Wednesday 3 September 2014

Adakah Laki-Laki Wajib Beredah?


Pendahuluan

Pagi semalam seorang kawan menghantar mesej minta pandangan tentang satu kes yang berlaku di Sebuah Daerah di Pantai Timur. Kisahnya begini seorang laki laki yang baru kematian isteri lebih kurang sebulan setengah telah menjemput seorang qadhi untuk mengahwinkannya dengan adik kepada isterinya yang telah meninggal. Sebelum akad nikah dijalankan qadhi mengajukan soalan bila isteri kamu meninggal lelaki tersebut menjawab lebih kurang 6 minggu yang lepas. Lantas qadhi berkata kamu tidak boleh berkahwin dengan ipar kamu sebelum habis edah 4 bulan 10 hari. Persoalan yang timbul betulkah lelaki juga mempunyai edah seperti perempuan yang diceraikan atau kematian suami? Insyallah dalam perbincangan yang ringkas ini saya akan paparkan terlebih dahulu beberapa perkara berkaitan dengan edah sebelum saya memeparkan pandangan ulama berkaitan dengan edah laki-laki.

Pengertian Edah

Berasal dari kata dasar Adadun yang bermaksud bilangan atau hitungan. Seseorang perempuan yang berada dalam edah akan menghitung hari-hari yang mesti dilalui adakah boleh suaminya merujuk semula dirinya atau dibenarkan untuk berkahwin lain sama ada 3 kali suci, 3 bulan atau 4 bulan 10 hari.

Istilah

Tempoh yang mesti dilalui oleh seorang perempuan untuk mengetahui kesucian rahimnya dari benih suami terdahulu atau untuk menunaikan perintah Allah atau untuk berkabung atas kematian suaminya selepas kematian atau diceraikan.

Ayat Pertama Tentang Edah

Ubai Bin Kaab berkata ayat pertama yang turun berkaitan dengan edah ialah ayat 228 daripada surah al-Baqarah seterusnya ayat 4 surah al-Thalaak dan ayat 234 surah al-Baqarah.
228. al-Baqarah (dan isteri-isteri Yang diceraikan itu hendaklah menunggu Dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid). dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak Yang dijadikan oleh Allah Dalam kandungan rahim mereka, jika betul mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat. dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu Dalam masa idah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai. dan isteri-isteri itu mempunyai hak Yang sama seperti kewajipan Yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) Dengan cara Yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); Dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
4.al-Thalaak (  dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu Yang putus asa dari kedatangan haid, jika kamu menaruh syak (terhadap tempoh idah mereka) maka idahnya ialah tiga bulan; dan (demikian) juga idah perempuan-perempuan Yang tidak berhaid. dan perempuan-perempuan mengandung, tempoh idahnya ialah hingga mereka melahirkan anak Yang dikandungnya. dan (ingatlah), sesiapa Yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya Segala urusannya.

234. al-Baqarah ( dan orang-orang Yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari. kemudian apabila telah habis masa idahnya itu maka tidak ada salahnya bagi kamu mengenai apa Yang dilakukan mereka pada dirinya menurut cara Yang baik (yang diluluskan oleh Syarak). dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui Dengan mendalam akan apa jua Yang kamu lakukan.

Adapun Asma’ Binti Yazid adalah perempuan pertama yang beredah dalam sejarah Islam setelah diceraikan oleh suaminya.

Hikmah Edah

Setiap perkara yang disyariatkan dalam Islam mempunyai hikmah yang tertentu antara tujuan dan hukum edah ialah memelihara keturunan daripada bercampur dan yang lebih utama ialah menurut perintah Allah s.w.t atau lebih dikenali dengan al-Tabudd.

Edah Bagi Lelaki

Semua ulama berpendapat bahawa lelaki tidak diwajibkan edah sebagaimana edah perempuan dari segi hakikatnya. Walaupun demikian dari sudut majaz ( tidak boleh berkahwin sebelum sampai masa tertentu) lelaki juga mempunyai edah dalam beberapa keadaan. Sebagaimana haid dikaitkan  dengan wanita. maka apabila beberapa jenis binatang seperti kuda, anjing, arnab, kelawar  keluar darah pada setiap bulan, maka dari sudut majaznya dikatakan binatang tersebut juga mempunyai haid.

Imam al-Nawawi dalam kitabnya Raudhah al-Thalibin ketika membicarakan soal perkahwinan pernah menyebut;

ولو طلق امرأته طلاقا بائنا , فله نكاح أختها فى عدتها , وان كان رجعيا لم تحل أختها حتى تنقضى عدتها .

Maksudnya : sekiranya seorang lelaki menceraikan isterinya dengan talak Bain ( talak 3) dia boleh mengahwini saudara isterinya dalam masa edah isterinya, sekiranya diceraikan dengan talak rajie ( talak 1 atau 2) tidak halal baginya untuk mengahwini saudara isterinya sehingga berakhirnya edah.

Ibn Taimiyyah dalam Fatwanya (154/4) telah menukilkan pandangan seorang Tabien yang bernama Ubadiah al-Salmani dalam masalah ini katanya ;
قال : لَمْ يَتَّفِقْ أَصْحَابُ مُحَمَّدٍ صلى الله عليه وسلم عَلَى شَيْءٍ كَاتِّفَاقِهِمْ عَلَى أَنَّ الْخَامِسَةَ لا تُنْكَحُ فِي عِدَّةِ الرَّابِعَةِ , وَلَا تُنْكَحُ الْأُخْتُ فِي عِدَّةِ أُخْتِهَا" ا.هـ
Maksudnya : Sahabat nabi tidak sependapat dalam beberapa isu kecuali dalam isu ( mereka bersependapat)lelaki tidak boleh berkahwin semasa edah isteri keempat yang diceraikan dan tidak boleh berkahwin dengan saudara perempuan dalam edah saudaranya. 

Syeikh Adil ketika membuat tambahan dan ulasan terhadap penjelasan Imam al-Baghawi dalam kitab al-Tahzib Fi Fiqh al-Imam al-Shafie berkata “Sebagaimana diharamkan bagi seorang laki-laki menghimpunkan dua saudara, diharamkan juga baginya menghimpunkan isteri dengan ibu saudara isteri sebelah bapa atau sebelah ibu atau menghimpunkan isteri dengan anak saudaranya semasa perkahwinan masih berjalan, diharamkan juga semasa dalam edah sama ada edah rajie atau edah bain. Semasa edah rajie ia disepakati oleh ulama kerana hubungan perkahwinan masa wujud sehingga berakhirnya edah, adapun semasa edah bain ia tidak disepakati. Imam Shafie pernah menyebut apabila seorang laki-laki menceraikan isterinya dengan talak bain (talak 3) harus baginya mengahwini saudaranya sebelum berakhirnya edah kerana pemutus hubungan ( talak) telah ada dan tidak mungkin mewujudkan semula hubungan dengan merujuknya semula.

Dalam laman webfatwa.islam memaparkan soalan dan jawapan yang hampir sama dengan perbincangan ini  jawapannya ialah ;
فالرجل لا عدة عليه شرعاً ولا لغة، وقد تطلق عليه العدة مجازاً في بعض الحالات كطلاق زوجته ويريد الزواج ممن يحرم عليه جمعها معها كأختها أو عمتها مثلاً، أو كان لديه أربع نسوة وطلق إحداهن فيحرم عليه الزواج حتى تنقضي عدة زوجته المطلقة. والمقصود بالطلاق في الحالتين الرجعي اتفاقاً والبائن عند الجمهور، كما تقدم بيان ذلك في الفتوى رقم: 8096.

أما في حالة وفاة زوجته فله الزواج فوراً بأختها أو ممن يحرم جمعها معها لانقطاع الصلة بالموت.

والله أعلم.

Maksudnya : Lelaki tidak mempunyai edah dari sudut syarak atau bahasa, adapun dinamakan dengan edah atas dasar majaz dalam beberapa keadaan antaranya seorang laki-laki yang menceraikan isterinya dan ingin berkahwin dengan perempuan yang diharamkan baginya menghimpunkan seperti saudara isterinya, ibu saudara isterinya, begitu juga laki-laki yang mempunyai empat isteri dan dia menceraikan seorang dari mereka maka, haram baginya berkahwin sehingga habis edah isteri yang diceraikan. Yang dimaksudkan dengan talak dalam dua keadaan yang disebutkan ialah talak rajie secara sepakat dan juga talak bain bagi pendapat jumhur sebagaimana yang telah dijelaskan dalam fatwa bilangan 8096. Adapun ketika kes kematian isteri, suami boleh berkahwin pada masa itu juga dengan saudara isterinya atau dengan perempuan yang diharamkan menghimpunkan kerana telah putus hubungan dengan berlaku kematian.

Kesimpulan
Berdasarkan apa yang dijelaskan oleh Imam al-Shafie dan juga Imam al-Nawawi dan lain-lain ulama halal dan sah sekiranya seorang laki-laki ingin berkahwin dengan adik iparnya setelah kematian isterinya tanpa perlu menunggu berakhirnya edah, kerana hubungan antara suami dengan isterinya telah berakhir dengan kematian. Tidak ada alasan untuk mewajibkan lelaki menunggu sehingga 4 bulan 10 hari  baru dibenarkan berkahwin. Hanya dua situasi sahaja tidak dibenarkan berkahwin iaitu ketika suami menceraikan isteri dengan talak rajie dan( juga bain bagi sebahagian ulama kerana dibimbangi berlaku percampuran nasab ) serta ingin berkahwin dengan saudara isterinya atau yang setaraf sebelum habis edah dan kedua suami yang mempunyai 4 isteri diceraikan salah seorang dan ingin berkahwin lain sebelum habis edah isterinya.     والله أعلم         

Rujukan

Al-Quran.

Al-Nawawi. (1992) Abi Zakaria Yahya Bin Syaraf. Raudhah al-Thalibin.Beirut : Dar al-Kutub al-Ilmiyyah. 

Al-Baghawi.(1997) Abi Muhhamad Husain Ibn Masu’d Ibn Muhammad. Al-Tahzib Fi Fiqh al-Imam al-Shafie . Beirut : Dar al-Kutub al-Ilmiyyah. 

Al-Bakri.(1991) Badral-Din Muhammad Ibn Abi Bakr. Al-I’tina’  Fi al-Farq Wa al-Istisna’. Beirut : Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.

Al-Mawardi. (1994) Abi al-Hasan Ali Ibn Muhammad Ibn Habib. Al-Hawi al-Kabir.Beirut : Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.,Jil 9.
Salam hormat
Ustaz Wan Mohd Zul

Kota Jembal Kelantan

4/9/2014

No comments:

الفضيلة المتعلقة بنفس العبادة اولى من المتعلقة بمكانها Kelebihan Yang Berkait dengan Ibadah Secara Langsung Lebih Awla Berbanding Yang Berkait Dengan Tempat Pelaksanaan Ibadah

  1.0 Pendahuluan Pelaksanaan ibadah tidak terlepas dari dua keadaan iaitu masa atau tempat atau kedua-duanya. Solat maghrib tidak boleh dil...