kaedah La Yun Kar al-Mukhtalafa Fih Hududuha Wa Dhawabituha. Abu Abdul Rahman Id Bin Abi Suud al-Kayyal.
3. Syarh Sahih Muslim 2/23
4. Al-Qawaid al-Fiqhiyyah Muhammad al-Zuhaily.
5. Asar al-Khilaf Al-Fiqhi Fi Alqawaid al-Mukhtalaf Fiha. Mahmud Ismail Muhammad Misaal. Dar al-Sallam.
6. Asar al-Iktilaf Fi al-Qawaid al-Usuliyyah Fi Ikhtilaf al-Fyqaha. Mustafa Said Khin. Muassah al-Risalah.

No comments:

Kaedah لا يُنكَرُ المختَلَفُ فيه، وإنما يُنكَر المُجْمَعُ عليه

لا يُنكَرُ المختَلَفُ فيه، وإنما يُنكَر المُجْمَعُ عليه 1.0 Pendahuluan Dewasa kini isu-isu persoalan khilafiyyah terus diperbesarkan o...