Sunday 20 April 2014

Kaedah Usul Fiqh : al-Karahah Tazulu Bi Al-Hajah


Pendahuluan

Ilmu kaedah fiqh suatu ilmu yang tidak asing lagi bagi pelajar bidang Syariah dipusat-pusat pengajian tinggi awam atau swasta ataupun pelajar aliran pondok. Bahkan pada hari ini ilmu ini semakin berkembang dengan baik apabila ianya turut didedahkan kepada pelajar dalam pelbagai aliran termasuk teknikal, perbankan kejuruteraan dan sebagainya. Ilmu ini adalah sebahagian daripada ilmu fiqh yang bertujuan untuk memudahkan para ulama mencari jawapan disebalik soalan dalam pelbagai bidang kehidupan manusia. Persoalan dijawab berdasarkan kaedah-kaedah tertentu yang dibentuk dari lafaz atau makna al-quran atau hadis-hadis nabawi.

Adapun Ilmu yang menjadi asas kepada ilmu fiqh ialah ilmu usul fiqh. Sebagaimana dengan ilmu fiqh, ilmu usul fiqh juga mempunyai beberapa kaedah tertentu  yang dikenali dengan kaedah usul fiqh. Para pelajar yang mengambil jurusan Syariah biasanya akan didedahkan dengan beberapa kaedah usul yang mashyur ketika mengambil subjek usul Fiqh. Antara kaedah usul fiqh yang mashyur ialah “ al-amr li al-Wujub, “al-Nahyu Li Tahrim” “Ma la Yattimmu al-wajib Fa Huwa Wajib” dan beberapa kaedah yang lain.

Dalam penulisan kali ini saya cuba berkongsi ilmu kaedah usul fiqh yang telah  dibincangkan oleh para ulama silam dalam kitab usul fiqh dan juga kitab kaedah fiqh penulisan ulama kontemporari. Kaedah pertama yang dipilih ialah “ al-karahah Tazulu bi al-hajah”

الكراهة تزول بالحاجة

Pengertian Makruh

Sebelum saya membincangkan kaedah yang disebutkan di atas rasanya elok saya menyentuh sedikit perbahasan berkaitan makruh.

Makruh menurut bahasa; Lawan bagi perkara yang disukai.

Al-Baidhawi ketika memberi pengertian makruh :

والمكروه ما يمدح تاركه ولا يذم فاعله .

Maksudnya : Perkara makruh ialah sesuatu yang dipuji orang yang meninggalkannya dan tidak dicela orang yang melakukannya.

Hukum Makruh

Dalam hal ini terdapat tiga pandangan ulama tentang hukum makruh ;

1.       Perbuatan makruh termasuk dalam perkara haram yang kecil( dosa-dosa kecil)pandangan ini dipegang oleh kebanyakan ulama silam.

2.       Perbuatan makruh atau perkara makruh merupakan satu cara untuk membezakan antara orang mukmin yang kuat dengan orang mukmin yang lemah. Yang kuat imannya akan meninggalkan perkara makruh lantas mereka diberikan pahala, manakala yang lemah imannya  akan melakukannya walaupun tidak diberikan apa-apa dosa.

3.       Melakukan perkara  makruh tidak ada dikenakan apa-apa balasan sama ada pahala atau pun dosa. Sedangkan meninggalkannya akan diberikan pahala. Pandangan ini dipegang oleh kebanyakan ulama pada masa sekarang.

Perbezaan Antara Haram Dengan Makruh

Dari satu sudut antara perkara haram dengan makruh mempunyai persamaan. Persamaan yang dimaksudkan di sini ialah perkara haram dan makruh dituntut untuk kita meninggalkannya. Perbezaan antara keduanya pula ialah dari sudut  tuntutan meninggalkannya serta ancaman  ke atas pelakunya. Perkara makruh tidak disertai tuntutan meninggalkannyan secara tegas serta tidak disertai dengan ancaman. Sedangkan perkara haram tuntutan meninggalkannya dating dengan tuntutan yang tegas serta   disertai dengan ancaman seperti azab yang pedih, dosa ke atas pelakunya.

Mengenali Lafaz Makruh

Para ulama usul telah menyenaraikan beberapa kaedah umum dalam memahami lafaz larangan dengan maksud makruh berdasarkan beberapa kriteria berikut ;

1.Kalimah tersebut telah menunjukkan maksud makruh. Seperti sabda Rasulullah s.a.w :

ان الله يكره لكم قيل وقال وكثرة السؤال واضاعة المال .

Walaupun demikian tidak semua lafaz yang datang dengan perkataan “ kariha, yakrahu”  membawa maksud makruh, tetapi kadang-kadang ianya membawa maksud haram.

2. Lafaz yang datang membawa maksud larangan tetapi adanya sesuatu petunjuk  telah menukarkan daripada haram kepada makruh.

Contoh ayat dalam surah al-Maidah ayat 101;

ياأيها الذين آمنوا لا تسئلوا عن أشياء ان تبدلكم تسؤكم .

Dalam ayat di atas terdapat satu petunjuk yang menukarkan daripada haram kepada makruh. Petunjuk yang menukarkan hukum tersebut terdapat dalam ayat yang seterusnya di bawah.

 

وان تسئلوا عنها حين ينزل القرآن تبدلكم عفا الله عنها والله غفور حليم .
 
Perbincangan Lafaz Makruh Di Kalangan Ulama  

Imam al-Ghazali dalam kitabnya al-Mustasa fi Usul al Fiqh halaman 53 berkata ;

وأما المكروه فهو لفظ مشترك فى عرف الفقهاء بين معانى .

Antara makna makruh yang digunakan oleh fuqaha ialah

1.Ditegah atau haram. Imam Shafie banyak menggunakan lafaz makruh seperti katanya (    wa akrahu kaza             وأكره كذا) tetapi yang dimaksudnya ialah haram. Begitu juga dengan al-quran dan hadis kadang-kadang  menggunakan perkataan makruh tetapi yang dikehendaki dengannya ialah haram.

Contoh :

Seperti Firman Allah s.w.t :
 

( كل ذلك كان سيِّئه عند ربك مكروها)

Makruha dalam ayat di atas bermaksud haram., Ism al Isyarat zalika merujuk kepada beberapa dosa besar seprti membunuh, berzina dan lain-lain.

Dalam surah al-Hujurat :
 

: ( وكرّه إليكم الكفر والفسوق والعصيان)

                Contoh dari hadis antaranya hadis yang dikeluarkan oleh Imam Ahmad, Ibn Hibban :

                "إن الله يحب أن تؤتى رخصه كما يكره أن تؤتى معصيته"

2.Nahyu Tanzih atau Makruh Tanzih iaitu meninggalkannya lebih baik daripada melakukannya sekalipun dengan melakukan perbuatan yang dilarang tidak dikenakan pembalasan. Ulama Hanafi membahagikan hukum makruh kepada dua iaitu makruh tahrim dan makruh tanzih. Manakala jumhur hanya membahagikan kepada satu bahagian sahaja iaitu makruh. Oleh itu makruh tanzih termasuk dalam makruh mengikut pandangan jumhur.Perkara makruh banyak dibincangkan oleh ulama fiqh
 
Contoh perkara makruh  yang disebutkan dalam hadis Abu dawud  :

لا يخرج الرجلان بضربان الغا ئط كاشفين عن عوراتهما يتحدثان , فان الله يمقت على ذلك .

Bersembang ketika buang air kecil atau air besar kerana mendapat kemurkaan Allah. Abu Dawud meletakan tajuk hadis ini di bawah makruh bercakap ketika qadha hajat.

3.Meninggalkan perkara yang tidak sepatutnya ditinggalkan atau dengan istilah arab “ Tark Ma Huwa Awla “sekalipun ianya tidak ditegah. Seperti meninggalkan solat dhuha bukan kerana adanya larangan meninggalkan solat tersebut tetapi kerana pahala yang besar .

4. Sesuatu yang menjadi kesamaran hukum haram padanya.

Falsafah Makruh

Sebenarnya ini merupakan suatu bentuk ujian daripada Allah kepada hambanya agar menjauhi perkara yang tidak disukai oleh Allah dan Rasulnya.  Apabila seseorang hamba mampu mendidik dirinya meninggalkan perkara yang dilarang maka dia juga hendaklah berusaha mengelakkan diri dari perkara makruh.     

وان تسئلوا عنها حين ينزل القرآن تبدلكم عفا الله عنها والله غفور حليم .



Maksud Kaedah Usul Fiqh  Al-karahah Tazulu Bi al-Hajah

Perkara makruh tidak dihukumkan makruh,  apabila seseorang berhajat melakukannya. Sebagaimana dengan perkara haram  seperti makan bangkai, minum arak ketika tercekik dan ketiadaan minuman halal, mengucap kalimah yang kufur ketika dipaksa. Contoh yang disebutkan tersebut tidak dihukumkan haram melakukannya apabila dalam keadaan terpaksa atau darurat.

 
Contoh aplikasi

Setelah memahami beberapa perkara berkaitan makruh sekarang kita sama-sama melihat bagaimana aplikasi kaedah ini dalam kehidupan seharian kita.

1.       Kematian merupakan qada’ dan qadar Allah s.w.t yang datang menjemput dengan pelbagai cara tanpa isyarat dan makluman terlebih dahulu. Ia datang bila sampai masa yang ditetapkan tanpa terlewat atau terawal. Oleh itu  walaupun pada asalnya mendirikan solat selepas waktu asar dihukumkan makruh kerana menyamai ibadah penyembah matahari. Disebabkan mempunyai hajat maka tidak dianggap makruh melaksanakan pada masa tersebut.

 

2.       Bercakap semasa buang air adalah perubatan yang ditegah dalam Islam tetapi apabila seseorang berhajat untuk bercakap contohnya meminta bantuan ketika ketiadaan air maka tidak lagi makruh.  

 

3.       Sembahyang merupakan satu ibadah yang terpenting dalam Islam. Ianya mempunyai rukun, syarat, perkara sunat dilakukan dan makruh dilakukan. Antara perkara makruh ketika solat ialah memejamkam kedua mata. Walau bagaimana pun sekiranya dengan memejamkan mata ketika solat akan mendapat kekhusyukan maka hukum tiada lagi hukum tersebut.

 

4.       Mengelap air wuduk dimuka menggunakan tuala atau seumpamya setelah selesai berwuduk adalah makruh bagi sebahgian ulama. Alasannya ialah  boleh menghilangkan cahaya hasil dari wuduk dan juga menghilangkan barakah. Berdasarkan  kaedah tidak makruh sekiranya berhajat seperti berada dinegeri yang sejuk.

 

5.       Menceraikan perempuan ketika dalam keadaan haid hukumnya tetapi apabila berhajat tidak lagi mkruh seperti bagi kes tebus talak

 

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

Ustaz Wan Mohd Zul

Kota Jembal 21/4/2014

 

Rujukan

Al-Ghazali.  Abi Hamid Muhammad Bin Muhammad Bin Muhammad.(1993) Al-Mustafsa Fi al-Ilm al-Usul. Beirut. Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.

Al-Baidhawi. Minhaj al wusul Fi Ilm al-Usul. 1984. Beirut. Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.

Al-Shawkani.Muhammad Ibn ali Bin Muhammad.(1994) Irsyad al-Fuhul Ila Tahkik al-Haqq Min Al-Ilm al-Usul. Dar al Kutub al-Ilmiyyah.

Al wajiz Fi Usul Fiqh .(1993). Abdul Karim Zaidan. Dar alTauzi Wa Nasr Kaherah.

No comments:

الفضيلة المتعلقة بنفس العبادة اولى من المتعلقة بمكانها Kelebihan Yang Berkait dengan Ibadah Secara Langsung Lebih Awla Berbanding Yang Berkait Dengan Tempat Pelaksanaan Ibadah

  1.0 Pendahuluan Pelaksanaan ibadah tidak terlepas dari dua keadaan iaitu masa atau tempat atau kedua-duanya. Solat maghrib tidak boleh dil...