Saturday 21 July 2012

TOKOH ILMUAN ISLAM




PENGENALAN IMAM AL-NAWAWI



1. 1      Pengenalan



Al-Quran yang diturunkan oleh Allah (s. w. t) merupakan kitab hidayah dan panduan kepada seluruh umat manusia. Pelbagai perkara dipaparkan oleh Allah (s. w. t) di dalamnya untuk memenuhi tujuan dan matlamat tersebut. Antara yang dipaparkan ialah kisah individu tertentu yang terdiri dari insan –insan yang soleh dan terpilih untuk diambil pengajaran dan iktibar oleh umat Muhammad s. a. w. Di antara secebis kisah yang dipaparkan ialah kisah Ashab al-Ukhdud, Ashab al-Kahfi, Kisah Nabi Yusuf dan pelbagai kisah –kisah lain yang boleh diambil manfaat dan pengajaran yang berguna bagi manusia yang menggunakan aqal fikirannya dengan sebaik mungkin. Allah s. w. t berfirman:



لَقَدْ كَانَ فِي قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لِأُولِي الْأَلْبَابِ مَا كَانَ حَدِيثًا يُفْتَرَى وَلَكِنْ تَصْدِيقَ الَّذِي بَيْنَ يَدَيْهِ وَتَفْصِيلَ كُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ[1]







Maksudnya:



Demi sesungguhnya, kisah nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (kisah nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam kitab-kitab ugama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.



Ulama ialah pewaris para Nabi merupakan insan yang istimewa dianugerahkan oleh Allah dengan beberapa darjat. Sebahagian dari mereka mempunyai keperibadian yang begitu terserlah, unggul dan hebat berbanding yang lain. Keperibadian dan kehidupan sebegini seharusnya dipaparkan kepada masyarakat bukannya untuk berbangga dengan apa yang mereka lakukan tetapi untuk dijadikan ikutan dan tauladan kepada umat sezaman dan selepasnya. Abd al-Wahab Syacrani ketika memaparkan keperibadian dan kehidupannya berkata “ Aku tidak bermaksud dengan apa yang disebutkan dari akhlak-dalam kitab ini untuk berbangga kepada sahabat- sahabat dan kawan-kawan”[2].



Dalam bab ini penulis akan memaparkan shasiah dan latar belakang  tokoh dalam Mazhab Shafici iaitu Imam al-Nawawi.



1. 2      Pengenalan Imam al-Nawawi


 


1. 2. 1  Latar Belakang Kehidupan Imam al-Nawawi.


 


Pendahuluan


Beliau merupakan penulis kepada tiga buah kitab yang lembarannya jika digabungkan tidaklah setebal kitab “Zad al-Macad[3] tetapi kitabnya amat tersohor dan begitu dikenali serta amat bernilai, sehinggakan setiap rumah pasti akan menyimpannya. Kitab yang dimaksudkan itu ialah “al-Azkar” “al-Arabacin” dan Riyadul al-Salihin” dan Shasiah yang dimaksudkan ialah Imam al-Nawawi.

1. 2. 2.             Latar Belakang Kehidupan




Beliau ialah al-Imam al-Hafiz Shaykh al-Islam Mahyu al-Ddin Abu Zakariyya Yahya ibn Sharaf ibn Muri ibn Hasan ibn Husayn ibn Muhammad ibn Jumcat ibn Hizam al-Damshiqi al-Shafici[4]. Al-Nawawi yang dinisbahkan kepada beliau merupakan sebuah kampung bernama “Nawa” terletak di daerah Hawran di negara Syam atau Syria pada hari ini.



Imam al-Nawawi telah diputerakan pada bulan Muharram tahun 631 h bersamaan bulan Oktober 1233 m. Beliau hanya sempat menjalani kehidupan dalam usia yang singkat sahaja. Pada 24 Rejab 676 h bersamaan 21 disember 1277 beliau telah dijemput oleh Allah s. w. t untuk mengadapNya ketika berumur 46 tahun.



1. 2. 3  Kunyah, Laqab Dan Gelaran




Menjadi adat dan kebiasaan di kalangan orang-orang Arab memanggil seseorang dengan dengan gelaran –gelaran tertentu sama ada berdasarkan kunyah atau laqab. Nabi Muhammad s. a. w digelar dengan nama “Abi al-Qasim”[5]. Manakala isteri baginda cAishah Ummi al-Mukminin digelar “Ummu cAbdullah” yang disandarkan kepada anak saudaranya cAbdullah ibn al-Zubayr yang merupakan anak kepada saudaranya Asma’.[6]



Adapun Imam al-Nawawi terkenal dengan gelaran Abu Zakariyya. Ahmad Farid dalam kitabnya al-Imam al-Nawawi [7] berkata Abu Zakariyya merupakan kunyah yang tidak didasarkan kepada qias mana-mana kaedah. Beliau diberi gelaran sedemikian kerana namanya ialah Yahya, orang–orang Arab pada kebiasaannya memberikan gelaran sedemikian apabila seseorang bernama Yahya sempena nama Nabi Yahya ibn Zakariyya.



Imam al-Nawawi digelar Muhyi al-Din bermaksud penghidup agama. Beliau tidak menyukai gelaran tersebut atas sifat tawaduk dan merendah dirinya. Sememangnya gelaran tersebut bersesuaian dengan sumbangan dan jasa yang diberikan olehnya dalam menghidupkan agama dan Sunnah Rasulullah s. a. w dan membenteras bidcah melalui tulisan dan lisannya[8].

 


1. 2. 4.             Sifat Fizikal Dan Kehidupannya




Antara sifat fizikal Imam al-Nawawi ialah bahawa mukanya berpetak dan dihiasi dengan janggut yang tebal dan hitam serta beberapa helai uban dimukanya. Beliau jarang ketawa, tidak suka menghabiskan masa dengan perkara yang tidak mendatangkan faedah dan sia-sia seperti bermain. Mula diperkenalkan dengan asas- asas agama dengan menghafal al-Quran ketika masih kecil iaitu ketika baru berusia tujuh tahun[9].



Ibn cAttar telah menukilkan suatu kisah tentang Imam al-Nawawi yang diceritakan oleh ayahandanya, katanya: Pada malam 27 Ramadhan tahun 637 hijrah ketika anakku tidur disisiku beliau berusia 7 tahun. Pada malam tersebut anakku telah tersedar ditengah malam akibat terkejut kerana melihat cahaya yang terang benderang yang memenuhi seluruh rumah. Lantas beliau mengejutkan daku dengan berkata; Wahai ayahanda! cahaya apakah yang menerangi dan memenuhi rumah kita ini? Apabila daku bangun dan mengejutkan ahli keluarga yang lain, daku tidak nampak sebarang cahaya yang dimaksudkan oleh anaKu itu, tetapi tahulah daku bahawa itu merupakan suatu petunjuk dan tanda tentang malam yang dicari-cari oleh seluruh umat Islam di Bulan Ramadhan iaitu malam yang penuh dengan keberkatan yang telah dijanjikan oleh Allah s. w. t dengan kelebihan seribu bulan iaitu malam al-Qadar. Kemungkinan dengan sebab ibadat dan doa yang dipohon oleh ayahanda dan ahli keluarganya pada malam tersebut yang telah diterima dan dimakbulkan oleh Allah s. w. t menjadi sebab dan musabab Imam al-Nawawi menjadi seorang ulama yang hebat dan disegani oleh orang ramai.



Beliau mempunyai budi pekerti yang sangat hebat, kuat ibadah, banyak membaca al-Quran dan berzikir, terlalu warak dan amat zuhud dalam kehidupannya. Kisah kewarakan dan kezuhudannya menjadi buah mulut orang ramai pada masa tersebut. Antaranya beliau tidak memakan buah-buahan yang berasal dari Damsyik. Apabila ditanya sebabnya, beliau menjawab kerana banyak tanah yang diwaqafkan di Damsyik. Aku bimbang termakan hasil dari tanah yang diwaqafkan.



Beliau juga amat suka memberi nasihat dan teguran kepada orang ramai dengan ikhlas. Antaranya yang mashyur ialah tegurannya kepada Raja al-Zahir. Pada suatu ketika Raja al-Zahir telah meminta fatwa dari ulama Syam untuk memungut wang dari rakyat bagi membantunya memerangi tentera Tartar di Syam. Semua ulama telah menyatakan persetujuan mereka kecuali Imam al-Nawawi sahaja. Apabila dipanggil ke istana dan ditanya sebab keengganannya memberikan kebenaran kepada Sultan untuk memungut wang dari rakyat, dengan tegas ia berkata! “Saya akan memberikan persetujuan setelah perhiasan yang dipakaikan oleh hamba tuanku seramai 1000 orang dan juga perhiasan yang ada pada dayang tuanku seramai 200 orang dijual terlebih dahulu. Sekiranya masih tidak mencukupi barulah hamba memberi fatwa keharusan untuk tuanku memungut wang dari rakyat. Mendengar jawapan daripada Imam al-Nawawi lantas Raja al-Zahir berkata “Engkau hendaklah keluar dari negeri ini. Setelah Imam al-Nawawi meninggalkan Syam, raja al-Zahir telah memintanya agar kembali semula ke Syam tetapi ditolak dan ia berkata! Aku tidak akan kembali kecuali setelah Raja al-Zahir meninggal. [10]



Manakala kisah kedua juga dengan Raja al-Zahir. Setelah kembali dari memerangi tentera Tartar di Mesir, Raja al-Zahir telah dimaklumkan oleh  seorang pegawai Baitul Mal bahawa kebanyakan kebun-kebun di Syam adalah hak milik negara. Apabila dimaklumkan sedemikian beliau  memerintahkan supaya kebun– kebun tersebut dipagar. Sesiapa yang mendakwa kebun tersebut hak milik mereka hendaklah menunjukkan bukti. Pemilik kebun menemui Imam al-Nawawi di Dar al-Hadith  mengadu perbuatan yang dilakukan oleh pemerintah kepada mereka. Lantas Imam al-Nawawi telah menulis surat kepada Raja al-Zahir menegur tindakan tersebut dengan menyatakan ianya tidak dihalalkan oleh Ulama dan agama bahkan perbuatan tersebut mendatangkan mudarat kepada orang Islam. Bahkan mengikut hukum sesuatu yang berada di bawah jagaan seseorang adalah hak milik mereka. Surat tersebut telah mendatangkan kemurkaan kepada Raja. Lantas beliau mengarahkan supaya jawatan Imam al-Nawawi dilucutkan dan gajinya dihentikan serta merta. Pegawainya memaklumkan bahawa Imam al-Nawawi tidak menjawat sebarang jawatan dan tidak menerima sebarang gaji dari negara. Apabila surat tersebut tidak mendatangkan apa-apa kesan kepada Raja al-Zahir, beliau pergi sendiri berjumpa dengan Raja al-Zahir dan menyatakan dengan tegas perbuatan yang dilakukan tersebut bercanggah dengan Syariat. Raja al-Zahir ingin melakukan sesuatu tindakan kepada Imam al-Nawawi tetapi dipalingkan hatinya oleh Allah dan dipelihara Imam al-Nawawi daripada kezalimannya. [11]

 


1. 2. 5.             Pengembaraan Menuntut Ilmu Dan Keilmuannya




Imam al-Nawawi mengikut tradisi ulama sebelumnya melakukan pengembaraan dalam menuntut dan mencari ilmu. Di samping keinginannya yang tinggi untuk memperolehi ilmu, beliau juga mempunyai seorang bapa yang amat mementingkan pendidikan dan ilmu, serta bercita-cita agar anaknya yang dikasihi menjadi seorang ulama yang hebat dan tersohor pada suatu masa kelak. Lantaran itu beliau berusaha agar cita–citanya tersebut tercapai.



Perjalanan pertama dilakukan ialah pada tahun 649 hijrah ketika berumur 19 tahun. Destinasi dituju ialah Damsyik yang merupakan pusat perkembangan ilmu pengetahuan yang dikunjungi oleh pelbagai lapisan masyarakat dari pelbagai pelusuk dunia Islam pada masa itu.



Setelah tiba di Damsyik al-Nawawi menemui khatib Jami’ Umawi iaitu Shaykh Jamala al-Din al-Dimsyhiqi untuk mendapat nasihat siapakah yang harus dituju untuk mencapai cita-cita tersebut. Beliau mengesyorkan supaya mengikuti halaqah yang dijalankan oleh mufti syam iaitu Taj al-Din al-Fazari yang dikenali dengan al-Firkah. Beliau belajar di Dar al-Hadith dan menjadikan Madrasah Rawahiyyah sebagai tempat penginanpan. Beliau juga menghafal beberapa kitab fiqh yang menjadi teras kepada fiqh Shafici antaranya al-Tanbih yang dihafalnya dalam tempoh 4 bulan setengah dan juga ¼ dari Al-Muhadhdhab. Selama tempoh dua tahun berada di Damsyik beliau menggunakan kesempatan tersebut dengan sebaik mungkin untuk mendalami dan mengulang kaji kitab–kitab yang telah dipelajari dengan para mashayaikh antaranya dengan al-Imam Jamal al-Din ibn Malik. Manakala kitab hadis yang pernah dipelajarinya antaranya ialah al-Nasaiyy, Muwataa’ Malik, Musnad al-Shafici, Musnad Ahmad ibn Hanbal, Sunan al-Darimi, Sunan Ibn Majah dan Abi Ya’la al-Mawsili.



Manakala kitab Tafsir dan kitab lain yang pernah dipelajari antaranya ialah Macalim al-Tanzil li al-Baghawi, Al-Ansab oleh al-Zubair bin Bakar, Khutab al-Nabatiyyah, Risalah al-Kusyairiyyah, cAmal al-Yawm Wa al- Lailah oleh Ibn Sunni,



Kesungguhannya dalam menuntut ilmu dapat dilihat dengan kesungguhannya mempelajari sebanyak 12 mata pelajaran dalam sehari bersama para guru yang meliputi fiqh, hadis, usul fiqh, mantik, bahasa arab, usuluddin dan lain-lain.



Di samping menghafal kitab–kitab dan belajar dihalaqat–halaqat yang diajar di Madrasah beliau juga tidak melepaskan peluang berdamping dengan para guru untuk mendapat ilmu pengetahuan dan keberkatan daripada mereka. Antara shaykh yang selalu didampinginya ialah Shaykh Kamal al-Din Ishaq ibn Ahmad al-Maghribi yang ia banyak mempelajari ilmu.



Berkat hasil usaha yang tidak pernah mengenal erti penat, jemu, putus asa disamping sentiasa memohon bantuan dan pertolongan dari Allah s. w. t agar ia tergolong dari kalangan ulama, maka Allah telah memakbulkan permohonan tersebut. Allah s. w. t telah menganugerahkan kepada Imam al-Nawawi sejumlah besar himpunan ilmu-ilmu dalam dadanya. Kealimannya dalam pelbagai bidang dan disiplin ilmu diakui dan diiktiraf oleh ulama sejak dahulu sehingga hari ini. Antara ilmu yang dikuasainya seperti hadith, fiqh, usul fiqh, qawacid fiqh, bahasa, culum hadith, tasauf dan beberapa bidang yang lain.



Ahmad cAbd al-cAziz berkata terdapat beberapa faktor yang menjadi penyumbang utama kepada kealiman dan ketokohan al-Nawawi iaitu pengembaraannya menuntut ilmu, pembelajaranya di Madrasah Rawahiyyah, ketekunan dalam menuntut ilmu, banyak belajar dan membuat rujukan, kekuatan hafalan yang dimiliki, kehebatan para mashayikh yang mengajarnya, banyaknya buku yang dirujuk dan ditelaah, menyibukkan diri dengan mengajar, dan faktor  lain ialah anugerah dari Allah s. w. t[12]. Di samping itu ialah anugerah daripada Allah s. w. t yang telah memberkati dan membuka ruang waktu dan masa yang seluas-luasnya kepada beliau. Beliau menulis puluhan kitab dalam pelbagai bidang ilmu, mencurah ilmu di masjid yang dimanfaatkan oleh umat Islam sehingga hari ini. Imam al-Subki berkata jika dikira kitab-kitab yang ditulis oleh Imam al-Nawawi dan kuatnya ibadat, di samping menyampaikan ilmu di masjid, umur yang diberikan oleh Allah kepadanya hanya cukup 1/3 sahaja dari hasil yang ditinggalkan olehnya[13].



1. 2. 6 Guru-Guru Imam al-Nawawi [14]




Telah menjadi kebiasaan dan kelaziman bagi Ulama silam, mereka amat menghormati dan begitu berbangga dengan guru –guru yang mengajar ilmu kepada mereka walaupun sedikit sahaja ilmu yang diajar. Lantaran itu mereka begitu mengambil berat tentang siapakah yang mengajar mereka. Antara guru-guru yang pernah mencurahkan cIlmu pengetahuan kepada Imam al-Nawawi ialah ;



a)Fiqh


cAbdul Rahman ibn Ibrahim ibn Siba’ al-Fazari, Tajuddin yang lebih dikenali dengan Firkah yang meninggal pada 690 hijrah, Ishak ibn Ahmad al-Maghribi, Al-Kamal Abu Ibrahim seorang guru hadis di Madrasah Rawahiyah meninggal pada 650.



b)Guru Hadis


Ibrahim ibn cIsa al-Maradi al-Andalusi meninggal pada 668, Khalid ibn Yusof ibn Sacad al-Nabilsiyy, Abu al-Baqa’ Zainuddin meninggal pada 663, cAbdul cAziz ibn Muhammad ibn al-Mashan al-Ansari al-Hamawi al- Shafici meninggal 662.



c)Guru Usul Fiqh


Al-Qadhi Abu al-Fath cUmar ibn Badran ibn cUmar ibn Ali ibn Muhammad al-Taflisi al- Shafici meninggal pada 672.



d)Guru Bahasa


Sheikh Ahmad ibn Salim al-Masri al-Nahwy Abu cAbbas meninggal pada 664, Fakhu Maliki, Ibn Malik.



3. 2. 7  Murid Yang Mashyur[15]


cA’la al-ddin ibn al-cAthar, Shamsuddin ibn Naqib, Shamsuddin ibn Jacwan, Shamsuddin ibn Qamah, Al-Hafiz Jamal al-Din al-Muzy, Qadhi al-Qudha Badruddin ibn Jamacah, Rasyid al-Din al-Hanafi, Abu al-cAbbas Ahmad ibn Farah al-Lakhami al-Isbili.



1. 2. 8  Pujian Ulama


Imam al-Nawawi telah diberikan dengan pelbagai pujian yang menggambarkan tentang keilmuan yang dimilikinya, kealimannya yang hebat yang terserlah dan tinggi, mempunyai sifat warak, zuhud dan sifat terpuji yang lain. Maka tidak hairanlah beliau telah diberi dengan berbagai gelaran. Beliau digelar Sheikh Madhab, Mujtahid Fatwa, Ustaz al-Mutakhirin, Hujjatulallah cAla al-Lahiqin, Sheikh Islam, cIlm al-Auliya’ Qudwah al-Zuhhad serta beberapa gelaran yang lain dan merupakan ulama besar dizamannya.



Imam al-Zahabi telah menggelarkan Imam al-Nawawi dengan gelaran Sheikh al-Imam al-Qudwah, al-Hafiz al-Zahid, al-cAbid al-Faqih, al-Mujtahid al-Rabbaniyy [16]. Imam Ibn Kathsir pula memberikan gelaran dengan Shaykh al-Imam, al-cAllamah al-Hafiz al-Faqih al-Nabil, Ahadu al-cUbbad cUlama al-Zahid[17]. Manakala Imam al-Subki pula menggelarkannya dengan Ustaz Mutakhirin Wa Hujjatullah cA’la al-lahikin[18]. Ibn Fadil menggelarkannya dengan Shaykh Islam, cIlm al-Auliya’ Qudwah al-Zuhhad, Rajul cIlm Wa cAmal[19] serta banyak lagi pujian yang diberikan kepada beliau.

 


1. 2. 9.             Sumbangan Imam al-Nawawi Terhadap Mazhab[20]




Sesuatu Mazhab yang diasaskan, tidak akan berkembang dan tersebar tanpa adanya pendokong dan pengikut. Pengikut yang terdiri dari Rijal al-Mazhab dari setiap peringkat berusaha untuk menyebarkan dan mengembangkan Mazhab yang dipeganginya. Di antara Rijal Mazhab dari Mazhab Shafici yang memberi sumbangan yang besar kepada Mazhab Shafici ialah Imam al-Nawawi.



Selepas 4 kurun kematian Imam al- Shafici, banyak penulisan fiqh Shafici yang dibuat berbeza dari segi kandungannya dengan kehendak Mazhab[21]. Banyak dari hasil penulisan tersebut yang menyalahi Usul Madhhab bahkan kadang –kadang berlaku Istinbat yang Marjuh atau ijtihad yang silap. Oleh itu pendapat-pendapat tersebut perlu dimurnikan untuk mengelakkan kesamaran dikalangan pengikut. Sesuai dengan keilmuannya yang pakar dalam Mazhab, orang paling calim dizamannya, keupayaan dalam menghafal pendapat Mazhab, kealimannya dalam masalah khilaf serta kemampuannya untuk mentarjih pendapat –pendapat Mazhab yang bercampur dan juga yang pendapat yang terpesong dari Usul Madhab. Maka Imam al-Nawawi telah melakukan pemurnian tersebut. Dengan usaha yang dilakukan tersebut serta ilmu yang dimilikinya melayakannya beliau diberi taraf Mujtahid Fatwa[22], Muhakik Madhab dan juga Muharir al-Madhab[23]. Kedudukan yang dianugerahkan itu adalah setaraf dengan Imam al-Rafici.



Hakikatnya Imam al-Nawawi adalah penerus kesinambungan yang telah dipelopori oleh Imam al-Rafici dalam menyemak semula pendapat –pendapat yang diriwayatkan oleh Ashab. Imam al-Rafici telah mengkaji dan memerhatikan kitab –kitab yang dikarang oleh Ulama terdahulu serta mengikut pendapat yang diutarakan oleh Ulama sebelumnya serta sumber bagi pendapat tersebut. Seterusnya beliau mentarjih pendapat yang dikategorikan rajih dan mentadcifkan pendapat yang dikategorikan lemah berdasarkan sumber –sumber yang diteliti serta berdasarkan kepada beberapa kaedah tertentu. [24]



Usaha yang amat murni itu diteruskan dan diperkemaskan lagi oleh Imam al-Nawawi. Disamping melakukan apa yang dilakukan oleh Imam al-Rafici beliau juga menyemak dan meneliti kitab yang tidak sempat diteliti oleh Imam al-Rafici. Beliau telah meringkaskan sebahagian dari kitab –kitab yang ditulis oleh Imam al-Rafici seperti al-Minhaj yang diringkaskan dari  al-Muharar. Oleh itu apa yang ditulis oleh mereka berdua dianggap sebagai sumber yang sahih dalam Mazhab Shafici. [25] Ulama Shafici sepakat mengatakan bahawa kitab –kitab karangan Imam al-Nawawi dan juga Imam al-Rafici dianggap sumber yang Sahih dalam Mazhab Shafici [26].



Dengan usaha yang dilakukan tersebut maka Mazhab berada dalam keadaan teguh dan aman sebelum pemurnian peringkat kedua dilakukan oleh beberapa orang cUlama antaranya Ibn Hajar al-Haithami dan Sham al-Din al-Ramli. [27]



Kesimpulannya Imam al-Nawawi merupakan salah seorang perintis dalam memilih pendapat yang rajih dan muktamad dalam Mazhab Shafici yang pada asalnya terlalu banyak pendapat yang dinukilkan dari ashab tentang pendapat yang muktamad dan rajih.

1. 2. 10.           Karangannya




Mutiara yang ditinggalkan oleh ulama besar Shafici ini terlalu banyak yang meliputi pelbagai bidang dari fiqh, hadis, bahasa, ulum al-quran, qawacid fiqhiyyah dan lain-lain. Sebahagian besar kitab yang ditinggalkan tersebut telah dicetak dan sebahagiannya kecil masih dalam bentuk manuskrip. Di antara hasil karangan Imam al-Nawawi ialah;

 


a) Tafsir


Mukhtasar Basmalah.

 


b) Fiqh


Al-Tahkik Sharah al-Tanbih Li Abi Ishaq al-Syirazi, Al-Majmu’ Sharah al-Muhadhdhab, Al-Tankih Sharah al-Wasit Imam Ghazali, Al-Raudahah Mukhtasar Fath Aziz Imam al-Rafici, Al-Minhaj Mukhtasar Al-Muharar Li Rafici, Al-cIdhah Fi al-Manasik, Al-cIjaz Fi al-Manasik, Raudah al-Tholibin, [28], Al-Minhaj, Al-cIdhah, Al-Tahkik fi al-Fiqh, Mukhtasar Ta’lif al-Darimi Fi al-Mutahayyirah, Mas’lah Niyyat al- Iktiraf

 


c) Hadith


Sharah Sahih Muslim, Al-Arbacin al-Nawawiyyah, Riad  al-Shalihin, Khulasatul al-Ahkam Min Muhimmat al-Sunan Wa Qawacid al-Islam, Sharh al-Bukhari, Al-Azkar, Juz Musstacmil cAla Ahadis Rubaicyyat, Mukhtasar Turmizi, Sharh Bukhari, Sharh Sunan Ibn Majah.

 


d) Ulum Hadith


Al- Irsyad, Al-Taqrib, Al-Isharat Ila Bayan al-Asma’ al-Mubhamat.

 


e) Qawacid Fiqh


Al-Usul wa al-Dawabit.

 


f) Al-Tarbiyyah Wa Suluk.


Al-Tibyan fi Adab Hamalat al-Quran, Bustan al-cArifin, Irshad al-Thullab al-Haqaiq Ila Macrifai Sunan al-Khair al-Khalaik, Hizb al-Nawawi.

 


g) Al-Tarajim


Tahzib al-Asma’ Wa Lughat, Tabaqat al-Fuqaha, Manaqib al-Shafici, Thabaqat al-Fuqaha.



h) Al-Lughah


Al-Tahrir Fi al-Alfaz, al-Tanbih, Al-Isharat Ila al-Bayan al-Asma’al-Mubhamat. Mucjam Al-Lughawi.

 


i) Ulum Al-Quran


Al-Tibyan Fi Adab Hamalat al-Quran.

j) Fatwa


Fatwa Imam Nawawi.

Penutup
Kegigihan Imam al-Nawawi dalam menyebarkan ilmu pengetahuan melalui penulisan yang ditinggalkan oleh beliau seharusnya dijaduikan ikutan oleh para ulama pada zaman kini.




[1] Al-Quran Yusuf 12 : 111.
[2] Al-Scayarani, Abdul Wahab, Lataif al-Minan Wa akhlak, Dar al -Tacwaul, Damsyik, 2004, hlm 12.
[3] Dihasilkan oleh Ibu Qayyim al-Jawziyah terdiri dari 6 jilid.
[4] al-Suyuti, Jalal al-Din cAbd al-Rahman, al-Minhaj al-Sawi Fi Tarjamah al-Imam al-Nawawi, Dar al-Kutub al-cIlmiyyah. 1992, hlm 51;al-Shuhud, Ali bin Nayip, Mashahir a’lam al-Muslimin ,Saaid. net. hlm 810-816; Thobaqat al-Shafiyyah jil 4 hlm 471. Ahmad Farid. al-Imam al-Nawawiyy (t. th) said. net. hlm 2, Abd al-Rahman al-Masthowi, Sakhsiah Lana Tarikh, Dar al-Marifat, Beirut, 2003, hlm 275 - 276.
[5] Ibn scad jil 1, hlm 106, Daulabi, jil 1, hlm 10.
[6] Al-Nawawi, al-Majmu’(t. th) jil 1, hal 135.
[7] Ahmad Farid, t th, hlm 2.
[8] Ahmad farid, t th, hlm 3.
[9] Al-Zahabi, Muhammad ibn Ahmad, Sair al-cAlam al-Nabla. Saaid. Net,t. th,hlm
[10] Ibn Sa’d, Muhammad ibn Sacd, Tabaqat al-Shafiyyah al-Kubra, Jil 1, hlm 106; al-Shuhud Ali Nayip al-Mahsahir calam  al-Muslimin, Saaid. Net, t.th,  hlm 811; Ahmad Farid, al-Imam al-Nawawi, Saaid. Net, hlm 18.
[11] Ali Nayip al-Syuhud ,t. th, hlm 812.
[12] Ahmad Farid, t. th, hlm 10.
[13] Al-Subki, Taj al-din ibn cAli, Thobaqat al-Shafiyyah al-Kubra, Maktabah Syamilah, hlm 234.
[14] Ali Nayyip al-Syuhud , hlm 812;Ahmad Farid  hlm 22.
[15] Al-Suyuti, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1992 hlm 61; Ali Nayif al-Syuhud, hlm 813.
[16] Ahmad Farid,  hlm 7.
[17] Ahmad Farid, hlm 9.
[18] Al-Suyuti, hlm 52.
[19] Al-Suyuti,  hlm 53.
[20] Fahd Abdullah al-Habisyi hlm 47-48.
[21] Al-Qawasimi, Akram Yusuf Umar, Al-Madkhal Ila Al-ImamAl-Shafici, Dar Al-Nafa’is Beirut, 2008, hlm 373.
[22] Ulama telah membahagikan mujtahid  kepada 5 peringkat iaitu (1) Mujtahid mutlak mustqi l seperti Imam Mazhab empat, (2) Mujtahid mutlak muntasib seperti Abu Yusuf, Zufar dari Maazhab Hanafi, Ibn Qasim, Ashab dari Maliki, Buwaiti, Muzani, Muhammad ibn Ibrahim al-Munzir, Muhammad ibn Jarir dari Shafici, Abu Bakar Asram, Abu Bakar al-Muruzi dari Hambali, (3) Mujtahid muqayyad atau mujtahid Fi al-Madhhab seperti Thohawi, Karkhi dari Hanafi, Qairawani dari Maliki, Imam al-Syirazi dari Shafici, Abi Ya’la dari Hambali (4) Mujtahid tarjih (5) Mujtahid fatwa, Muhammad Hasan Haito hlm 16; al-Zuhayli  hlm 48; Mahmud Ismail Muhammad Mis’al, Asar al-Khilaf al-Fiqhi fi al-Qawcaid al-Mukhtalaf Fi Ha hlm 133-134, Fahd Abdullah al- Habisyi, hlm 16.
[23] al-Zuhayli hlm 48 dan 62, Al-Madkhal Ila Mazhab Shafici hal 16, Akram Yusuf Umar al- Qawasimi 2008. hlm 333-334, Al-Suyuti, hlm 52.
[24] Fahd Abdullah al-Hashimi hlm 46, al-Qawasimi hlm 372 – 377.
[25] Muhammad Ibrahim hlm 153, Al-Qawasimi 2008, hlm 378-380
[26] Muhammad Ibrahim hlm 153.
[27] Al-Qawasimi 2008. hlm 399, al- Habishi hlm 53,
[28] Kitab ini adalah ringkasan kepada Sharh al-Kabir oleh Imam al-Rafici. Kitab ini mula ditulis pada hari Khamis 25 Ramadhan tahun 666 dan disiapkan pada hari Ahad 15 Rabiul Awal 669. Al-Majmu’ Sharah al-Muhadhdhab, Al-Minhaj, Al-cIdhah, Al-Tahkik fi al-Fiqh, Mukhtasar Ta’lif Al Darimi Fi al- Mutahayyirah, Mas’lah Niyyat al Iktiraf.

No comments:

الفضيلة المتعلقة بنفس العبادة اولى من المتعلقة بمكانها Kelebihan Yang Berkait dengan Ibadah Secara Langsung Lebih Awla Berbanding Yang Berkait Dengan Tempat Pelaksanaan Ibadah

  1.0 Pendahuluan Pelaksanaan ibadah tidak terlepas dari dua keadaan iaitu masa atau tempat atau kedua-duanya. Solat maghrib tidak boleh dil...